Ringkasan

Majlis Perkongsian Pengalaman Sukarelawan ke Gaza dan Mesyuarat Penyelarasan di Wisma Putra

PUTRAJAYA 29 JUN – Seramai 200 orang hadir di dalam majlis perkongsian pengalaman bersama sukarelawan Malaysia ke Gaza.  Majlis dimulai dengan ucapan aluan oleh Y.B. Senator A. Kohilan Pillay, Timbalan Menteri Luar Negeri I.  Sejurus ucapan aluan, wakil Wisma Putra menyampaikan satu taklimat berkenaan hubungan luar Malaysia, Program bantuan kemanusiaan rakyat Palestin Kementerian Luar Negeri dan khidmat Konsular Kementerian Luar Negeri kepada para jemputan yang terdiri daripada wakil-wakil NGO, warga Wisma Putra dan wakil media.  Antara pimpinan Haluan Malaysia yang hadir ialah Tuan Hj. Sabbri Mohd Yudin, Naib Presiden 2 dan Dr. Azizan Ahmad, Naib Presiden 3.

Majlis diteruskan dengan perkongsian pengalaman oleh tiga orang sukarelawan Malaysia ke Gaza iaitu Tuan Hj. Norazman Mohd Shamsuddin (Haluan/Pengerus HALUANPalestin), Tuan Hj. Jamuliddin Elias (Yayasan Amal) dan Dr. Ir. Selamat Aliman (JIM).

Tuan Hj. Noorazman menekankan bahawa Misi Konvoi ke Gaza baru-baru ini adalah atas satu misi aman bertujuan  untuk menghantar bantuan kemanusiaan serta mengikut lunas undang-undang antarabangsa.  Beliau juga berkongsi beberapa kisah tindakan kejam tentera Israel dan juga doktor Israel yang tidak berperikemanusiaan.

Tuan Hj. Jamuliddin Elias pula telah berkongsi cerita diselangseli dengan video klip serangan ke atas kapal Marvi Marmara yang dinaiki oleh mereka.  Penyampaian yang diberikan begitu menarik perhatian mereka yang hadir.

Dr. Ir. Selamat pula menekankan usaha membantu rakyat Palestin ini perlu diteruskan dan tidak berhenti setakat di sini sahaja.

Selesai daripada sesi tersebut, para relawan, pimpinan NGO dan media diraikan dengan jamuan makan tengahari.

Pada sebelah petang, para pimpinan NGO telah bersidang dengan Wisma Putra untuk penyelarasan projek bantuan kemanusiaan selanjutnya. Hadir di dalam mesyuarat tersebut ialah Tuan Hj. Noorazman Mohd. Shamsuddin, Tuan Hj. Sabbri Mohd Yudin, Dr. Azizan Ahmad dan Dr. Syed Haleem.

Tuan Hj. Noorazman mencadangkan agar misi bantuan yang dibuat mestilah selari dengan perancangan di peringkat antarabangsa.  Perancangan NGO di peringkat antarabangsa pada masa ini fokusnya ialah untuk mengumpul dana dan memberi penerangan seluas mungkin kepada masyarakat mengenai kekejaman Zionis Israel.  Usaha untuk mengheret Israel ke mahkamah antarabangsa juga termasuk di dalam plan tindakan NGO antarabangsa yang sedang dilaksanakan.

Tuan Hj. Noorazman menyatakan satu misi penghantaran bantuan secara besar-besaran akan dibuat selepas Ramadan oleh gabungan NGO antarabangsa sama ada melalui jalan laut ataupun jalan darat.  Objektif utama semua misi-misi tersebut ialah untuk menamatkan sekatan haram Israel yang dikenakan ke atas seluruh penduduk Gaza sejak tahun 2007. [HALUANMedia]

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts