Dapur Rahmah Gaza

Program menyediakan sarapan pagi untuk anak-anak miskin Gaza

Kekurangan zat makanan adalah masalah serius di Gaza. Satu kajian World Food Programme (WFP) mendapati 86 peratus kanak-kanak di bawah usia lima tahun, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan berhampiran sempadan, tidak mendapat diet asas sekalipun pada kadar minimum.

Masalah menjadi semakin buruk dalam beberapa bulan terakhir dengan ancaman pandemik Covid-19. Sekatan pergerakan untuk menangani pandemik itu menyebabkan ramai penduduk kehilangan sumber pendapatan mereka, yang selama ini sudahpun dibelenggu kemiskinan.

HALUAN melalui kerjasama NGO Al-Sarra Foundation menganjurkan program Dapur Rahmah sejak 2019, bertujuan untuk menyediakan sarapan pagi kepada 200 anak-anak dari keluarga miskin di Gaza setiap hari.

Diharapkan usaha ini dapat membantu keluarga mereka menangani masalah lain dalam keluarga, termasuklah untuk mendapatkan makanan dan keperluan asas bagi ahli keluarga yang lain.

 

Amalan memberi makan amat digalakkan terutamanya kepada mereka yang fakir miskin dan anak yatim. Allah SWT memuji orang-orang yang bersedekah seperti dalam bentuk makanan sebagaimana dalam firman-Nya dalam Surah al-Insan ayat ke-8:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا

Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.

 

Di dalam hadis Nabi SAW, turut dijelaskan berkenaan keutamaan sedekah memberi makan ini. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Salam, ketikamana Nabi SAW sampai ke kota Madinah, Baginda SAW bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلاَمَ ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ ، وَصِلُوا الأَرْحَامَ ، وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ ، تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلاَمٍ

“Hai orang ramai. Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur. Nescaya kamu dapat masuk Syurga dengan sejahtera dan selamat.”

Riwayat al-Tirmizi (2485), Ibnu Majah (3251) dan Ahmad (5/451)

Dalam menjelaskan hadis ini, Imam al-Khattabi berkata: Nabi SAW menjadikan (memberi makan) sebagai seafdhal amalan di mana ia menjadi penguat kepada badan.

 

Sesungguhnya amalan memberi makan menunjukkan hilangnya rasa takut dan kefakiran, sehingga akhirnya menjadikan hati sesama umat Islam akan semakin dekat dan hubungan silaturrahim akan terjalin semakin kuat.

 

Allah SWT turut menyebut ancaman terhadap orang yang kedekut dan bakhil terhadap harta mereka. Di dalam surah al-Ma’un ayat 1 hingga 3, Allah SWT mengkhabarkan tentang salah satu ciri-ciri orang yang mendustakan agama, di mana firman-Nya:

أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ ﴿١﴾ فَذَٰلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ ﴿٢﴾ وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ

“Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.”

Dalam menjelaskan ayat “وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ”, Imam al-Qurtubi berkata: Yakni seseorang itu tidak mahu berkongsi dan membenci orang lain yang berkongsi akan sesuatu rezeki. Ini disebabkan kebakhilannya dan pendustaannya terhadap balasan dan ganjaran di akhirat nanti.

Pada asasnya, mereka yang dicela oleh ayat ini adalah orang-orang yang memiliki sifat kedekut dan tidak mahu berkongsi. Ayat ini tidaklah ditujukan kepada orang-orang yang tidak berkemampuan kerana mereka sememangnya tidak mampu.

 

Mudah-mudahan dengan melazimi amalan bersedekah memberi makan ini, sedikit sebanyak ia dapat menghakis sifat kedekut dan bakhil, sebaliknya digantikan dengan sifat suka memberi, saling mengasihi serta mendahulukan orang lain dalam berkongsi nikmat Allah yang dikurniakan.

 

Hampir RM80,000 diperlukan setiap tahun untuk menjayakan program ini.

Anda yang ingin turut membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun
Tabung Palestin HALUAN
Bank Islam Malaysia Berhad : 1402 3010 0342 92
Malayan Banking Berhad : 5644 9020 8528