Tentera Zionis roboh 5 kediaman Badwi di koridor E1

BAYT LAHM, 6 Jan 2015 (Maan) — Tentera penjajah Zionis pagi tadi meroboh lima buah kediaman yang menempatkan keluarga masyarakat Badwi Abu Nuwwar di timur al-Quds, menyebabkan 25 orang kehilangan tempat berteduh.

Jurucakap masyarakat Badwi Abu Nuwwar, Dawood al-Jahalin, memberitahu bahawa kenderaan tentera dan polis Zionis mengepung kawasan tersebut pada jam 8:30 pagi, sebelum buldozer mula merobohkan tempat tinggal mereka serta struktur yang digunakan untuk tujuan pertanian. Keluarga terbabit tidak diberi peluang untuk mengeluarkan barangan mereka dari kediaman yang dibina menggunakan besi, kayu dan kanvas tersebut.

“Saya menunjukkan kepada mereka dokumen keputusan mahkamah yang menghalang perobohan, tetapi pegawai yang bertanggungjawab enngan melihatnya, dan mendakwa beliau mendapat arahan daripada pihak Pentadbiran Awam,” jelas Dawood. Menurut beliau lagi, pihak berkuasa rejim telah beberapa kali memujuk keluarga terbabit untuk meninggalkan kawasan tersebut, dengan menawarkan cek kosong dan tanah alternatif. “Tetapi kami enggan meninggalkan tanah kami, dan akan bina semula tempat tinggal kami petang nanti.”

Rejim Zionis merancang untuk membina ribuah rumah khusus bagi pendatang Yahudi di koridor E1, yang sekaligus akan memisahkan wilayah Tebing Barat menjadi daerah-daerah yang terpisah.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts