Zionis Haramkan Kumpulan Murabitat Dan Murabitun

AL-QUDS, 9 Sep 2015 (Maan) — Menteri Pertahanan rejim Zionis Moshe Ya’alon hari ini mengumumkan pengharaman dua kumpulan wanita Islam Palestin yang aktif di perkarangan Masjid Al-Aqsa.

Kumpulan Murabitat dan Murabitun yang biasanya berkumpul di perkarangan Masjid Al-Aqsa bagi menyekat tindakan pelampau Yahudi dan rejim Zionis yang semakin giat dalam menodai kesucian dan mengawal hak umat Islam ke atas masjid suci itu. Sungguhpun pelampau Yahudi sentiasa diiringi dan dikawal oleh pasukan bersenjata Zionis ketika menceroboh masuk masjid, kumpulan wanita Palestin ini tetap berhadapan dengan pelampau Yahudi secara aman dengan melaungkan takbir Allahu Akbar.

Sebagai langkah untuk memberi laluan kepada pelampau Yahudi, pihak berkuasa Zionis sejak tiga minggu lalu menghadkan kemasukan penduduk Islam Palestin mengikut waktu yang mereka tetapkan. Pada waktu tersebut, pelampau Yahudi akan memasuki perkarangan masjid secara provokasi dan melakukan ritual keagamaan mereka di situ.

Ketua Jabatan Wakaf yang bertanggungjawab ke atas Masjid Al-Aqsa, Sheikh Azzam al-Khatib, mengecam keputusan tersebut sebagai suatu yang tidak boleh diterima sama sekali. “Zionis tidak ada hak untuk mengganggu hal ehwal Masjid Al-Aqsa,” kata beliau. “Setiap orang Islam yang memasuki dan menunaikan solat di dalamnya adalah pelindung kepada Masjid Al-Aqsa. Tidak ada siapa yang berhak menghalang seorang Islam daripada memasuki kawasan suci ini untuk bersolat.”

Di bawah arahan pengharaman terbaharu ini, sesiapa sahaja yang menganjurkan, menyertai atau memberi sumbangan kewangan kepada aktiviti dua kumpulan tersebut akan didakwa.

Sejak rejim Zionis menduduki wilayah Al-Quds Timur pada tahun 1967, mereka telah bersetuju kepada satu perjanjian dengan Jabatan Wakaf bahawa orang bukan Islam tidak dibenarkan melakuan ritual keagamaan di masjid tersebut. Yahudi dibenarkan melakukan ritual agama mereka di kawasan Tembok Ratapan.

Tentera Zionis bagaimanapun sering membawa dan mengiringi pelampau Yahudi memasuki masjid sehingga menimbulkan ketegangan dan kemarahan umat Islam.

Tindkaan mereka membahagikan Masjid Al-Aqsa mengikut waktu yang mereka tetapkan itu dilihat sebagai langkah awal untuk mengawal sepenuhnya masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu, sebagaimana mereka telah lakukan ke atas Masjid Ibrahim di Al-Khalil di selatan Tebing Barat.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts