27 Penduduk Palestin Dibunuh, 1,400 Tercedera

RAMALLAH, 13 Okt 2015 (IMEMC) — Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan seramai 27 penduduk Palestin telah dibunuh, termasuk tiga orang dalam kejadian semalam, manakala 1,400 yang lain tercedera ditembak sejak awal Oktober.

Daripada jumlah mereka yang terbunuh, tujuh orang adalah kanak-kanak. 16 orang terbunuh dalam kejadian di Tebing Barat manakala 11 lagi di Gaza.

Sejak awal Oktober seramai lebih 4,000 penduduk Palestin dirawat akibat serangan gas pemedih mata.

Tengahari semalam, Hasan Manasra, 15 tahun dibunuh manakala saudaranya Ahmad Saleh Manasra, 13 tahun tercedera parah ditembak tentera Zionis berdekatan kawasan penempatan haram Pisgat Zeev di Al-Quds. Mereka berasal dari Beit Hanina di Al-Quds.

Rakaman video menunjukkan Hasan dibuli oleh sekumpulan pendatang Yahudi dalam keadaan berdarah dan merayu bantuan perubatan. Polis Zionis bagaimanapun menghalang ambulan daripada mendekati mangsa.

Dalam insiden lain semalam, Mustafa ‘Adel al-Khatib, 18 tahun yang berasal dari bandar Sur Baher di Al-Quds telah ditembak mati oleh tentera berdekatan Bab al-Asbat di Kota Lama Al-Quds. Mustafa, seorang pelajar sekolah tinggi, sedang memandu di laluan jalan sempit di antara Bab al-Asbat dan Bab Hatta apabila tentera Zionis mengarahkannya supaya berhenti dan secara tiba-tiba menembak beliau.

Dalam satu lagi insiden, polis Zionis menembak seorang pelajar perempuan berumur 15 tahun ketika pulang dari sekolah.

Pertempuran masih berterusan di bandar Ramallah, Nablus, Tulkarem, Bethlehem dan Al-Khalil di Tebing Barat. Menurut laporan Kementerian, 15 penduduk Nablus tercedera di mana lima daripadanya ditembak dengan peluru hidup.

Manakala di Al-Khalil, seorang remaja 16 tahun tercedera ditembak di bahagian badan dan kakinya. Di Bethlehem, seorang lagi remaja 16 tahun tercedera terkena tembakan balang gas pemedih mata di bagahian kepalanya. Lapan penduduk kem pelarian Al-Jalazoun di Ramallah turut terdecedera, di mana empat orang ditembak dengan peluru hidup dan tiga lagi tercedera di kepala terkena tembakan peluru getah. Seorang kanak-kanak berumur sembilan tahun tercedera apabila jatuh dikejar tentera Zionis.

Kenyataan Persatuan Tahanan Palestin pula menyebut bahawa seramai 400 penduduk Palestin telah diculik sejak 10 hari lalu. Hampir separuh daripada mereka berumur di antara 14 dan 20 tahun. Majoriti mereka ditahan di kawasan Al-Quds Timur yang dikawal sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Palestin, yang juga dikenali sebagai Kawasan A.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts