Ringkasan

Tentera Zionis terus lancarkan serangan ke atas Gaza

Gaza, 25 Februari 2009 – Pesawat-pesawat Israel melancarkan beberapa serangan ke atas bandar Rafah di selatan Gaza pada hari Rabu 25 Februari. Agensi berita Ramattan melaporkan tentera Israel telah menyasarkan serangan kepada terowong-terowong di sepanjang kawasan sempadan antara Gaza dan Mesir. Walau bagaimanapun, tidak ada kes kecederaan dilaporkan.

Sebanyak tujuh terowong telah diserang. Menurut kenyataan tentera rejim Zionis Israel, serangan tersebut adalah sebagai melawan serangan-serangan roket dari Gaza ke sasaran-sasaran di Israel.

Terowong adalah merupakan satu-satunya kaedah bagi rakyat Gaza berhubung dengan dunia luar, khususnya melalui sempadan di Rafah. Pintu masuk ke Gaza telah sekian lama ditutup dari kegunaan orang awam, sekaligus menafikan mereka daripada mendapat bekalan makanan dan keperluan asas dan sosial yang lain.

Walaupun pintu masuk tersebut dibuka pada masa-masa tertentu, ianya masih tidak dapat membantu rakyat Gaza yang menderita akibat serangan ganas tentera Zionis baru lalu. Kini sudah lebih 20 bulan rakyat Gaza dipisahkan dari dunia luar akibat sekatan dan penutupan pintu masuk sejak kerajaan Palestin di Gaza ditubuhkan pada bulan Jun 2007.

Selepas berakhirnya serangan selama 23 hari ke atas Gaza empat minggu lepas, tentera Israel sering melancarkan serangan ke atas Genting Gaza. Awal pagi semalam, seorang remaja berumur 14 tahun, Reham al Najjar, tercedera setelah Israel menyerang penduduk di Khan Younis di selatan Gaza.

Tentera Israel juga meningkatkan operasi menangkap warga awam Palestin, termasuk di Tebing Barat. Semalam 19 orang awam telah ditangkap di sekitar bandar Hebron, Ramallah, Jenin, Nablus dan Bethlehem. Majoriti dari mereka yang ditangkap dibawa ke pusat tahanan rahsia.

Sepanjang minggu lepas, Agensi Berita melaporkan lebih dari 102 rakyat Palestin telah ditangkap di Tebing Barat. Kini terdapat lebih 11,000 orang rakyat Palestin ditahan dalam penjara-penjara Israel, termasuk kanak-kanak, wanita dan ahli-ahli parlimen.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts