GAZA, 5 Jan 2016 (EI) — Bulan Disember 2015 menyaksikan penduduk Palestin di Tebing Barat menjadi mangsa serangan ganas berterusan tentera Zionis, seolah-olah menggantikan sementara waktu peranan saudara mereka di Gaza yang selama ini tidak pernah aman daripada serangan tentera penjajah itu.
Masyarakat antarabangsa terus membiarkan tentera penjajah Zionis dan pelampau Yahudi bebas mengganas sejak Oktober 2015, sekaligus membunuh sekurang-kurangnya 140 penduduk Palestin termasuk 29 orang kanak-kanak.
Lebih dari separuh kematian adalah akibat ditembak mati oleh tentera atau polis penjajah Zionis, sungguhpun mangsa akhirnya didapati tidak membawa sebarang ancaman kepada mereka ketika kejadian. Bahkan dalam beberapa kes tertentu, mangsa tidak pernah cuba membuat sebarang serangan sepertimana yang didakwa oleh pihak bersenjata Zionis.
Rejim Zionis turut bertindak menahan sekurang-kurangnya 80 jenazah penduduk Palestin yang mereka bunuh. Syarat-syarat serahan jenazah kepada keluarga mereka membuatkan urusan bedah siasat ke atas jenazah tidak dapat dilakukan.
Tahanan Palestin di penjara Zionis juga meningkat secara mendadak, di mana seramai 2,660 termasuk 500 kanak-kanak ditangkap sejak awal Oktober. Secara keseluruhan, jumlah tanahan Palestin di penjara kini mencecah sekitar 6,800 orang.
Berikut adalah foto-foto terpilih dalam peristiwa sepajang bulan lalu.