Rachel Corri Di Tawan Israel, Aktivis Selamat

GAZA CITY 5 Jun – Tentera Israel menawan kapal Rachel Corrie yang mengangkut bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin hari ini sekaligus menamatkan ketegangan berjam-jam lamanya di laut antara kapal itu dengan kapal-kapal perang rejim Zionis.

Kapal itu membawa 15 anggota misi bantuan iaitu enam rakyat Malaysia termasuk wartawan serta jurugambar TV3 dan selebihnya dari Ireland.

Kapal tersebut dipintas oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa tidak lama selepas subuh namun askar Yahudi menaikinya sehinggalah awal petang ini (waktu tempatan).

Seorang jurucakap tentera Israel berkata, Rachel Corrie tidak mengendahkan tiga panggilan untuk belayar ke pelabuhan Ashdod, kira-kira 30 kilometer ke utara Genting Gaza dan telah diberi amaran yang ia akan ditawan tentera laut jika tidak mengubah haluan.

Konfrontasi terbaru ini berlaku lima hari selepas komando Israel menawan sebuah lagi kapal bantuan dalam insiden yang meragut sembilan nyawa aktivis, kebanyakan daripada mereka rakyat Turki.

Ulasan Twitter terbaru dari Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menyatakan Rachel Corrie kini berada 28 batu nautika dari pesisiran dan telah menolak tiga permintaan IDF untuk berlabuh di pelabuhan Ashdod.

Perairan antarabangsa bermula kira-kira 20 batu nautika dari pantai, menunjukkan ulasan IDF mengesahkan kapal itu berada di luar perairan Israel atau Gaza tanpa menyatakan lokasi tepat.

”Kami telah beberapa kali mengingatkan penganjur di atas kapal itu supaya menghala ke pelabuhan Ashdod kerana sekatan yang dikenakan ke atas Genting Gaza, namun ia tidak diambil peduli dan mereka terus menuju ke Gaza,” demikian menurut seorang jurucakap tentera sebelum ini.

Aktivis di atas Rachel Corrie sebelum ini menegaskan yang mereka tidak akan tunduk kepada tuntutan Israel dan akan terus menuju destinasi mereka, namun bersedia membenarkan kargo mereka diperiksa.

Jurucakap jawatankuasa sambutan di Gaza, Amjad al-Shawa memberitahu, kapal itu telah dipintas dan semua komunikasi disekat antara 30 hingga 35 batu nautika dari Gaza.

Antara penumpang kapal itu ialah pemenang hadiah Nobel dari Ireland, Mairead Maguire dan bekas penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Denis Halliday, akan diusir pulang ke negara asal mereka, kata Kementerian Luar Israel.

Pemeriksaan awal ke atas kargo kapal itu mendapati ia mengangkut kebanyakannya simen, kata Radio Israel.

Rejim Yahudi melarang kemasukan bahan binaan itu kerana mendakwa ia diguna oleh pejuang Palestin membina kubu dan terowong bawah tanah bagi menyeludup senjata.

Kali terakhir komunikasi yang dibuat pada 5.38 pagi (pukul 10.38 pagi waktu Malaysia), seorang aktivis, Jenny Graham memberitahu kapal itu dihampiri dua kapal perang Yahudi. – (dpa/ AFP/uo)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts