Gaza Dilanda Hujan Lebat, Banjir

KHAN YOUNIS, 10 Nov 2015 (MEE) — Shyamaa Khairddin, 11 tahun, biasanya berjalan pulang dari sekolah dengan kawannya Yasmin. Beliau melalui jalan yang sama setiap hari, tetapi Isnin lalu anak perempuan itu terkandas dek hujan yang turun sangat lebat di Gaza.

“Saya keluar di waktu pagi; keadaan kering – tidak ada air langsung. Sekarang, saya tidak dapat pulang ke rumah,” kata Shyamaa sambil membawa kasut dan beg sekolahnya di atas kepala, cuba memastikan semuanya tidak basah walaupun hujan begitu lebat.

Shyamaa yang tinggal di Khan Younis di selatan Gaza berkata dia selalunya berasa gembira melihat hujan turun, tetapi hujan kali ini berbeza daripada biasa. Dalam keadaan ribut yang menghentam, infrastrukur yang tidak kukuh di Gaza roboh dan hujan lebat itu sengan cepat mula membanjiri jalan-jalan di bandar.

Hujan lebat membanjiri bumi Gaza sejak dua tahun lalu, dan ramai penduduk mendakwa mereka kini sudah menjadi biasa dengan keadaan seperti itu, tetapi realiti hari ini seolah-olah semakin perit. Hujan lebat kali ini bukan sahaja membanjir jalan-jalan, tetapi juga rumah-rumah di Khan Younis. Kenderaan terpaksa ditinggalkan terkandas di tengah jalan dan sistem kumbahan melimpah.

Tibanya waktu malam, pasukan penyelamat masih bergegas ke kawasan sekitar, dalam usaha membantu mereka yang dilanda teruk. Tetapi dengan kekangan tenaga dan kemudahan, proses pembersihan agak perlahan. Kereta yang sudah rosak amat sukar untuk dialihkan, dan peralatan untuk mengepam keluar air tidak mengcukupi. Bagi mengurangkan krisis, pihak perbandaran membawa pasir sebanyak dua muatan lori bagi menghalang air daripada masuk ke kawasan rumah yang mana penghuninya terperangkap dan membina laluan semantara supaya penduduk dapat berjalan, tetapi tidak siapa tahu apa yang akan berlaku kemudian nanti.

“Hujan turun hanya sejam-dua, lihat apa yang berlaku, ” kata Abu Rasad, seorang penduduk Khan Younis yang berumur 59 tahun.

“Kami bukan sahaja dihukum dengan peperangan yang berterusan, tetapi bencana alam juga seperti menghukum kami,” kata Abu Rashad.

Seorang lagi penduduk, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata rumahnya dilanda banjir, di mana paras air di tingkat bawah mencecah setinggi kira-kira satu meter. Beliau cuba menyelamatkan apa sahaja yang boleh, tetapi kerosakan berlaku di merata tempat. Kata beliau, ini bukanlah kali pertama rumahnya dilanda bencana.

“Ia berlaku setiap tahun, dan tidak ada apa-apa langkah yang diambil,” katanya sambil menyalahkan pihak perbandaran kerana tidak membina infrastruktur yang lebih baik.

Keadaan yang sama dapat dilihat di tempat-tempat lain di seluruh Gaza, dan bahkan juga di kebanyakan kawasan Timur Tengah.

Di wilayah Palestin 1948 yang terjajah, Tebing Barat, sebahagian dari Mesir dan Jordan, hujan turun dengan lebatnya sehinggakan rumah, sekolah dan hospital ditenggelami air.

Bagaimanapun, keadaan di Gaza yang sudahpun terdedah dengan serangan berterusan selalu menjadi cemuhan, sugguhpun mereka memiliki kemudahan yang terhad untuk berhadapan dengan cuaca melampau seperti itu.

Pengarah perbandaran Khan Younis, Mohammed Agha, berkata, “Jumlah air terlalu besar dan tidak diduga, sehinggakan mustahil untuk dihadapi dengan pam pair dan terusan yang ada. Banyak yang tertutup atau tersangkut oleh sampah yang dibawa arus air hujan.”

Pekerja perbandaran, katanya, berhadapan dengan kekurangan kemudahan. “Krew kami kekurangan peralatan mengepam air, buldozer dan alat penggali.”

Bantuan yang diberikan oleh penderma dapat membantu Gaza untuk terus memberi khidmat asas sepeti mengumpul sampah di tempat-tempat tertentu, dan juga menyumbang wang serta minyak untuk penjana elektrik. Sesungguhnya tanpa bantuan seperti ini, infrastruktur di Gaza tidak mungkin dapat berfungsi lagi, sistem kumbahannya akan terbiar melimpah.

Mohammaed Al-Madina, jurucakap pasukan pertahanan awam berkata pasukannya dipanggil untuk membantu keluarga mengosongkan rumah mereka di kawasan kejiranan di Al-Zaytoun dan juga kem pelarian Shati. Mohammed, yang rumahnya sendiri juga dilanda banjir, berkata bahawa infrastruktur yang ada tidak lagi mampu menanggung air banjir, dan hujan yang berterusan akan hanya menyebabkan air melimpah ke dalam rumah penduduk.

“Hujan telah musnahkan semua perabut saya, peralatan elektrik, pakaian dan tempat tidur. Semuanya terapung, dan menunjukkan suasana huru hara di merata tempat,” kata beliau.

Penduduk Gaza kini bimbang dengan kemungkinan yang lebih dahsyat. Sungguhpun wilayah yang disekat rejim Zionis itu tidak lagi pelik dengan hujan lebat, ribut kencang biasanya tiba pada lewat bulan Disember dan Januari. Ketibaan yang lebih awal daripada biasa ini menimbulkan kerisauan bahawa wilayah tersebut bakal berhadapan dengan musim sejuk yang datang bersama hujan lebat.

Dengan keadaan pekerja perbandaran dan pegawai kerajaan yang tidak menerima bayaran gaji sejak berbulan, semangat dan sumber daya mereka kini di tahap yang sangat rendah. Penduduk tidak mampu untuk membina semula rumah mereka – banyak yang rosak dan dimusnahkan oleh tenetra Zionis dalam serangan pada tahun lalu – atau berhadapan dengan kerosakan akibat banjir. Kadar pengangguran kini lebih 40%, dengan berterusannya sekatan yang dikenakan oleh rejim Zionis sejak tahun 2007, sehingga menjerut sebahagian besar daripada kegiatan ekonomi.

Umm Basel, seorang penduduk Khan Younis mengaku bahawa beliau tidak mampu untuk membayar bil elektrik, air dan perkhidmatan pembersihan. “Saya tidak ada wang, dan tidak seorangpun dari anak-anak saya mendapat gaji – semuanya tidak rela menganggur,” kata beliau.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts