90 ribu solat Jumaat di Al Aqsa, 5 wanita Palestin ditangkap pengganas Israel

Lima orang warga Palestin telah ditangkap oleh pasukan rejim pengganas Israel ketika mereka ingin melaksanakan solat di dalam kompleks tempat suci ketiga bagi umat Islam, Masjid Al Aqsa, pada hari Jumaat 28 Ogos lalu, yang merupakan solat Jumat pertama di bulan Ramadhan ini.

Solat Jumaat yang dilaksanakan di kompleks Masjid Al Aqsa dikawal oleh ribuan tentara pengganas Israel yang berada di Al Quds (Jerusalem.) Yayasan Waqf dan Warisan yang bertanggungjawab menjaga masjid yang mulia itu melaporkan seramai lebih 90 ribu orang telah melaksanakan ibadat tersebut. Lebih dari 130 buah bas disewa bagi tujuan membawa mereka ke sana. Kebanyakan daripada mereka datang dari Timur Al Quds dan daerah Israel.

Dalam kutbah Jumaatnya, Imam Yousef Abu Isneineh memuji warga Palestin yang sanggup datang bersolat di Masjid Al Aqsa walaupun mereka terpaksa berhadapan dengan sekatan dan penyeksaan. Beliau turut menyeru kumpulan-kumpulan Islam di Palestin supaya bersatu.

Rejim Israel masih tetap melarang warga Palestin di Tebing Barat dari memasuki Masjid Al Aqsa untuk solat, dengan menetapkan peraturan bahawa yang boleh masuk untuk melaksanakan solat di sana hanyalah warga Palestin yang berusia 50 tahun ke atas bagi lelaki, dan 45 tahun keatas bagi wanita.

Di bawah peraturan larangan yang dibuat oleh pihak Israel tersebut, hanya warga Palestin yang memiliki kebenaran (permit) yang boleh memasuki al Quds (Jerusalem) dari Tebing Barat.

Di pos pemeriksaan di Tebing Barat, ratusan orang Palestin datang dengan harapan untuk melaksanakan solat di sana sepanjang Ramadhan ini. Namun dengan adanya larangan yang dibuat oleh Israel, kebanyakan dari mereka akhirnya terpaksa membatalkan hasrat mereka.

Menurut pusat berita Palestin, Israel juga menutup tiga pintu masuk ke Gaza pada hari Jumaat.

Kota Al Quds, yang di dalamnya berdiri Masjid Al Aqsa, menjadi kiblat pertama bagi umat Islam dan merupakan tempat ketiga paling suci bagi umat Islam setelah Makkah dan Madinah. Kesucian kota ini diperteguhkan lagi dengan peristiwa Al Isra’a dan Al Mi’raj – perjalanan malam dari Makkah ke Al Quds dan naiknya Rasulullah saw ke Syurga.

Al Quds juga merupakan wilayah bagi beberapa tempat ibadah suci penganut Kristian, termasuk Gereja Jerusalem dan Gereja Ortodoks Yunani.

Israel telah bekerja gigih selama bertahun-tahun untuk me”Yahudi”kan kota suci tersebut dan mengubah identiti Islam di sana. Mereka mengenakan pelbagai langkah-langkah penindasan untuk memaksa orang-orang Palestin keluar dari sana, dengan secara sistematik merampas rumah dan tanah mereka untuk diduduki oleh pendatang Yahudi secara haram. (mn/Agency/Eramuslim)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts