Wanita Palestin Dilarang Masuk Al-Aqsa

AL-QUDS, 3 Sept 2015 (Maan) — Rejim Zionis mengedarkan senarai hitam 40 orang wanita Palestin yang dilarang memasuki Masjid Al-Aqsa untuk tempoh dari 10 hingga 60 hari.

Polis dan mahkamah Zionis dilaporkan mengumpul senarai nama tersebut pada bulan lalu di mana komander polis Zionis di Al-Quds, Avi Bitton, menyebut bahawa wanita yang tersenarai telah “menyebabkan gangguan dan kerosakan” di kawasan masjid. Menurut beliau, semua wanita yang tidak tersenarai akan dibenarkan masuk dengan menunjukkan kad pengenalan mereka.

Sejak dua minggu lalu, pihak berkuasa rejim Zionis menghalang semua wanita Palestin daripada memasuki perkarangan masjid dari jam 7:00 hingga 11:00 pagi. Avi Bitton berkata halangan tersebut dibuat untuk mengelakkan ketegangan apabila wanita Palestin tidak mematuhi arahan dan mengancam pelawat.

Hakikatnya, rejim Zionis menetapkan waktu pagi selama empat jam tersebut sebagai laluan kepada Yahudi untuk memasuki Masjid Al-Aqsa melalui Pintu Moroko sekaligus melanggar perjanjian mereka dengan Jabatan Wakaf di mana semua pihak bersetuju bahawa orang Yahudi tidak dibenarkan melakukan ritual keagamaan mereka di masjid suci itu.

Polis Zionis memasang sekatan pagar besi dan menempatkan pasukan tentera di semua pintu masuk masjid.

Pengarah Masjid Al-Aqsa, Sheikh Omar al-Kiswani, berkata bahawa selain daripada menghalang wanita memasuki kawasan masjid, tentera Zionis juga mengenakan sekatan di pintu masuk bagi lelaki dengan merampas kad pengenalan mereka.

Pelajar Palestin juga mengalami halangan untuk memasuki sekolah mereka yang terletak di kawasan Masjid Al-Aqsa. Pelajar lelaki hanya dibenarkan masuk melalui Pintu Huttah dengan syarat diiringi oleh guru mereka, manakala pelajar perempuan juga perlu di kawal dan hanya dibenarkan melalui Pintu Silsilah.

Al-Aqsa merupakan masjid ketiga paling suci bagi umat Islam, di mana ia adalah kiblat pertama umat Islam sebelum dipindahkan ke Masjid Al-Haram Baitullah di Makkah pada tahun kedua Hijriah. Masjid ini merupakan tempat berlakunya peristiwa agung Israk dan Mikraj Rasulullah SAW.

Yahudi mendakwa tapak Al-Aqsa pernah menjadi tempat berdirinya kuil mereka.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts