AL-QUDS, 9 Jun 2016 (PIC) — Badan PBB UNRWA (United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East) mengecam pertempuran yang semakin buruk di Syria, yang baru-baru ini mengorbankan dua pelarian Palestin di Aleppo.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, UNRWA mendakwa konflik di Syria menjadi ancaman besar kepada keselamatan dan kehidupan pelarian Palestin yang masih terperangkap di negara tersebut.

“Pada 4 Jun sekitar jam 3:30 petang, remaja 14 tahun Baraa Mahmoud Hussein Jomaa terbunuh di kawasan al-Hamadaniyah di kota Aleppo apabila sebutir roket menyasar dan meletup di rumahnya. Beliau meninggal dunia ketika kawasan tersebut diserang sengit di mana puluhan pelarian lain terkorban dan tercedera.”

“Pada 5 Jun kira-kira jam 10:30 pagi, Khairieh Zohair Siyam, 41 tahun, terkena tembakan peluru sniper ketika menaiki sebuah bas mini di kawasan al-Ramoseh di kota Aleppo. Beliau terbunuh serta-merta, manakala seorang lagi pelarian Palestin yang turut menaiki bas tersebut cedera di bahagian tangan dan leher.”

Di kem pelarian Khan Eshieh yang terletak di selatan luar kota Damaskus, serangan sengit melibatkan senjata berat dan serangan udara yang berterusan menyebabkan para pelarian terancam dan kediaman mereka musnah.

“Pada 4 Jun menjelang jam 1:00 tengahari, rumah yang didiami oleh seorang pelarian Palestin rosak teruk apabila menjadi sasaran letupan peluru. Terdahulu pada 27 Mei, seorang anak pelarian berumur enam tahun yang meninggal dunia akibat letupan peluru. Lima lagi pelarian meninggal dunia dalam dua serangan berasingan di kem Khan Eshieh pada 17 Mei,” terang kenyataan UNRWA.

Badan PBB itu mengulangi seruan supaya semua pihak mengelak risiko ke atas penduduk awam dan menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

SHARE