Zionis Tubuh Unit Khas Untuk Tangkap Pembaling Batu

AL-QUDS, 17 Sep 2015 — Polis Zionis menubuhkan satu unit baharu khusus untuk menangkap pembaling batu di kota Al-Quds.

Pasukan yang dinamakan sebagai “unit mengesan pembaling batu dan bom molotov” itu bertanggung jawab khusus untuk menangkap penduduk Palestin di Al-Quds dan menyoal siasat mereka yang dikaitkan dengan insiden pertempuran dan membaling batu serta bom molotov.

Laporan yang diterbitkan oleh Pusat Maklumat Wadi Hilweh menyebut seorang peguam, Mohammad Mahmoud, memaklumkan bahawa unit tersebut mempunyai tanggungjawab dan kepakaran yang berbeza daripada pasukan yang sedia ada di pusat-pusat tahanan, yang juga menangkap dan menyoal siasat orang tertuduh.

Pasukan tersebut akan berpusat di “O’z Center” di stesen polis Jabal Al-Mukabber. “Pihak berkuasa Zionis memilih kawasan yang hampir terbiar yang jauh dari mahkamah dan pusat tahanan bagi menambah keperitan keluarga mereka yang ditahan, yang akan terpaksa bergerak pergi dan balik di antara mahkamah dan pusat tersebut untuk membantu anak mereka,” kata Mohammad.

Tambah beliau lagi, kedudukan pusat baharu tersebut akan menyusahkan serta mengambil masa yang lebih lama untuk para peguam berjumpa dengan tahanan.

Unit ini ditubuh selari dengan perancangan pemimpin Zionis, Benjamin Netanyahu untuk memperketat hukuman terhadap pembaling batu. Dalam perundangan baharu rejim, kanak-kanak Palestin yang dituduh membaling batu boleh ditahan sehingga empat atau lima tahun. Mereka yang berumur di bawah 10 tahun juga boleh ditangkap dan keluarga mereka akan dikenakan denda sehingga 100,000 Shekels. Netanyahu juga memberi lampu hijau kepada polis Zionis untuk menembak pembaling batu, di samping meyediakan satu unit penembak tepat menggunakan senapang Roger untuk menembak pembaling batu di Al-Quds.

Dalam pada itu, 60 orang Palestin telah ditangkap di Kota Lama Al-Quds sejak hari Ahad lalu sehingga pagi tadi, termasuk 26 orang kanak-kanak di mana tujuh daripadanya berumur di bawah 12 tahun. 22 orang yang lain turut ditangkap di Silwan, Esawyeh, Al-Tur, Wad Al-Joz, Sur Baher dan kem pelarian Shu’fat.

Lima orang pemuda Palestin ditangkap di dalam Masjid al-Qibli yang terletak di selatan perkarangan Masjid Al-Aqsa.

(Silwanic)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts