Gaza dibiarkan bersendirian menghadapi pandemik Covid-19

GAZA, 1 Sep 2020 — Sejak pertama kali munculnya Covid-19, penduduk Palestin di Gaza telah menangani pandemik ini dengan tekad dan kecekalan mereka yang tidak lekang selama hidup di bawah kezaliman rejim Zionis. Tanpa berlengah, mereka menerapkan prosedur kuarantin yang ketat, dengan pengasingan wajib selama 21 hari di sebuah pusat kendalian pihak berkuasa berdekatan pos sempadan di selatan wilayah terkepung itu.

Semuanya berjalan lancar sehinggalah pengumuman minggu lalu, yang mengesahkan kes pertama di luar pusat kuarantin tersebut. Empat sekeluarga diuji positif Covid-19. Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) memberi amaran bahawa sektor kesihatan di Gaza tidak akan dapat menangani ancaman penyebaran virus yang tidak mungkin dapat dielakkan ini.

Keadaan di Gaza merupakan salah satu kehidupan yang paling rumit di dunia; bagaimana mereka berhadapan dengan ancaman virus korona amat sukar dibandingkan dengan tempat lain. Ianya benar-benar luar biasa, dan menjadikannya satu kes yang tersendiri.

Pihak berkuasa di Gaza tidak mungkin dapat memaksa pengasingan diri atau perintah berkurung sepenuhnya ia melibatkan dua juta orang, termasuk 1.4 juta pelarian, yang hidup dalam keadaan yang sangat padat. Menurut UNRWA, seramai 30,000 orang tinggal dalam setiap kilometer persegi, dan meningkat menjadi 55,000 orang per kilometer persegi di kem pelarian. Gaza bukan sahaja merupakan salah satu tempat paling padat penduduk di dunia, tetapi juga salah satu tempat paling miskin. Beratus-ratus ribu orang tinggal di kem pelarian yang seakan hampir roboh dan bangunan-bangunan rumah yang rosak atau runtuh dibom oleh tentera Zionis, dengan fasiliti yang terhad.

Kem Shati, misalnya, adalah kem yang ketiga terbesar dari lapan kem pelarian Gaza, dan antara yang paling padat. Pada awalnya ia menampung 23,000 pelarian. Kini lebih dari 85,600 orang tinggal di kawasan seluas hanya sekitar setengah kilometer persegi itu. Kawasan kem ini tidak dapat berkembang lagi, tetapi bilangan penduduknya terus meningkat. Dengan lorong dan jalan yang sangat sempit, kem ini mempunyai satu pusat pengedaran makanan, satu pusat kesihatan, satu pejabat bantuan sosial dan perkhidmatan PBB, satu pejabat penyelenggaraan dan sanitasi serta dua telaga air. Bagaimana mungkin pihak berkuasa dapat memaksakan pengasingan diri atau perintah berkurung dalam keadaan seperti itu?

“Duduk di rumah” bukanlah satu pilihan apabila anda terpaksa bergantung kepada pekerjaan harian, dengan gaji yang sangat rendah, untuk memenuhi keperluan yang sangat asas. Tinggal di rumah selama 14 hari bermaksud tidak ada pekerjaan, tidak ada pendapatan dan tidak ada makanan.

Ketiadaan bekalan kuasa elektrik selama lebih 12 jam sehari mengeruhkan lagi krisis ekonomi di Gaza. Lebih-lebih lagi, 96 peratus daripada sumber air di Gaza tidak sesuai kegunaan manusia. Di tambah lagi dengan suhu yang melampau – sangat panas di musim panas, sangat sejuk di musim sejuk – begitu juga dengan serangan bom serta pencerobohan tentera Zionis, krisis di Gaza semakin meluap-luap. “Duduk di rumah”? Tidak mungkin.

Sekatan zalim yang berterusan sejak 14 tahun lalu merupakan salah satu sebab utama mengapa usaha menangani Covid-19 menjadi sangat sukar. Gaza dikatakan sebagai penjara terbuka terbesar di dunia. Sejak 2007, laluan udara, laut dan darat Gaza dikepung ketat oleh rejim Zionis dan sekutunya, termasuk Mesir. Ubat-ubatan, kelengkapan perubatan, bahan-bahan dan peralatan makmal adalah antara barang-barang penting yang dihalang oleh pengepungan tersebut. Penduduk Gaza yang memerlukan rawatan perubatan di luar negara pula berhadapan dengan masalah mendapatkan permit melintas sempadan.

Umumnya, kekuatan atau kesihatan tubuh manusia bergantung pada makanan seimbang dan air bersih, yang diperolehi dalam persekitaran sihat. Gaza tidak mempunyai semua ini. Sektor kesihatan Gaza yang hampir lumpuh bergelut hanya untuk mengatasi masalah sehari-hari, usah disebut tentang krisis virus korona. Bekalan alat pelindung diri (PPE) amat kekurangan, begitu juga bahan pembasmi kuman dan bahan-bahan pembersih asas yang lain.

Dalam laporannya pada tahun 2017, PBB mendakwa bahawa Gaza akan menjadi wilayah yang “tidak layak didiami” pada tahun 2020. Nah! Kita kini sudah melepasi separuh pertama tahun 2020, dengan sekatan masih berterusan walaupun seluruh dunia berperang dengan pandemik Covid-19; kemiskinan yang sangat meluas; sektor kesihatan yang lumpuh; dan keadaan hidup yang teruk yang sangat sesuai untuk penyebaran virus korona.

“Sekiranya jangkitan mencapai tahap tinggi di mana lebih dari 40 katil ICU diperlukan untuk merawat pesakit, itu… boleh berubah menjadi satu bencana dalam jumlah yang besar,” jelas Gerald Rockenschaub, Ketua Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) di Palestin. Apa agaknya prospek bagi wilayah terkepung itu, yang hanya memiliki 40 katil ICU untuk populasi dua juta orang?

Walaupun berhadapan dengan semua krisis ini, penduduk Gaza kekal optimis. Mereka perlu bersikap begitu, dan mereka tidak rela ditewaskan oleh ancaman terbaru ini. Walaupun dunia luar memiliki teknologi serba canggih untuk mengatasi pandemik itu, Gaza hanya berdiri sendiri, dengan fasiliti sederhana dan primitif yang seadanya. Kehidupan di Gaza kini boleh dikatakan sebagai lumpuh, dengan jalan-jalan ditutup untuk menguat-kuasa perintah berkurung.

Sementara itu, tentera Zionis terus mengebom Gaza sejak lebih dua minggu terakhir. Mengapa dunia hanya diam melihat apa yang berlaku? Sekiranya PBB memiliki sebarang kredibiliti, badan dunia itu mesti bertindak hari ini untuk melindungi penduduk Gaza. Ini adalah hak asasi manusia yang muncul pada saat terbaik; ketika ancaman pandemik dalam keadaan hidup yang amat genting.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts