3 beradik mangsa tembakan tentera Zionis tidak pernah kesal sertai GRM

GAZA, 30 Mei 2018 — Tiga adik-beradik dari Gaza yang kini terpaksa menggunakan kerusi roda selepas cedera ditembak oleh tentera Zionis tidak pernah menyesal penglibatan mereka dalam perhimpuan Great Return March (GRM) di sempadan Gaza.

Mohamed al-Homs, 27, menyertai perhimpunan GRM berdekatan kawasan sempadan timur Gaza pada 30 Mac lalu, di mana beliau terlihat adiknya Atallah, 20, ditembak oleh tentera Zionis.

Mohamed bergegas membantu, dan mengheret adiknya untuk dikejarkan ke sebuah hospital.

Tidak lama kemudian, dia kembali menyertai perhimpunan. Namun dengan tiba-tiba Mohamed pula ditembak di bahagian kakinya, ketika berada dekat pagar sempadan.

Apabila Wagdi mendapat berita kecederaan dua saudaranya itu, beliau meninggalkan kedainya dan berkejar ke kawasan sempadan, tetapi kali ini beliau pula ditembak.

“Saya kena tembak dengan peluru ‘dum-dum’; sekarang saya terpaksa guna kerusi roda,” kata Mohamed, graduan sebuah kolej sukan pada tahun 2014.

“Saya tidak faham kenapa mereka [tentera Zionis] tembak kami tiga beradik,” keluh beliau. “Perhimpunan aman kami tidak sekali-kali dapat dibanding dengan kekuatan tentera penjajah, jadi kenapa mereka sasar kami?”.

Bagi Wagdi, tentera Zionis secara sengaja menggunakan peluru “dum-dum” bagi memastikan peserta perhimpunan merana dan cacat. Peluru seperti itu diharamkan dalam Deklarasi Hague 1899, kerana kesannya yang sangat dahsyat.

“Ratusan orang yang tercedera kini menderita luka yang teruk,” kata beliau.

Sungguhpun mengalami kecederaan, tiga bersaudara itu tidak pernah kesal mengambil bahagian dalam perhimpunan membantah penjajah. “Ini tanahair kami,” kata Wagdi. “Kami tidak melakukan sebarang jenayah untuk dijadikan sasaran peluru tentera Zionis.”

Tegas beliau, “Walaupun kami semua telah ditembak, kami tidak kesal menyertai demonstrasi.”

Sejak 30 Mac, lebih 115 penduduk Gaza meninggal dunia ditembak oleh tentera Zionis, manakala ribuan yang lain tercedera.

GRM menuntut hak mereka untuk kembali ke tanahair asal di Palestin, di mana mereka telah dihalau keluar pada tahun 1948 untuk memberi laluan kepada penubuhan negara haram Zionis.

(Anadolu)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts