Yahudi Arah Penduduk Silwan Tinggalkan Rumah

AL-QUDS, 9 Ogos 2015 (Silwanic) — Peguam kepada sebuah pertubuhan Yahudi semalam mengeluarkan arahan supaya keluarga Palestin berpindah meninggalkan tiga buah rumah mereka di Batn al-Hawa di kejiranan Silwan, Al-Quds Timur.

Menurut dakwaan peguam yang mewakili pertubuhan Ateret Cohanim, tapak binaan tiga buah rumah tersebut dimiliki oleh seorang pendatang Yahudi dari Yaman yang pernah tinggal di situ sebelum tahun 1948. Keluarga Sarhan diberi tempoh selama 30 hari untuk menbantah dakwaan tersebut di mahkamah.

Keluarga Sarhan tinggal di rumah terbabit sejak lebih 80 tahun. Menurut ketua persatuan tempatan Batn al-Hawa, Zuheir al-Rajabi, tanah dan rumah tersebut adalah milik Ali Sarhan, anak beliau Muhammad dan keluarga Muhammad Mahir Sarhan. Setiap buah rumah berukuran seluas 80 meter persegi.

Zuheir al-Rajabi turut memaklumkan bahawa sebuah lagi keluarga Palestin, Abu Nab, turut menerima nota arahan keluar rumah dari Ateret Cohanim beberapa hari terdahulu.

Ateret Cohanim merupakan sebuah pertubuhan yang berusaha mewujudkan penduduk majoriti Yahudi di Al-Quds yang terjajah, dengan menghalau keluar penduduk asal Palestin.

Menurut Wadi Hilweh Center, cubaan merampas harta keluarga Sarhan merupakan sebahagian daripada perancangan besar Ateret Cohanim untuk merampas tanah seluas 5,200 meter persegi di tengah-tengah Batn al-Haza. Tanah tersebut menempatkan 300 penduduk Palestin, atau 80 keluarga, yang tinggal di lebih 30 buah bangunan.

Ateret Cohanim mendakwa bekas masyarakat Yahudi di Yaman merupakan tuan kepada empat bidang tanah di Batn al-Hawa sejak tahun 1881 lagi. Menurut pertubuhan tersebut lagi, dakwaan mereka telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi Zionis.

Tahun lalu, Ateret Cohanim secara rahsia membeli dan membaik pulih sebuah bangunan di tengah-tengah Al-Quds Timur dan kemudiaannya dijadikan pusat pembelajaran Taurat. Pelajar dari seluruh wilayah negara haram Zionis dibawa ke pusat mengikuti kursus tersebut sebelum mereka menyertai latihan tentera.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts