Yahudi Desak Masjid Al-Aqsa Ditutup Kepada Orang Islam

AL-QUDS, 8 Julai 2015 (PNN) — Beberapa pertubuhan dan kumpulan Yahudi mendesak pemimpin mereka, Benjamin Natanyahu, supaya menutup Masjid Al-Aqsa kepada semua orang Islam selama seminggu mulai 26 Julai, iaitu seminggu selepas perayaan Aidilfitri.

Tempoh penutupan tersebut juga bersempena perayaan Yahudi yang digelar “Pemusnahan Kuil” selama seminggu, di mana mereka mendesak supaya orang Yahudi sahaja dibenarkan masuk ke perkarangan Al-Aqsa.

Dalam surat mereka kepada Netanyahu, pertubuhan dan kumpulan tersebut mendakwa, “Oleh kerana penutupan Bukit Haikal (Temple Mount – gelaran mereka ke atas Masjid Al-Aqsa), tindakan orang Islam menghalang Yahudi masuk, dan ketidak-mampuan mereka menjaga tempat suci ini, warga ‘Israel’ mencadangkan supaya Bukit Haikal hanya dibuka kepada Yahudi sepanjang tempoh perayaan Yahudi dan ditutup kepada semua orang Islam yang merusuh apabila Yahudi masuk.”

Surat tersebut dikatakan sebagai tindakbalas ke atas tindakan polis Zionis yang menutup Pintu al-Mughrabi kepada semua pendatang Yahudi sepanjang 10 malam terakhir Ramadan, di mana penduduk Islam lazimnya membanjiri kawasan Masjid Al-Aqsa.

Mereka turut membuat ugutan kepada Netanyahu, yang berjanji dalam kempen pra-pilihanraya baru-baru ini untuk mencari mekanisma bagi membenarkan Yahudi melakukan ibadah di dalam Masjid al-Aqsa.

Pertubuhan dan kumpulan Yahudi terbabit turut mengukuhkan tuntutan mereka dengan mengumpul pendapat umum, di mana mereka membuat undian secara online bagi memberi ruang masyarakat Yahudi menyokong desakan mereka supaya Masjid Al-Aqsa ditutup kepada semua orang Islam.

Dalam konteks berkaitan, seorang peguam pelampau, Tamir Ibn Ghabir, memprotes tindakan polis menghalang kemasukan pendatang Yahudi ke dalam Masjid al-Aqsa sepanjang 10 hari terakhir Ramadan, dengan mendakwa tindakan itu sebagai perkauman dan pemprofilan agama.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts