Biografi Salahuddin Al-Ayyubi (Siri 3 – Akhir)

Wafatnya Salahuddin

Pada hari Rabu, 27 Safar 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatuLlah selepas berhempas pulas berjuang mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin.

Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas dia jatuh sakit, Salahuddin telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja’afar, seorang yang warak, telah diminta menemani Salahuddin di istana supaya jika dia nazak, bacaan Qur’an dan syahadah boleh diperdengarkan kepadanya.

Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda akan berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak tiga hari yang lepas, membacakan al-Qur’an. Dalam masa ini Salahuddin selalu pengsan dan sedar sebentar. Apabila Syeikh Abu Jaafar membacakan ayat ke-22 surah Al-Hasyr, “Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata,” Salahuddin membuka matanya sambil tersenyum, mukanya berseri dan dengan nada yang gembira dia berkata, “Memang benar”. Selepas dia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun kembali ke rahmatuLlah. Masa ini ialah sebelum subuh, 27 Safar.

Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47 dirham ketika dia wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang, tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk menanggung kos pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang untuk menanggung kos pengkebumian ini. Hingga kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.

Salahuddin yang Warak

Bahauddin telah mencatatkan berkenaan kewarakan Salahuddin. Satu hari Salahuddin berkata bahawa dia telah lama tidak pergi solat berjemaah. Dia memang suka solat berjemaah, bahkan ketika sakit sekalipun dia akan memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Oleh kerana solat merupakan ibadah utama yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, dia sentiasa mengerjakan solat sunat malam. Jika disebabkan hal tertentu dia tidak dapat solat malam, dia akan menunaikannya ketika hampir subuh. Bahauddin melihatnya sentiasa solat di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga terakhir di mana dia telah terlalu lemah dan selalu pengsan.

Tetapi dia tidak pernah meninggalkan solat fardhu. Dia tidak pernah membayar zakat kerana dia tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Dia sangat pemurah dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan, hinggakan ketika wafatnya dia hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas. Dia tidak meninggalkan harta.

Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Qadi Fadhil. Ketika sakitnya pun dia berpuasa sehinggalah doktor menasihatkannya dengan tegas supaya berbuka. Lalu dia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, “Aku tidak tahu bila ajal akan menemuiku”. Maka segera dia membayar fidyah.

Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi dia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kewafatannya, keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi, tetapi ditakdirkan tidak kesampaian. Ia sangat gemar mendengar bacaan Qur’an. Dalam medan peperangan dia sering duduk mendegar bacaan Qur’an oleh para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzuk semalam. Dia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya membasahi dagunya.

Dia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah SAW. Dia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke kota, dia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang dia sendiri membacakan hadis dengan air mata yang berlinang. Dalam peperangan, kadang-kadang dia berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendengarkan hadis-hadis dibacakan kepadanya.

Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Dia biasa meletakkan segala harapannya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika dia berada di al-Quds yang pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak, dia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat di musim sejuk. Bahauddin mencatatkan, “Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Dia menghabiskan masa malam itu dengan solat dan munajat.

Pada tengah malam saya minta supaya dia berehat tetapi jawabnya, “Aku fikir kau mengantuk. Pergilah tidur sejenak.” Bila hampir Subuh akupun bangun dan pergi mendapatkannya. Aku dapati dia sedang membasuh tangannya. “Aku tidak tidur semalam,” katanya. Selepas solat Subuh aku berkata kepadanya, “Kau kena munajat kepada Allah memohon pertolonganNya”. Lalu dia bertanya, “Apa yang perlu aku lakukan?”

Aku menjawab, hari ini adalah hari Jumaat. Engkau mandilah sebelum pergi ke masjid Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan senyap-senyap. Apabila kau tiba di masjid, solatlah dua rakaat selepas azan di tempat Rasulullah SAW pernah bersolat sebelum mi’raj dahulu. Aku pernah membaca hadis, doa yang dibuat di tempat itu adalah mustajab. Oleh itu kau bermunajadlah kepada Allah dengan ucapan “Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala bekalanku. Kini aku mohon pertolonganMu. Aku menyerahkan diriku kepadaMu. Aku yakin hanya Engkau sahaja yang boleh menolongku dalam keadaan yang genting ini.”

Aku mengatakan kepadanya, “Aku sangat berharap Allah akan mengkabulkan doamu”. Lalu Salahuddin melakukan apa yang aku usulkan. Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat solat. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir.

Perbalahan berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya mereka membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke Ramla pada hari Isnin pagi.

Perangai Salahuddin

Siapa yang rapat dengannya mengatakan dia adalah seorang Islam yang taat kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan tekun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan dia telah memberikan masa untuk rakyat dua kali seminggu, iaitu pada hari Isnin dan Selasa. Pada masa ini dia disertai oleh pembesar-pembesar negara, ulama dan qadi. Semua orang boleh berjumpa dengannya. Dia sendiri akan membacakan aduan yang diterimanya dan mengucapkan untuk dituliskan oleh juru tulis tindakan yang perlu diambil dan terus itandatanganinya pada masa itu juga. Dia tidak pernah membenarkan orang meninggalkannya selagi dia belum menyempurnakan hajat orang itu. Dalam masa yang sama dia sentiasa bertasbih kepada Allah.

Jika ada orang membuat aduan, dia akan mendegarnya dengan teliti dan kemudian memberikan keputusannya. Suatu hari seorang lelaki telah membuat aduan berkenaan Taqiuddin, anak saudaranya sendiri. Dengan segera dia memanggil anak saudaranya itu dan meminta penjelasan. Dalam kejadian yang lain, ada orang yang membuat tuduhan kepada Salahuddin sendiri, yang memerlukan penyiasatan. Walaupun tuduhan orang itu didapati tidak berasas, dia telah menghadiahkan orang itu sehelai jubah dan beberapa pemberian yang lain.

Dia adalah seorang yang mulia dan baik hati, lemah lembut, penyabar dan sangat benci kepada ketidakadilan. Dia sentiasa mengabaikan kesilapan-kesilapan pembantu-pembantu dan khadam-khadamnya. Jika mereka melakukan kesilapan yang memanaskan hatinya, dia tidak pernah menyebabkan kemarahannya menjatuhkan air muka mereka. Pada suatu ketika dia pernah meminta air minum, tetapi entah apa sebabnya air itu tidak diberikan kepadanya. Dia meminta sehingga lima kali, lalu berkata, “Aku hampir mati kehausan”. Ia kemudian meminum air yang dibawakan kepadanya tanpa menunjukkan kemarahan.

Dalam ketika yang lain dia hendak mandi selepas mengalami sakit yang agak lama. Didapatinya air yang disediakan agak panas, lalu dia meminta air sejuk. Sebanyak dua kali khadamnya menyebabkan air sejuk terpercik kepadanya. Disebabkan dia belum benar-benar sihat, dia merasa kesejukan tetapi dia hanya berkata kepada khadamnya, “Katakan sajalah kalau kau tidak suka kepadaku”. Lalu khadam itu cepat-cepat minta maaf dan Salahuddin terus memaafkannya.

Bahauddin juga telah mencatatkan beberapa peristiwa yang menunjukkan sifat pemurah dan baik hati Salahuddin. Kadang-kadang kawasan yang baru ditawannya pun diberikannya kepada pengikutnya. Satu ketika ia telah berjaya menawan bandar ‘Amad. Lalu seorang perwira tentera, Qurrah Arslan, menyatakan keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan senang hati dia memberikannya. Bahkan dalam beberapa ketika dia menjualkan hartanya semata-mata untuk membeli hadiah. Melihat betapa pemurahnya Salahuddin, bendaharinya selalu merahsiakan baki wang simpanan untuk digunakan semasa kecemasan.

Jika dia tahu, dia akan menyedekahkan khazanah negara sehingga habis. Salahuddin pernah mengatakan bahawa ada orang yang baginya wang dan debu sama sahaja. “Aku tahu”, kata Bahauddin, “Ia mengatakan dirinya”. Salahuddin tidak pernah membiarkan tetamunya meninggalkannya tanpa hadiah atau sebarang bentuk pemberian tanda penghargaan, walaupun tetamunya itu seorang kafir. Raja Saida pernah melawat Salahuddin dan dia menyambutnya dengan tangan terbuka, melayannya dengan hormat dan mengambil kesempatan menerangkan Islam. Bahkan Salahuddin sentiasa mengirimkan ais dan buah-buahan kepada Richard the Lion, musuh ketatnya, ketika Raja Inggeris itu sakit.

Hatinya memang sangat lembut hingga dia sangat mudah terkesan apabila melihat orang dalam kesusahan dan kesedihan. Suatu hari seorang perempuan Kristian datang mengadu kehilangan bayinya. Perempuan itu menangis dan meraung di hadapan Salahuddin sambil menceritakan bayinya dicuri dari khemahnya. Perempuan itu seterusnya mengatakan dia telah dimaklumkan hanya Salahuddin sahaja yang boleh mendapatkan bayi itu kembali. Hatinya tersentuh mendengar cerita perempuan itu lalu diapun turut menangis. Dia segera memerintahkan pegawai-pegawainya mencari bayi itu di pasar hamba-sahaya. Tidak lama kemudian bayi itu telah dapat dibawa kembali lalu dengan rasa gembira mendoakan kesejahteraan Salahuddin.

Bahauddin juga mencatatkan Salahuddin sangat belas kasihan kepada anak-anak yatim. Bila dia terjumpa anak-anak yatim dia akan menguruskan supaya ada orang menjadi penjaga anak itu. Kadang-kadang dia sendiri yang akan menjaga dan membesarkan anak yatim yang ditemuinya. Dia juga sangat kasihan melihat orang tua atau yang kurang upaya dan akan memberikan penjagaan yang khas kepada mereka apabila dia bertemu dengan orang sedemikian.

Kesungguhan dan Semangat

Ketika mengepung bandar Acre, Bahauddin mencatatkan bahawa Salahuddin mengidap sakit berat yang menyebabkan beliau sangat susah untuk bangun. Meskipun demikian, dia keluar menunggang kudanya untuk memeriksa angkatan tenteranya. Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana dia boleh menahan sakitnya. Maka Salahuddin menjawab, “Penyakit akan meninggalkanku apabila kamu menunggang kuda”.

Dalam ketika yang lain dia sebenarnya dalam keadaan yang lemah akibat sakit tetapi pergi memburu musuh sepanjang malam. “Apabila dia sakit”, kata Bahauddin, “Aku dan doktor akan bersamanya sepanjang malam. Dia tidak dapat tidur akibat menahan sakit, tetapi apabila pagi menjelang, dia akan menunggang kuda untuk melawan musuh. Dia menghantar anak-anaknya ke medan perang sebelum memerintahkan orang lain berbuat demikian. Aku dan doktornya bersamanya sepanjang hari menunggang kuda sehinggalah musuh berundur apabila senja menjelang. Dia hanya akan kembali ke khemah selepas memberikan arahan untuk kawalan keselamatan pada waktu malam”.

Dalam kesungguhan, semangat dan ketahanan rasanya tiada siapa yang boleh menandingi Salahuddin. Kadang-kadang dia sediri pergi ke kawasan perkhemahan tentera musuh bersama perisik-perisiknya sekali bahkan dua kali sehari. Ketika berperang, dia sendiri akan pergi merempuh celah-celah tentera musuh yang sedang mara. Dia sentiasa mengadakan pemeriksaan ke atas setiap tenteranya dan memberikan arahan kepada panglima-panglima tenteranya.

Bahauddin ada mencatatkan satu kisah yang menunjukkan betapa beraninya Salahuddin. Salahuddin diberitahu bahawa dia selalu mendengar bacaan hadis pada masa lapang, bukannya ketika perang. Apabila mendengar perkara ini dia segera mengarahkan supaya hadis-hadis dibacakan kepadanya ketika peperangan sedang berkecamuk dengan sengitnya.

Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam beberapa ketika, tentera Salib berjumah sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah dia menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 buah kapal tentera musuh beserta senjata berat mendarat pada satu petang.

Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kelam kabut. Tentera musuh telah merempuh khemah-khemat tentera Islam bahkan telah sampai ke khemah Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya kembali sehingga dia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan. Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat.

Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suatu hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, “Aku hendak beritahu padamu apa yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, kuberikan arahan-arahanku yang terakhir lalu aku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah. Aku tak akan meletakkan senjata aku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi atau jika ajalku sampai.”

Salahuddin Sebagai Ulamak

Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Dia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan dia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun dia sebenarnya orang Kurdi. Dia sangat gemar mengumpul pengetahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Qur’an, dia juga banyak menghafal syair-syair Arab.

Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul fiqh dan juga tafsir Qur’an.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts