Alhamdulillah, Kami Tiba di Gaza!

RAFAH, 26 Apr 2012 — Benar bagai dikata; kalau tak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya. Perjalanan dari Kaherah empat jam permulaannya bagaikan buain laju dihembus bayu sepoi-sepoi bahasa.

Tidak kami ketahui apa yang telah disusunkan oleh Allah SWT pada hela-hela waktu selepas itu. Tidak kurang daripada lapan sekatan jalanraya oleh tentera Mesir perlu diharungi, tiga yang awal disantuni dengan begitu rapi oleh pengawal tentera yang mengambil paspot kami untuk dihalusi dengan membuat panggilan ke Kementerian tertentu di Kaherah. Senarai nama kelulusan diulit, wajah ditenung serta dua buah van kami discan dengan alat elektronik. Untung segala persiapan awal yang rapi telah dilangsaikan oleh Biro HALUAN Palestin sebelum kami bertolak dengan dokumentasi yang kukuh daripada Wisma Putra, kerajaan Mesir serta kerajaan Palestin di Gaza.

Namun semua itu belum lagi memadai. Perjalanan enam jam menuju arah ke timur laut Mesir itu bermakna bahan bakar semakin sukar diperolehi. Pemandu-pemandu kami terpaksa beratur hampir satu jam untuk mengisi tangki van mereka dan ini juga menjadi penyebab kami lewat tiba di sempadan Rafah. Mana pula hendak dilayan pesanan ringkas yang asyik bertali arus masuk daripada sahabat dan saudara di Malaysia, ”sudah sampaikah ke pintu Rafah?”

Semua relawan mendiam diri. Masing-masing berzikir dan berdoa pelbagai doa agar perjalanan yang terancang sekian lama akan dimakbulkan Allah SWT sebaik cara. Dengan bantuan dua orang ustaz muda yang fasih berbahasa Arab, kami menelusuri jarak padang pasir itu dengan tenang setiap kali dihentikan oleh tentera Mesir yang bersiap siaga di atas kereta kebal mereka dan berselindung di sebalik timbunan beg-beg pasir. Gundah kami terubat jua sekali-sekala kerana ramai di antara sentri tentera bertugas itu tidak kedekut senyuman dan santunan mereka. Teringat kata-kata rakan pelajar Mesir yang kami tumpang berteduh semalaman kelmarin bahawa orang Mesir mudah senyum dan mesra. Mungkin ini fenomena baru selepas peristiwa revolusi di mana polis dan tentera tersedar rakyat sebenarnya lebih berkuasa daripada muncung senjata.

Setelah lebih tujuh jam di atas kenderaan dan entah berapa banyak sekatan jalanraya direntasi, rupabentuk pintu gerbang Rafah tersergam kuning di hadapan kami menerbitkan teriakan takbir di kalangan relawan. Inilah rupanya pintu penghalang utama yang menafikan bantuan kemanusiaan dan silaturahim di antara dua kaum serumpun, didalangi musuh ketat Islam iaitu zionis Israel laknatuLlah.

Misi kali ini yang diketuai oleh Ketua Biro HALUAN Palestin sendiri, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan, bersama 10 relawan muda dan tua bergandingan bahu dan munajat untuk dipermudahkan Allah SWT perjalanannya. Di setiap pusat pemeriksaan ada saja siasatan yang dikenakan ke atas kami. Di pintu masuk Rafah, pihak polis sempadan tidak pasti samada glucometer yang kami bawa sebagai hadiah itu adalah ubat atau peralatan perubatan. Ubat dilarang masuk sama sekali, tetapi peralatan perubatan mungkin boleh. Betapa usaha menyempitkan peluang kelangsungan hidup rakyat Palestin Gaza yang digubalkan oleh bekas diktator Hosni Mubarak atas telunjuk Israel masih diteruskan ke hari ini.

Sejam kemudian, kami dibenarkan memasuki kompleks imigresen Mesir – checkpoint terakhir sebelum kami sah dibenarkan memasuki Gaza. Setelah sekian lama menunggu dan diteliti paspot satu demi satu dan diselangi dengan beberapa perundingan, alhamdulillah para relawan dibenar meninggalkan Mesir dan memasuki Gaza. Penantian itu suatu penyiksaan, namun kesabaran mengubati penyiksaan itu!

Para relawan bersama barangan yang dibawa akhirnya melepasi semua halangan untuk keluar dari Mesir setelah membayar cukai kastam. Keluar dari bangunan imigresen Mesir itu, ada kenderaan dan juga beberapa buah bas menunggu penumpang untuk di bawa keluar dari Mesir dan seterusnya masuk ke kawasan imigresen Gaza. Tidak disangka salah sebuah bas tersebut rupanya menanti para relawan HALUAN. Seorang pegawai imigresen Gaza datang menyapa dan memperkenalkan diri dengan salam penuh persaudaraan, mengucap selamat datang, dan memberitahu bahawa bas itu akan membawa para relawan ke bangunan imigresen Gaza.

Lebih kurang 10 minit perjalanan bas melalui sekatan pemeriksaan terakhir polis Mesir, para relawan dengan rendah diri dan kesyukuran, bertakbir kerana Allah akhirnya memberi peluang untuk memijak bumi yang penuh barakah ini. “Welcome to your land!,” ucap seorang pegawai imigresen yang menanti di pintu masuk imigresen. Pegawai-pegawai imigresen Gaza dan beberapa orang wakil NGO tempatan bersalaman dan berpelukan dengan para relawan, mengucap tahniah dan bertanya khabar. Tidak ketinggalan juga mereka bercerita semula pengalaman bersama-sama beberapa relawan HALUAN ketika menyertai pelayaran di atas kapal Mavi Marmara.

Keluar sahaja daripada bangunan imigresen, sekumpulan lagi wakil-wakil NGO tempatan sedang menunggu, terus bersalaman dengan para relawan dan bersedia dengan dua buah kenderaan. Namun atas perasaan penuh syukur dan kasih kepada bumi Palestin, para relawan meminta izin untuk bersujud syukur sebelum dibawa masuk ke dalam kenderaan. Semua kami bersujud di atas bumi Gaza, berdoa semoga Allah mendekatkan lagi kehidupan kami dengan bumi barakah ini, dan terus istiqomah dengan Islam.

Perjalanan dari Rafah menuju ke Gaza City sudah cukup untuk menggambarkan sejarah panjang bumi Palestin dan kekejaman Zionis. Setiap apa yang dilihat, di kiri dan kanan jalan, tercatat peristiwa penting dalam sejarah kemanusiaan. Tidak kurang juga gambaran penderitaan rakyat Gaza yang mereka alami sejak lebih 5 tahun lalu.

Semua stesen minyak dikerumuni rakyat Gaza untuk mendapatkan bekalan minyak, ada yang terpaksa beratur sehingga lebih 2 kilometer. Teringat pengalaman kami singgah mengisi minyak sebelum tiba di El-Arish, walaupun mereka yang beratur hanyalah sekitar 20 buah kenderaan, setiap pemandu akan cuba berebut dan ada yang bergaduh untuk mendapatkan minyak. Tetapi tidak di Gaza.

Kira-kira 10 minit sebelum masuk waktu Maghrib, kami tiba di rumah penginapan di Gaza City. Di sinilah kami akan memulakan urusan misi menyampaikan amanah di Gaza ini, insyaAllah.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts