Ditulis oleh delegasi 8 peguam AS.
7 Februari 2009 [Gaza City]. Kami adalah delegasi yang terdiri daripada lapan orang peguam dari Amerika Syarikat yang menganggotai National Laywers Guild (NLG) di Amerika Syarikat, yang datang ke Gaza City untuk melakukan penilaian kesan serangan terkini [Israel] ke atas para penduduk [Gaza], dan untuk memastikan apa juga bentuk, sekiranya ada, perlanggaran undang-undang antarabangsa yang telah dilakukan dan menyiasat samada mana-mana Undang-Undang tempatan Amerika Syarikat telah dicabuli pada masa yang sama. Sejak lima hari yang lepas, Kami telah menemuramah pihak-pihak yang menerima kesan secara langsung dengan serangan Israel, termasuk petugas-petugas perubatan, pekerja-pekerja bantuan kemanusiaan dan wakil daripada PBB. Secara khususnya, delegasi ini menyiasat tiga isu: 1) mensasarkan orang awam dan infrastruktur awam; 2) penggunaan senjata yang diharamkan dan 3) sekatan terhadap bantuan perubatan dan kemanusiaan kepada orang awam.
Mensasarkan Orang Awam dan Infrastruktur Awam
Banyak perbahasan tentang serangan udara dan darat Israel terhadap Gaza berkisar di sekitar persoalan samada Israel mematuhi prinsip kesaksamaan (proportionality) dan pemilihan (distinction). Perbahasan membayangkan Israel mensasarkan Hamas, iaitu kemudahan ketenteraan, kepimpinan dan anggota-anggotanya, dan dalam proses tersebut mereka secara tidak sengaja membunuh orang awam. Selain daripada menemui bukti yang menunjukkan orang awam menjadi mangsa serangan yang keterlaluan, kami menemui insiden-insiden di mana orang awam Palestin secara jelas dijadikan sasaran serangan.
Delegasi merakamkan banyak kenyataan penduduk menceritakan tentang tentera Israel yang menembak orang awam, termasuk wanita, kanak-kanak dan warga tua, di kepala, dada dan perut. Satu laporan yang banyak diterima menceritakan tentang bagaimana tentera Israel mengumpulkan sebilangan penduduk awam ke satu lokasi iaitu rumah atau sekolah, kemudian tempat tersebut ditembak oleh kereta kebal ataupun dibom dari udara dengan jet pejuang. Penduduk yang melarikan diri daripada lokasi tersebut ditembak oleh tentera Israel.
Kami bercakap dengan Khaled Abed Raboo, yang menyaksikan tentera Israel membunuh dua orang anak perempuannya yang berusia 2 dan 7 tahun, dan mencederakan anak perempuannya yang ketiga, Samar, 4 tahun, di hadapan rumah beliau pada waktu tengahari yang cerah. Dua orang lagi tentera Israel berada berhampiran melihat sambil makan makanan ringan dan coklat pada 7 Januari 2009. Abed Rabbo mengimbas keadaan yang berlaku di mana beliau berdiri di hadapan tentera-tentera Israel bersama ibu, isteri dan anak-anak perempuannya selama 5 hingga 7 minit sebelum salah seorang tentera Israel mula menembak ahli keluarga beliau.
Kami bercakap dengan Ibtisam al-Sammouni, 31 tahun, dan penduduk-penduduk di Perkampungan al-Zaytoon di Gaza City. Pada 4 Januari, tentera Israel memaksa lebih kurang 110 penduduk al-Zaytoon ke dalam rumah Ibtisam. Lebih kurang jam 7 pagi pada 5 Januari, tentera Israel melepaskan dua tembakan dari kereta kebal tanpa amaran ke arah rumah Ibtisam dan membunuh dua orang anak Ibtisam: Rizka, 14 tahun dan Faris, 12 tahun. Apabila mereka yang terselamat cuba melarikan diri tentera Israel melepaskan tembakan terhadap mereka. Anak lelaki beliau, Abdullah, 7 tahun, tercedera akibat serangan kereta kebal dan terpaksa duduk bersama mayat adik beradiknya yang telah meninggal selama empat hari sebelum tentera Israel membenarkan petugas perubatan masuk ke perkampungan al-Zaytoon bagi menyelamatkan mereka. Setelah petugas perubatan memindahkan mereka yang tercedera, jet pejuang Israel mengebom rumah tersebut dan meranapkannya bersama-sama mereka yang telah terkorban. Mayat mangsa berada di bawah timbunan bangunan selama 17 hari sebelum tentera Israel membenarkan petugas perubatan untuk mengambil mayat bagi tujuan pengebumian.
Kami bercakap dengan keluarga Rouhiya al-Najjar, 47 tahun, yang tinggal di Khoza’a, Khan Younis. Tentera Israel mengarahkan penduduk tempatan untuk berarak ke pusat bandar. Rouhiya membawa 20 orang wanita keluar daripada rumah beliau masuk ke lorong-lorong. Mereka semua memakai tudung berwarna putih. Sebaik sahaja berada di luar, sniper Israel menembak Rouhiya di bahagian kiri kepala beliau dan membunuh Rouhiya serta merta. Tentera Israel menghalang petugas perubatan daripada mendekati mayat Rouhiya selama dua belas jam. Ini hanyalah sebahagian daripada laporan yang kami terima.
Tentera Israel juga telah memusnahkan banyak bangunan di Semenanjung Gaza. Delegasi NLG melihat sisa kehancuran ratusan rumah kediaman dan kedai yang telah dimusnahkan – selain daripada tinggalan kesan kemusnahan American School di Gaza, pusat-pusat perubatan yang rosak, dan gedung UNRWA yang terbakar di bahagian dalamnya. Walaupun di dalam suasana konflik, tidak dinafikan kerosakan kolateral dan kesilapan boleh berlaku, tetapi di dalam insiden-insiden yang disiasat oleh kami menunjukkan tempat-tempat tersebut sengaja disasarkan dan bukannya kerosakan kolateral ataupun satu kesilapan. Contohnya:
American School di Gaza, yang diserang dengan dua peluru berpandu F-16 pada 3 Januari 2009 dan membunuh pengawal keselamatan yang sedang bertugas. Menurut Ribhi Salem, pengarah sekolah tersebut, Israel tidak memberi sebarang amaran. Salem menyatakan bahawa pihak sekolah telah mencapai persetujuan dengan pihak penentang bersenjata untuk tidak menggunakan kawasan sekolah dan tidak pernah ada sebarang aktiviti penentangan di situ.
United Nations Relief and Works Agency (UNRWA)
Pengarah Operasi Gaza UNRWA, John Ging, melaporkan tentera Israel melepaskan peluru berpandu ke atas sekolah-sekolah UNRWA di Gaza City, Jabaliya dan Bet Lahiya. Kawasan PBB di Gaza City juga diserang menggunakan fosforus putih dan peluru-peluru berpandu. Ging menyatakan semua bangunan dan kenderaan PBB mengibarkan bendera PBB, diwarnakan biru di bahagian atasnya, dan semasa serangan Israel petugas PBB sentiasa berhubung dengan autoriti Israel.
Penggunaan senjata yang diharamkan
Delegasi kami menerima dakwaan penggunaan senjata DIME (Dense Inert Metal Explosive), fosforus putih dan lain-lain senjata yang diharamkan penggunaannya di kawasan penduduk awam. Kami juga mendengar tentang penggunaan senjata yang diharamkan, seperti flachettes. Kami telah menemui bukti tentang penggunaan peluru flachettes, yang akan kami gabungkan dengan bukti yang dikumpulkan oleh Amnesty International untuk membuka ruang bagi siasatan lanjutan diadakan. Kami tidak menemui bukti yang kukuh berkenaan penggunaan DIME, tetapi kami percaya satu siasatan lanjut perlu dilakukan dan juga pendedahan terbuka daripada pihak Israel.
Penemuan yang kami perolehi menunjukkan dengan jelas penggunaan senjata konvensional yang digunakan dengan cara yang tidak dibenarkan, terutamanya berkenaan pengunaan senjata medan perang di kawasan padat penduduk. Undang-undang antarabangsa umumnya melarang penggunaan sebarang senjata yang dicipta untuk menghasilkan kesan siksaan yang tidak berpatutan. Kami menemui bukti yang menunjukkan Israel munggunakan fosforus putih secara sistematik dan meluas sepanjang tiga minggu serangan yang mengakibatkan banyak kematian dan kecederaan. Sebagai contoh, Sabah Abu Halima, 45 tahun, tinggal di Beit Lahiya bersama suami, tujuh anak lelaki dan seorang anak perempuan. Dia berada bersama keluarganya di rumah ketika waktu tengahari pada satu hari. Tiba-tiba dia merasa rumahnya bergoyang dan dalam tempoh beberapa minit, peluru-peluru menembusi atap rumahnya. Dia rebah ke lantai dan apabila dia melihat ke atas dia melihat anak-anak beliau sedang terbakar.
Sekatan terhadap bantuan perubatan dan kemanusiaan
Di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, mangsa yang cedera adalah orang yang dilindungi dan mesti diberi rawatan perubatan yang diperlukan bergantung kepada keadaan mangsa, sebaik mungkin yang termampu dan secepat mungkin yang terdaya. Pihak yang berkonflik hendaklah memastikan perjalanan petugas perubatan dan ambulan-ambulan tidak disekat di dalam menjalankan tugas mereka memindahkan mangsa yang tercedera bagi mendapatkan rawatan perubatan. Setelah bercakap dengan petugas-petugas perubatan dan keluarga mangsa, Delegasi NLG telah mendapati dan mendokumentasi banyak insiden di mana pencabulan undang-undang kemanusiaan telah berlaku. Antara kisah yang telah didokumentasi termasuk:
Perkampungan al-Zaytoon, yang diserang oleh tentera darat Israel pada 3 Januari 2009. Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin menerima 145 panggilan kecemasan daripada al-Zaytoon, tetapi dihalang daripada masuk untuk memberi bantuan oleh tentera Israel. Bashar Ahmed Murad, Pengarah Servis Perubatan Kecemasan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) memberitahu kami “ramai orang yang berupaya diselamatkan jika mendapat rawatan, tetapi mereka tidak diberikan bantuan perubatan oleh Israel, dan mereka juga tidak membenarkan kami untuk masuk.” Apabila paramedik dibenarkan masuk pada 7 Januari, tentera Israel hanya memberikan “tempoh bertenang” selama tiga jam untuk kami berkerja dan tidak membenarkan ambulan masuk. Paramedik terpaksa meletakkan ambulan mereka 2 kilometer daripada tempat kejadian dan terpaksa berjalan kaki untuk ke sana. Murad memberitahu para delegasi bagaimana mereka terpaksa melonggokkan mangsa yang tercedera di atas kereta sorong-kereta sorong dan petugas perubatan terpaksa menarik sendiri kereta sorong tersebut untuk memastikan dapat membantu seramai mungkin mangsa yang tercedera dengan masa yang terhad yang diberikan kepada mereka. Setelah tempoh tiga jam tamat, tentera Israel mula melepaskan tembakan ke arah ambulan-ambulan. PRCS tidak lagi dapat masuk ke sana untuk memindahkan mangsa dan mayat sehingga 17 Januari 2009 setelah tentera Isreal meninggalkan kawasan tersebut.
Keluarga Al-Shurrab
Pada 16hb Januari, tentera Israel melepaskan tembakan ke arah jip yang dipandu Mohammad Shurrab, 64 tahun, dan dua orang anaknya, Kassab dan Ibrahim, berusia 28 dan 18 ketika mereka kembali dari ladang. Mohammad ditembak di lengan kiri dan Ibrahim pula ditembak di kaki. Kassab menerima beberapa das tembakan setelah diarahkan keluar daripada kenderaan. Satu peluru mengenai dada dan membunuh beliau. Mohammad, yang berlumuran darah daripada luka yang dialami, menghubungi media, persatuan bulan sabit merah dan juga beberapa NGO dengan telefon bimbit untuk mendapatkan bantuan perubatan. Tentera Israel menghalang sebarang bantuan perubatan sehingga hampir 24 jam berlalu sejak Mohammad, Ibrahim dan Kassab ditembak. Sebelum bantuan dibenarkan masuk, Ibrahim telah meninggal dunia akibat pendarahan yang dialami. Mohammad Shurrab dan anak-anaknya ditembak ketika “tempoh bertenang” (“lull”) yang dipersetujui Israel untuk membolehkan bantuan kemanusiaan masuk dan diagihkan kepada penduduk Semenanjung Gaza. Oleh yang demikian, delegasi NLG tidak nampak sebarang rasional untuk tentera Israel menyekat bantuan perubatan untuk sampai kepada keluarga Shurrab yang tercedera.
Undang-undang kemanusiaan antarabangsa melarang serangan ke atas petugas-petugas perubatan, unit-unit perubatan dan kenderaan-kenderaan perubatan yang dikhususkan untuk tujuan perubatan. Ahli delegasi menyaksikan ambulan-ambulan yang rosak teruk dan ada yang hancur, sebahagiannya dirempuh secara sengaja oleh kereta kebal-kereta kebal Israel. PRCS dan Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan kepada delegasi sebanyak 15 orang petugas perubatan Palestin telah terkorban dan 21 orang lagi cedera sepanjang serangan Israel ke atas Gaza.
Kesimpulan
Delegasi ini benar-benar khuatir dengan penemuan awal yang didapati. Kami menemui petunjuk jelas tentang pencabulan undang-undang peperangan dan kemungkinan besar aksi jenayah perang yang telah dilakukan oleh Israel di Semenanjung Gaza. Kami benar-benar khuatir kerana kebanyakan senjata yang digunakan di dalam serangan 27 Disember ke atas Gaza adalah dibuat dan dibekalkan Amerika Syarikat. Kami percaya kegunaan senjata tersebut oleh Israel merupakan perlanggaran terhadap undang-undang AS, terutamanya Akta Bantuan Luar (Foreign Assistance Act) dan Akta Kawalan Eksport Senjata AS (US Arms Export Control Act).
Satu laporan penemuan awal kami akan disediakan dan diserahkan kepada, antara lain, anggota-anggota Kongres AS. Kami ingin mencadangkan agar satu siasatan rasmi oleh kerajaan AS dilakukan bagi menyiasat pencabulan Israel terhadap undang-undang AS. Kami juga berharap agar hasil penemuan dan usaha kami ini dapat dimanfaatkan oleh peguam-peguam tempatan dan antarabangsa untuk menuntut pertanggungjawaban terhadap mereka yang didapati bersalah terhadap jenayah terkutuk ini yang telah didokumentasikan di dalam laporan ini. [freegaza.org/terjemahan: HALUANPalestin]