KUALA LUMPUR: “Hati saya sungguh sedih sehingga menitiskan air mata apabila tidak dapat memijak bumi Palestin selepas kapal Mavi Marmara yang dalam pelayaran membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza diserang tentera Israel, Ahad lalu,” kata Al Hami Husain Suhaimi.
Sukarelawan yang mewakili HALUAN Palestin, Al Hami Husain, 50, berkata, beliau yang pertama kali menyertai misi kemanusiaan itu sedikit pun tidak takut apabila berhadapan komando Israel yang lengkap bersenjata walaupun tentera Yahudi itu melepaskan beberapa das tembakan.
“Saya bersama beberapa sukarelawan dari Indonesia ditugaskan di bahagian kiri kapal untuk memantau serta melihat pergerakan sebarang objek di laut. Pada jam 11 malam, kami difahamkan kapal akan diserang tentera Israel.
“Kami tahu tidak mampu berlawan dengan rejim Zionis kerana tidak mempunyai senjata. Kami tidak takut, sebaliknya sudah bersedia untuk menempuhi apa saja cabaran.
“Beberapa lama kemudian, saya melihat sebuah helikopter menuju ke arah kapal kami, sesekali helikopter itu memasang lampu dan menutupnya. Beberapa minit kemudian, helikopter itu berada atas kapal dan dengan pantas tentera Israel turun menggunakan tali khas sudah berada atas kapal,” katanya ketika dihubungi di Jordan, semalam.
Al Hami Husain berkata, sebaik tentera Israel memasuki Mavi Marmara, mereka yang berada atas kapal tidak melawan, sebaliknya tenang menghadapi situasi itu.
“Saya marah dengan tentera Israel apabila mereka mula melepaskan tembakan rambang hingga mengorbankan dan mencederakan sukarelawan di kapal itu,” katanya.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/AlHamisedihtakdapatpijakbumiPalestin/Article