Bantuan tiba di Gaza, tetapi adakah mencukupi?

gaza-aidsRAMALLAH, Tebing Barat – Israel menyatakan sebanyak 453 buah trak memasuki Gaza antara 18 hingga 23 Januari, tetapi hanya lebih kurang separuh yang membawa bantuan kemanusiaan — jauh daripada mencukupi bagi 1.5 juta penduduk Gaza, menurut Agensi PBB dan kumpulan bantuan antarabangsa.

“Penderma dan masyarakat awam daripada seluruh pelusuk dunia telah bertindak menghulurkan bantuan, tetapi ianya tersekat di luar sempadan Gaza,’ kata John Ging, ketua Agensi untuk Pelarian Palestin PBB (UNRWA) di Gaza.

Daripada 100 hingga 120 buah trak yang dibenarkan masuk setiap hari, 37 hingga 40 buah trak adalah untuk UNRWA, manakala separuh lagi adalah untuk muatan komersial seperti daging dan lampin bayi, dan selebihnya adalah untuk lain-lain agensi bantuan, tambah Ging, yang menekankan sebelum bulan Jun 2007, Israel membenarkan sebanyak 500 hingga 600 buah trak untuk masuk setiap hari.

Bekalan makanan di Gaza masih lagi sukar didapati disebabkan harga yang melambung tinggi serta kekurangan mata wang, dan kemusnahan tanah-tanah pertanian menambahkan lagi kesulitan yang dihadapi, menurut Pejabat Koordinasi bagi Urusan Bantuan Kemanusiaan (OCHA). Selain daripada terowong dari Mesir, tidak ada lagi jalan lain untuk mendapatkan makanan atau keperluan lain ke Gaza.

Terdapat lima pintu masuk ke Gaza — empat dari Israel dan satu dari Mesir. Walaubagaimanapun, tiada satupun yang dibuka secara konsisten, dan sangat sedikit bantuan yang dapat dibawa masuk.

Nahal Oz
Laluan paip bahan api bawah tanah membolehkan bahan api yang dibeli secara persendirian masuk ke Gaza. Bahan api untuk industri yang dibiayai Kesatuan Eropah (EU) bagi satu-satunya stesyen janakuasa di Gaza masuk melalui Nahal Oz. Begitu juga dengan bahan api yang diterima oleh UNRWA.

Karni
Satu-satunya pintu masuk komersial yang dilengkapi oleh kemudahan bagi membolehkan trak-trak masuk ke Gaza dalam jumlah yang besar. Ditutup sejak Jun 2007. PBB telah beberapa kali memohon agar ianya dibuka. Hanya peralatan untuk memindahkan bijirin yang beroperasi sekarang.

Karem Shalom
Pintu masuk komersial yang kecil. Tidak mempunyai kemudahan untuk membolehkan trak-trak yang banyak masuk pada satu-satu masa — menyebabkan berlaku kesesakan yang teruk pada masa ini.

“Trak-trak yang masuk melalui Karem Shalom adalah untuk agensi-agensi PBB dan sektor swasta,” kata Ghazi Hamad, seorang pegawai Hamas kepada IRIN melalui talian telefon. “Bahan api, gas dan bahan binaan, seperti simen dan kaca, dan lain-lain keperluan seperti pakaian, belum lagi masuk [daripada mana-mana pintu masuk].”

Erez
Pintu masuk bagi penduduk sahaja. Sejak 2005 inilah satu-satunya pintu masuk yang dibenarkan oleh Israel untuk digunakan bagi laluan penduduk — apabila ianya dibuka.

Rafah
Laluan penduduk; keperluan perubatan juga dibenarkan masuk. Bantuan lain daripada Mesir perlu masuk mengikut laluan Israel-Karem Shalom-Gaza.

Terowong
Bahan api dan gas memasak kembali memasuki Gaza melalui laluan terowong di sepanjang sempadan Gaza-Mesir, menurut penduduk Gaza, walaupun pada kadar yang lebih rendah disebabkan kerosakan yang telah dialami akibat pengeboman Israel.

Koordinasi Aktiviti Kerajaan di Kawasan [Palestin] (COGAT), yang beroperasi di bawah Kementerian Pertahanan Israel, menyatakan lebih 5.5 juta liter diesel telah diluluskan untuk dihantar (tidak bermakna dihantar kesemuanya) ke Gaza bagi tujuan penggunaan stesyen janakuasa antara 18 hingga 23 Januari.

Sejak gencatan senjata diumumkan pada 18 Januari, stesyen janakuasa telah menerima sejumlah 223,000 liter diesel setiap hari, tetapi ia memerlukan sebanyak 450,000 liter sehari untuk beroperasi pada kapasiti penuh bagi menjana sebanyak 80MW. Buat masa ini, ia hanya menghasilkan sebanyak 30MW sehari, menurut kenyataan OCHA.

Israel telah membenarkan lebih kurang 87 tan gas masuk ke Gaza setiap hari sejak 18 Januari, tetapi OCHA menyatakan 300 tan adalah jumlah yang diperlukan setiap hari. [IRIN/terjemahan:HP]

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts