Zionis Roboh Rumah Palestin Di Al-Quds

AL-QUDS, 25 Ogos (Maan) — Rejim Zionis merobohkan dua buah rumah milik penduduk Palestin di Jabal al-Mukabir di selatan Kota Lama di Al-Quds Timur.

Pasukan tentera, pihak berkuasa perbandaran dan jentolak menceroboh masuk ke kawasan al-Muroj di Jabal al-Mukabir dan menutup jalan masuk utama ke kampung tersebut sebelum meroboh dua buah rumah milik Muhammad dan Khalid al-Abbasi.

Menurut Muhammad al-Abbasi, kedua-dua buah rumah diroboh tanpa sebarang amaran. Rumah seluas 140 dan 120 meter persegi itu sudah hampir siap dibina, di mana keluarga mereka dijadualkan berpindah masuk minggu hadapan. Sebanyak 12 buah keluarga merancang untuk tinggal di situ memandangkan kedua-dua adik beradik tersebut, serta keluarga mereka, tinggal di rumah bapa mereka sejak enam tahun lalu.

Sebanyak 700,000 Shekels (US$181,000) telah dibelanjakan untuk membina dua buah rumah tersebut. “Kami terpaksa bekerja selama hampir 10 tahun untuk membayar hutang daripada kos pembinaan dua rumah tersebut,” jelas Khalid al-Abbasi.

Mac lalu, tentera Zionis juga telah meroboh sebuah rumah lain milik keluarga al-Abbasi.

Jabal al-Mukabir merupakan salah satu daripada kejiranan Palestin di Al-Quds Timur yang sering menjadi sasaran kejahatan tentera Zionis, di mana rumah mereka dirobohkan dan keluarga mereka diusir keluar. Data pada bulan Januari lalu menunjukkan sebanyak 150 buah rumah tersenarai untuk dirobohkan oleh rejim Zionis.

Pada masa yang sama pendatang Yahudi, dengan dilindungi oleh tentera, sering mengambil alih bangunan penduduk Palestin.
Polisi zalim rejim Zionis tidak memungkinkan penduduk Palestin untuk mendapat kebenaran atau permit pembinaan.

Menurut pertubuhan hak asasi B’Tselem, sejak awal tahun ini sebanyak 19 buah rumah Palestin di Al-Quds Timur telah dirobohkan. Dalam tempoh 12 tahun lalu sebanyak 570 buah rumah dirobohkan, meninggalkan 2,128 orang Palestin kehilangan tempat berteduh.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts