Viva Palestina berharap mendapat dokongan Mesir

Viva Palestina yang kini dalam perjalanan konvoi darat menuju ke Gaza berharap kerajaan Mesir akan dapat memberi kebenaran mereka meneruskan misi membawa bantuan ke Gaza melalui negara itu.

Misi kemanusiaan yang dipimpin oleh Viva Palestina yang berlepas daripada London membawa bersama mereka bekalan perubatan and keperluan-keperluan asas lain yang diperlukan oleh rakyat Gaza yang telah lebih 5 tahun dikenakan sekatan dan embargo oleh rejim pengganas Zionis Israel. Sepanjang tempoh itu, tidak dibenarkan sebarang bantuan dibawa masuk, ataupun sebarang barangan diekspot keluar samada melalui jalan darat, laut mahupun udara.

Konvoi ini merupakan usaha besar-besaran buat kali kelima yang dilakukan oleh pertubuhan-pertubuhan kebajikan antarabangsa. Mereka kini bersiap sedia untuk berlepas daripada Kota Damascus di Syria pada hari Jumaat ini, menuju ke Gaza melalui Pelabuhan El Arish di Mesir.

Aktivis-aktivis Malaysia juga menyertai konvoi ini melalui pertubuhan Viva Palestina Malaysia (VPM,) di mana mereka turut membawa bersama van dan ambulan yang dilengkapi dengan peralatan klinikal dan perubatan.

Dijangkakan konvoi ini akan menjadi rombongan kemanusiaan terbesar cuba memasuki Gaza apabila lebih ramai lagi rakan-rakan misi menyertai mereka sepanjang perjalanan ke Gaza.

Dalam satu sidang media di Damascus, ketua konvoi Viva Palestina yang juga merupakan bekas ahli parlimen British, George Galloway, menyebut bahawa, “Mesir bukanlah musuh kita. Musuh kita adalah kerajaan Zionis Israel, dan kita benar-benar memberi fokus kepada pendirian dunia terhadap jenayah yang sedang dilakukan oleh Israel.”

Kerajaan Mesir bekerjasama dengan rejim Zionis Israel dalam menguat-kuasakan sekatan ke atas Gaza. Pintu masuk Rafah yang merupakan satu-satunya pintu masuk ke Gaza tanpa melalui negara Israel ditutup oleh Mesir bagi menjayakan sekatan zalim tersebut.

Dalam hal berkaitan, kerajaan Mesir tetap dengan pendirian mereka untuk tidak membenarkan sebarang bantuan dibawa masuk ke Gaza melalui negara itu. Pada bulan Januari 2010 baru lalu, polis rusuhan Mesir telah bertempur dengan aktivis kemanusiaan Viva Palestina di El Arish menyebabkan 55 orang tercedera. Sejak peristiwa itu, Galloway tidak dibenarkan masuk ke negara Mesir.

Menurut laporan PressTV, Galloway bagaimanapun bersedia menerima ketetapan Mesir yang enggan membenarkan beliau memasuki negara itu mahupun Gaza, asalkan ahli-ahli konvoi yang lain dibenarkan masuk.

Walaupun konvoi ini dapat melalui negara Mesir dengan selamat, kemungkinan besar mereka akan berhadapan dengan konfrontasi Zionis Israel, yang sehingga kini tetap menghalang sebarang usaha membantu rakyat Gaza.

Pada 31 May lalu, komando tentera laut Israel menyerang konvoi Freedom Flotilla di tengah lautan antarabangsa, mengorbankan 9 orang aktivis kemanusiaan.

Semoga aktivis-aktivis kemanusiaan daripada Malaysia bersama-sama konvoi ini akan berjaya memasuki bumi Gaza bagi menyampaikan sokongan moral beserta barangan bantuan yang sangat-sangat diperlukan oleh mangsa-mangsa kekejaman Zionis.  (mn/presstv)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts