10 tahun dikepung, Gaza terus dibiar menjadi mangsa jenayah kemanusiaan moden

BEIT LAHM, 15 Jun 2017 (Maan) — Hari ini merupakan ulang tahun ke-10 penduduk Gaza dikepung oleh rejim Zionis dan sekutunya, dalam keadaan krisis kemanusiaan yang tidak pernah berlaku di era dunia moden.

Gaza yang seluas 365 km persegi dan menjadi tempat tinggal kepada lebih dua juta penduduk itu sering dibandingkan dengan sebuah penjara terbuka. Mereka dipisahkan dari dunia luar sejak sedekad lalu, di mana kesengsaraan mereka dikeruhkan lagi dengan tiga kali serangan besar-besaran oleh tentera Zionis dan juga pertembungan politik dalaman.

Enam bulan selepas tentera Zionis berundur dan membawa warga Yahudi keluar dari wilayah Gaza pada tahun 2005, pergerakan Hamas telah memenangi pilihanraya 2006 dengan kemenangan besar, mendapat 74 kerusi berbanding dengan Fatah yang memenangi hanya 45 kerusi. Kemenangan tersebut mencetus ketegangan politik sehingga digunakan sebagai alasan bagi rejim Zionis dan Amerika mengenakan sekatan ekonomi ke atas Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dikuasai oleh Fatah.

Apabila Hamas berjaya menguasai Gaza pada 15 Jun 2007 melalui proses pilihanraya yang sah, rejim Zionis mengenakan sekatan sepenuhnya ke atas wilayah tersebut. Sejak itu, penduduk Gaza termasuk pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dan ahli pernigaan tidak lagi bebas keluar dari wilayah mereka. Bahkan warga emas yang ingin beribadah di Masjid al-Aqsa perlu mendapatkan kebenaran untuk melintas sempadan di Beit Hanoun.

Mesir, satu-satunya negara jiran lain yang bersempadan dengan Gaza, juga mengetatkan sekatan sejak Abd al-Fattah al-Sisi merampas kuasa dan menjadi presiden pada tahun 2013.

Laporan yang diterbitkan oleh Kementerian Perang Zionis pada tahun 2012 mendedahkan bagaimana mereka menyekat kemasukan keperluan asas dan makanan, sekalipun rempah buah pelaga, coklat atau kerepek kentang sejak tahun 2011.

Terowong yang terpaksa digunakan di sempadan Mesir telah dimusnahkan, sehigga tidak adal lagi laluan untuk membawa masuk keperluan asas Gaza. Manakala petani Gaza diancam dengan “zon penampan” dan terdedah dengan tembakan tentera Zionis, nelayan pula sering diserang di lautan.

Mengeruhkan lagi keadaan, tentera Zionis melancarkan tiga serangan besar-besaran dalam tempoh 10 tahun tersebut.

Dalam serangan dari akhir tahun 2008 sehingga Januari 2009, seramai 926 penduduk awam Gaza dibunuh dan lebih 5,000 yang lain cedera. Berikutnya pada bulan November 2012, tentera Zionis sekali lagi menyerang Gaza selama seminggu dan membunuh 160 penduduk awam serta mencederakan lebih 1,000 yang lain.

Serangan paling dahsyat telah dilakukan pada musim panas 2014, di mana 2,310 penduduk telah dibunuh dalam seranagn selama tujuh minggu. Lebih 10,500 yang lain cedera. Keganasan tentera Zionis itu telah memusnahkan instrastruktur bekalan air, kumbahan, elektrik dan perubatan di Gaza di samping ribuan buah rumah yang musnah.

Sehingga Ogos 2016, kurang 50% daripada bangunan dapat dibaik pulih kerana bahan binaan tidak boleh dibawa masuk. Seramai 75,000 penduduk Gaza masih tidak mempunyai tempat tinggal, setelah dua tahun serangan berlalu.

Krisis bekalan elektrik dan minyak membawa kesan amat buruk kepada penduduk Gaza terutamanya dalam sektor kesihatan, di mana operasi harian hospital tidak dapat dijalankan.

Pada tahun 2015, PBB mengeluarkan amaran bahawa Gaza mungkin tidak lagi sesuai untuk didiami menjelang tahun 2020, sekiranya keadaan tidak berubah.

Kenyataan pertubuhan has asasi B’Tselem mendakwa bahawa apa yang dilalui oleh penduduk Gaza hari ini bukanlah satu benjana semulajadi. Namun ianya adalah satu polisi rejim Zionis yang dilaksanakan secara sistematik sejak 10 tahun lalu.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts