Tidak siapa peduli kematian Hamaad…

Pada 14 Februari 2009, hampir sebulan selepas kerajaan pengganas Israel mengumumkan genjatan senjata secara sebelah pihak, seorang kanak-kanak berumur 13 tahun Hammad Silmiya sedang mengembala kambing dan biri-biri di kawasan utara Gaza, kira-kira 500 meter dari sempadan negara haram Israel. Sebuah jip tentera Israel yang sedang mengawal sempadan melepaskan tembakan ke arah Hammad dan kawan-kawannya. Hammad terkena tembakan di kepala dan mati di tempat kejadian.

Pembunuhan Hammad tidak langsung menjadi bahan berita – sekadar seorang lagi mangsa di Genting Gaza, di mana kecederaan dan kematian ke atas masyarakat awam terus meningkat dari hari ke hari. Keluarga Hammad masih lagi bersedih dengan pembunuhan ke atas neneknya, dua orang sepupunya berumur 4 dan 18 bulan, dan kemusnahan rumah dan ternakan mereka semasa serangan hendap Israel.

“Pagi itu hari Sabtu, Hammad bangun pukul 6 pagi,” kata ibu saudara Hammad, Jomai’a, yang berumur 40 tahun. “Dia pergi dengan abangnya dan beberapa orang kawan sebaya untuk mengembala ternakan. Seperti biasa, kira-kira pukul 10 pagi, Hammad menyiapkan sarapan pagi di lapangan. Sebuah kenderaan tentera Israel menembak mereka dan mengenai kepala Hammad.”

Jomai’a mengeluarkan satu bungkusan plastik dari lilitan selendangnya, lalu membuka bungkusan tersebut. Dalam satu sampul surat kecil ada sekeping gambar Hammad – satu-satunya gambar anak muda tersebut, yang diambil ketika berumur 7 tahun. Gambar-gambar Hammad yang lain semuanya hilang di bawah runtuhan rumah mereka.

“Hammad tidak ubah seperti anak kesayangan saya sendiri, kerana saya tidak mempunyai anak, dan dia selalu tidur di sisi saya,” kata Jomai’a. “Bila dia perlu sesuatu, dia akan minta dari saya. Orang selalu kata Hammad bukan saja ada satu ibu, tapi dua ibu – ibu sebenarnya dan juga saya. Sebahagian dari jiwa saya dimiliki oleh Hammad. Sekarang (sebahagian dari jiwa saya) sudah tidak ada lagi, dan pergi bersama-sama Hammad.”

Ibu saudara Hammad, Jomai'a (kiri) dan ibunya, Salma (kanan)
Ibu saudara Hammad, Jomai'a (kiri) dan ibunya, Salma (kanan)

Hammad berhenti sekolah beberapa bulan lalu untuk bekerja sepenuh masa sebagai penternak dan membantu keluarga. “Saya cuba memaksa dia kembali ke sekolah tapi dia hanya memikirkan tentang kerja-kerjanya dengan kambing dan menunggang keldainya.” kata Jomai’a. “Dia sangat terikat dengan ternakan. Bila balik dari sekolah, dia akan meninggalkan bagnya dan terus berlari mendapatkan ternakannya. Malam sebelum dia dibunuh saya telah bermimpi tentang kenduri perkahwinan, satu petanda buruk bagi masyarakat kami. Bila mereka memberitahu saya tentang kecederaan Hammad, saya tahu dia telah mati kerana saya dapat melihat dia sebagai mempelai dalam mimpi saya.”

Ibu Hammad, Salma, duduk di sebelah Jomai’a dalam khemah sementara yang dibina bersebelahan runtuhan rumah mereka di Ya-as-Salama. Runtuhan dan kemusnahan dahsyat dapat dilihat di sekeliling mereka. Keluarga Badwi ini datang ke Gaza sebagai pelarian dari Beersheba pada tahun 1948 dan menetap di daerah Hay-as-Salama. Sebelum serangan ganas Israel, mereka tinggal di rumah batu dan memiliki ladang ternakan bersebelahan zon rizab keselamatan. Kawasan tersebut merupakan daerah yang pertama diserang tentera darat Israel Januari lalu.

“Kereta kebal Israel mula menembak kawasan kami pukul 2 pagi pada 5 Januari,” cerita Jomai’a. “Bom yang pertama mengenai rumah kami, dan saya lari ke bilik ibu saya kerana dia sudah tua berumur 80 tahun dan hanya terlantar di atas katil. Tiba-tiba bom yang kedua menimpa rumah kami lagi, dan kami terpaksa lari, meninggalkan ibu saya. Kami tak ubah seperti kambing-kambing ketakutan apabila melihat pintu kurungan dibuka. Kami menuju ke Jabaliya, kemudian ke Zeitoun untuk berteduh di sekolah. Setiap hari saya merayu kepada pasukan ambulan dan medik membantu saya untuk pergi memindahkan ibu. Malahan saya bersedia untuk berjalan kaki di hadapan ambulan, mengibar bendera putih. Tapi suasana terlalu merbahaya dan mereka tidak dapat membantu.”

Bila keluarga Silmiya kembali ke kediaman mereka pada 18 Januari, mereka dapat rumah tersebut ranap dimusnahkan oleh serangan F-16. Mereka mengambil masa selama 3 hari untuk mencari mayat nenek Hammad dari bawah runtuhan. Hammad dikebumikan bersebelahan neneknya hanya beberapa minggu kemudian.

Oleh kerana kawasan tersebut terletak berdekatan dengan sempadan, beberapa orang yang prihatin telah datang untuk membantu mereka. Kem pelarian terdekat tidak sesuai untuk mereka kerana mereka perlu tinggal berdekatan dengan ladang ternakan, tambahan pula keluarga Badwi lebih suka tinggal bersendirian.

Keluarga Silmiya berteduh di hadapan runtuhan rumah mereka
Keluarga Silmiya berteduh di hadapan runtuhan rumah mereka

“Peperangan masih belum berakhir,” kata ibu Hammad, Salma. “Tidak pernah sunyi di Gaza, kami kerap melihat F-16 di langit. Tapi Hammad tidak pernah takut. Dia sungguh tabah dan penuh bertenaga. Adiknya pernah berharap supaya tentera Israel membunuh Hammad, kerana semua orang sayangkan Hammad. Sekarang dia tidak mahu lagi membawa makanan atau minuman ke ladang ternakan, kerana Hammad ditembak askar Israel ketika sedang menyiapkan makanan.”

Beberapa hari sebelum ditembak, Hammad kecewa dengan peristiwa keldainya bersama-sama 60 ekor kambing dan 3 ekor lembu milik bapanya ditembak oleh askar Israel. Bapanya yang bernama Barrak Salem Salaam Silmiya sudah berumur 47 tahun. “Kami mahukan kedamaian, tapi mana dia (keamanan)? Mana hak kemanusiaan di Gaza?” tanya Barrak sambil menunjukkan bangkai ternakan yang masih terapung dalam takungan selut sekeliling runtuhan rumahnya.  

Bapa Hammad, Barrak Salem Salaam Silmiya. Di sekelilingya kelihatan bangkai ternakan dan runtuhan rumah mereka yang diranapkan dengan letupan bom tentera Israel.
Bapa Hammad, Barrak Salem Salaam Silmiya. Di sekelilingya kelihatan bangkai ternakan dan runtuhan rumah mereka yang diranapkan dengan letupan bom tentera Israel.

“Hammad hanyalah seorang budak 13 tahun. Semua orang melihat dia sebagai seorang budak kecil, tapi mereka masih tembak dia. Dia sangat pintar dan baik dengan ternakan. Malahan dia selalu menjual susu dan keju di pasar. Apa lagi yang dapat saya ceritakan tentang anak saya? Tidak ada apa lagi yang saya boleh ceritakan tentang dia. Negara-negara besar tidak berdaya melawan Israel, apa yang kami boleh buat? Saya rasa sudah tidak ada apa-apa lagi. Kawasan ini hanya ada rumah-rumah dan  lorong-lorong. Tidak ada apa lagi yang tinggal….”

“15 hari sejak kematian Hammad seperti 500 (hari.) Hammad berkulit gelap, dan kacak. Sekarang saya tidak lagi dapat merasa keenakan makanan yang disuap. Setiap orang (yang berjumpa dengan Hammad waktu pagi dia ditembak) kata dia tampak begitu kacak,” tambah Jomai’a. “Ini bukanlah peperangan terhadap sebuah kerajaan atau negara. Israel bunuh kami seperti binatang dan anjing, dan tidak ada siapa yang berjuang membantu kami.” [Sumber: Ezedden Information Office]

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts