24 tahun sejak pembunuhan beramai-ramai dalam Masjid Ibrahimi

AL-KHALIL, 25 Feb 2018 — Hari ini kota al-Khalil memperingati ulang tahun ke-24 peristiwa hitam pembunuhan beramai-ramai dalam Masjid Ibrahimi, apabila 29 orang jemaah meninggal dunia dan 150 yang lain cedera ditembak oleh seorang pendatang Yahudi.

Penjenayah terbabit merupakan seorang doktor berasal dari Amerika, Barouch Goldstein, dan tinggal di kawasan penempatan haram Yahudi ultra-fanatik di Kiryat Arba. Beliau menceroboh masuk ke dalam masjid dan melepaskan tembakan secara rambang ke arah para jemaah yang sedang bersujud mendirikan solat Subuh di bulan Ramadan, menggunakan mesingan yang dibekalkan oleh tentera Zionis.

Mengeruhkan lagi keadaan, pasukan tentera Zionis yang berada di sekitar masjid menutup pintu-pintu bagi menghalang para jemaah lari menyelamatkan diri. Mereka juga menghalang penduduk masuk ke masjid untuk membantu mangsa-mangsa.

Penduduk Palestin yang cuba masuk ke dalam masjid serta mereka yang terperangkap di dalamnya bertempur dengan tentera Zionis, meningkatkan lagi bilangan mangsa yang meninggal dunia dan cedera. Bilangan mereka yang terkorban dalam pertempuran di al-Khalil mencecah seramai 50 orang. Seramai 10 orang lagi terbunuh dalam pertempuran di wilayah-wilayah lain di Tebing Barat.

Tidak lama selepas kejadian, tentera Zionis menghukum mangsa-mangsa, iaitu penduduk Palestin, dengan menutup Kota Lama al-Khalil, tempat terletaknya Masjid Ibrahimi, selama enam bulan.

Satu jawatankuasa yang dianggotai sepenuhnya oleh orang Yahudi dibentuk untuk menyiasat kejadian. Mereka tidak menghukum penjenayah, tetapi sebaliknya membahagikan kawasan Masjid Ibrahimi di antara umat Islam dan kaum Yahudi serta menutup sepenuhnya kawasan-kawasan perniagaan termasuk pusat perniagaan terkenal iaitu Jalan Shuhada, yang masih ditutup sehingga hari ini.

Sekatan-sekatan tentera turut dibina bagi mengekang pergerakan penduduk Palestin, dan pendatang Yahudi dibenarkan bergerak bebas tanpa sebarang halangan.

(IMEMC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts