[Video] Bagaimana Zionis memusnahkan rumah-rumah Palestin

LONDON, 18 Ogos 2016 (MEMO) — Sejak awal tahun 2016, sebanyak 684 struktur bangunan milik penduduk Palestin telah dimusnahkan oleh rejim Zionis, menyebabkan seramai 990 orang kehilangan tempat tinggal.

Terkini, penduduk di perkampungan Umm al-Khair dan Sussia di Tebing Barat menjadi mangsa polisi Zionis itu yang cuba mencari kawasan untuk meluaskan penempatan haram Yahudi dan menghalau keluar penduduk Palestin dari tanah asal mereka di Kawasan C.

Susulan Perjanjian Oslo II pada tahun 1995,Tebing Barat dibahagi kepada tiga kawasan A, B dan C.

Kawasan A dikawal dan ditadbir oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan hanya merangkumi 18% keluasan Tebing Barat.

Manakala Kawasan B merupakan 21% daripada wilayah Tebing Barat yang ditadbir oleh PA tetapi dikawal oleh tentera Zionis.

Kawasan C adalah 61% daripada wilayah Tebing Barat yang ditadbir dan dikawal sepenuhnya oleh rejim penjajah. Semua projek atau pembinaan di kawasan ini perlu mendapat kelulusan atau permit dari rejim Zionis.

Apakah alasan rejim bagi membolehkan mereka merampas tanah untuk pendatang Yahudi dan membiarkan penduduk Palestin hidup tanpa tempat berteduh di bumi asal mereka ini?

Permit Pembinaan

Sejak awal penjajah Zionis ke atas bumi Palestn pada tahun 1967 mereka telah menetapkan polisi perancangan dan pembangunan yang menyekat ketat pembinaan bangunan di kalangan penduduk Palestin, tetapi membenarkan bahkan membantu perluasan kawasan penempatan haram.

Sekatan ini menyebabkan banyak struktur bangunan penduduk Palestin – termasuk rumah, sekolah dan bangsal pertanian – diperintah supaya dimusnahkan dengan alasan dibina tanpa kebenaran, atau dibina secara haram, sekalipun kebanyakannya telah terbina sebelum bermulanya penjajahan.

Hukuman Sebagai Ugutan

Sejak 1967, rejim Zionis juga menggunakan perobohan rumah sebagai satu bentuk hukuman ke atas penduduk Palestin. Rasional mereka? Memusnahkan harta keluarga Palestin yang menyerang kepentingan Zionis dan Yahudi, atau harta mereka yang disyaki terlibat menyerang, akan menakutkan penduduk Palestin yang lain untuk menyerang.

Pada tahun 2005 polisi tersebut dihentikan kerana suruhanjaya tentera mendapati ia terbukti tidak menakutkan penduduk Palestin bahkan membawa kesan sebaliknya. Namun polisi tersebut diamal semula pada musim panas 2014.

Beberapa tahun kebelakangan ini rejim Zionis meningkatkan aktiviti perobohan. Menurut statistik badan PBB bagi Hal Ehwal Koordinasi Kemanusiaan (OCHA), seramai 3,700 orang kehilangan tempat tinggal sejak bermulanya pentadbiran baharu Benjamin Netanyahu pada bulan Mac 2009.

Pembangunan penempatan haram dan polisi memusnahkan rumah penduduk Palestin, yang lazimnya dilaksanakan secara seiring, adalah dua pencabulan undang-undang antarabangsa yang jelas. Konvensyen Geneva Keempat menghalang pembinaan masyarakat pendatang Yahudi di kawasan tanah Palestin yang dijajah, dan hanya membenarkan perobohan kepada harta yang melibatkan keperluan ketenteraan.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts