GAZA, 22 Okt 2014 (BHP) — Setiap hari Mohammed Maqadima, 14 tahun, terpaksa mengusung botol-botol berisi air dari sebuah tangki sejauh 500 meter dari rumahnya di kejiranan Sha’af di timur Gaza City. Ibunya bergantung sepenuhnya kepada usaha remaja ini bagi melunaskan semua tugasan rumahtangga. Mohammed juga memerlukan beberapa jam lagi untuk mencari dan mengumpul kayu untuk dijadikan bahan bakar bagi menghangatkan badan, memandangkan cuaca akan menjadi lebih mencengkam menjelang tibanya musim sejuk.
Mohammed berkata, “Saya mesti mengharungi jarak ini sebanyak tiga kali sehari untuk membawa pulang air ke rumah. Telaga air di kawasan kami musnah, kami tidak mendapat bekalan air sedikitpun. Apabila tangki bekalan air menjadi kosong, penduduk terpaksa menunggu ketibaan lori untuk mengisi air lagi.”
Gambaran umum yang diceritakan oleh Rasha Abou Jalal dalam Al-Monitor itu belum cukup mendedahkan sengsara sebenar penduduk Gaza. Dari keperitan mendapatkan makanan dan air, rawatan perubatan dan pekerjaan, hinggalah kepada ancaman dari bencana alam dan pencemaran alam sekitar.
Sebahagian besar wilayah Gaza, terutama sekali di kawasan yang dimusnahkan teruk oleh tentera Zionis sepanjang tempoh dari 27 Julai hingga 26 Ogos lalu, berhadapan dengan krisis asas yang sangat kompleks.
Pertamanya, sistem bekalan air telah musnah, menjadikan ratusan ribu penduduk terpaksa mendapatkan bekalan air dari tempat jauh. Keduanya, jaringan dan pencawang bekalan elektrik juga dimusnahkan. Penduduk terpaksa mencari sumber alternatif untuk keperluan elektrik melalui apa jua cara yang munasabah untuk menyelamatkan keluarga daripada kesejukan dan basahan hujan di dalam rumah mereka yang musnah, menjelang musim sejuk.
Pengarah Jabatan Saliran di Majlis Perbandaran Gaza, Saad Eddine Alatbash, berkata bahawa mereka masih belum dapat menyiapkan kerja-kerja membaiki infrastruktur yang musnah, terutama sekali untuk bekalan air dan sistem saliran. Beliau turut memaklumkan sebahagian besar penduduk masih tidak menerima bekalan air, termasuklah di kejiranan Shujaiyyah, Sha’af dan Toufah serta sebahagian besar daerah Sheikh Radwan.
Krisis yang dihadapi penduduk Gaza dijangka akan lebih meruncing apabila tibanya musim sejuk, di mana air hujan akan meresap ke dalam tanah, dikeruhkan lagi dengan sistem paip air yang bocor, dan mengakibatkan banjir di jalanan serta kawasan
penempatan.
“Kami amat kekurangan peralatan dan terpaksa berhadapan dengan masalah mesin yang rosak akibat serangan. Kami juga kekurangan tenaga kerja, di mana sudah empat bulan pekerja tidak menerima gaji mereka,” kata Saad. “Gaza tidak dapat menangani ribut Alexa pada musim sejuk tahun lalu, dan perkara ini meningkatkan lagi kebimbangan terhadap bencana besar jika ribut melanda Gaza lagi kali ini.”
Laporan Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA) 29 September lalu menyebut, “Setelah diserang beberapa kali, Janakuasa Elektrik Gaza terpaksa ditutup pada 29 Julai.” Laporan itu juga mendedahkan bahawa, “Sekalipun di kawasan yang mana bekalan elektrik dapat dipulihkan, bekalan masih terputus untuk tempoh lebih 18 jam sehari, sekaligus mengganggu perjalanan perkhidmatan asas termasuk sektor kesihatan dan bekalan air di seluruh Gaza.”
Pengarah perhubungan awam Gaza Electricity Distribution Co., Jamal al-Dardasawi berkata, “Satu malapetaka kemanusiaan yang baharu sedang menunggu penduduk Gaza jika musim sejuk tiba dalam keadaan jaringan bekalan elektrik belum dapat diperbaiki.” “Dalam musim sejuk, beban bekalan elektrik secara umumnya akan meningkat di mana ia akan mengakibatkan kegagalan dalam sistem bekalan sekalipun di kawasan yang sudah dipulihkan.”
Pada musim sejuk tahuun lalu, Fatimah al-Kayed menggunakan dapur elektrik untuk memenuhi keperluan memanaskan badan keluarganya. “Hari ni, kami tidak ada bekalan eletrik langsung. Jadi kami terpaksa mencari cara lain untuk berhadapan dengan kesejukan, dan sekiranya tidak berjaya (mencari jalan lain) kami akan kesejukan sepanjang musim.”
Sungguhpun rumah beliau tidak musnah dalam serangan lalu, keretakan di dinding dan bumbung harus ditutup bagi mengelakkan angin sejuk dan air hujan masuk. Suaminya, Fayez al-Banna, mengunakan tar untuk menampal keretakan. “Kami menggunakan kaedah lama untuk menampal keretakan. Saya tidak pasti cara ini akan berjaya atau tidak, tetapi tidak rugi mencuba,” kata Fayez. Fatima pula menampal diding dengan menggunakan kain untuk menghalang angin sejuk masuk melalui melalui ruangan lubang di dinding yang retak itu.
Ketika Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, melawat Gaza baru-baru ini, lebih 100,000 penduduk Gaza masih tidak mempunyai tempat berteduh dan 50,000 orang lagi masih menumpang di bangunan-bangunan sekolah. Ribuan yang lain sanggup tinggal di dalam rumah mereka yang runtuh, kerana tidak ada pilihan yang lebih baik.
Musim sejuk kali ini bakal dilalui oleh penduduk Gaza dalam keadaan pembinaan semula yang dijanjikan oleh masyarakat dunia masih belum bermula, sungguhpun mereka dijanjikan dengan separuh daripada dana US$5.4 bilion sumbangan luar dalam persidangan di Kaherah 12 Oktober lalu.
Semoga Allah memberi mereka jalan keluar dari musibah ini melalui jiwa dan tangan yang ikhlas, dan seterusnya membawa kemerdekaan kepada bumi barakah itu. Apakah kita tidak mahu menjadi sebahagian daripada jiwa dan tangan yang ikhlas itu?
Sumbangan untuk penduduk Gaza bagi menghadapi musim sejuk boleh disalurkan melalui
Tabung Palestin HALUAN
Maybank Berhad : 5644-9020-8528
Bank Islam Malaysia Berhad : 14-023-01-003429-2