AL-KHALIL, 10 Ogos 2015 (Palinfo) — Pihak berkuasa Zionis memutuskan untuk menutup Masjid Ibrahimi di Al-Khalil kepada semua umat Islam selama dua hari, bermula jam 10:00 malam hari Rabu 12 Ogos, atas alasan menjelangnya perayaan Yahudi.

Kementerian Wakaf Palestin menegaskan bahawa rejim Zionis menutup masjid bersejarah itu bagi memberi laluan sepenuhnya kepada pendatang Yahudi masuk ke dalam tempat-tempat suci umat Islam, bersempena sambutan hari perayaan mereka. Tindakan ini dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan besar Zionis untuk menghapuskan tempat-tempat suci umat Islam di Palestin yang tidak ada apa-apa kaitan sekalipun dengan agama Yahudi, sekaligus menghalang kebebasan umat Islam melaksanakan tuntutan agama mereka.

Sejak berlakunya pembunuhan pada tahun 1994, di mana 29 orang ahli jemaah Masjid Ibrahimi ditembak oleh pelampau Yahudi Baruch Goldstein, rejim Zionis sering menutup kompleks masjid tersebut kepada umat Islam menjelang hari-hari perayaan Yahudi. Mereka juga melarang laungan azan di menara-menara masjid Ibrahimi.

SHARE