Penulis dan Professor sejarah, Mark LeVine menemuramah ahli sosiologi Lisa Taraki, salah seorang pengasas kempen Palestin untuk Pemboikotan Budaya dan Akademik Israel.
Mark LeVine : Apakah sebenarnya gerakan “Boikot, Rampas dan Sekat” dan apa kaitannya dengan gerakan memboikot budaya dan akademik Israel? Bagaimanakah matlamat dan kaedah kedua-dua gerakan ini telah berkembang saban tahun ini?
Lisa Taraki : Gerakan “Boikot, Rampas dan Sekat (BRS)” boleh dirumuskan sebagai perjuangan menentang kolonisasi Israel, pendudukan haram dan apartheid. BRS ialah sebuah strategi bertunjangkan hak untuk dituntut sehinggalah Israel memenuhi tanggungjawabnya untuk mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk hidup bebas dan memenuhi kesemua keperluan undang-undang antarabangsa.
Dalam kerangka ini, boikot ke atas budaya dan akademik Israel telah memperoleh sokongan yang baik sejak 7 tahun pelancarannya pada 2004. Matlamat boikot ini sepertimana yang dikongsi oleh Seruan Rakyat Palestin untuk Boikot, Rampas dan Sekat yang dimulakan pada 2005 kekal tidak berubah. Antaranya adalah untuk menamatkan kolonisasi tanah Palestin sejak 1967; memastikan hak kesaksamaan rakyat Israel berbangsa Palestin dan menamatkan diskriminisasi bangsa, serta memastikan hak pelarian Palestin untuk pulang ke tanah air mereka sepertimana terkandung dalam Resolusi PBB 194.
Logik daripada gerakan BRS juga kekal konsisten. Asasnya adalah tekanan yang munasabah, bukan diplomasi, pujukan atau dialog. Nyata kaedah diplomasi telah gagal mencapai hak dan tuntutan Palestin berikutan perlindungan dan imuniti yang diperolehi Israel hasil hegemoninya ke atas negara-negara kuasa besar.
Kedua, pujukan juga telah mengalami kegagalan. Ini berikutan jahil dan dangkalnya sifat kemanusiaan Israel terhadap penderitaan akibat penjajahan terhadap Palestin dan siri keganasan yang tiada hentinya. Dialog antara Palestin dan Israel yang amat digemari oleh puak liberal Israel dan Barat yang menaja aktiviti tersebut juga telah gagal dengan teruk. Dialog hakikatnya merakamkan ‘kisah kedua-dua belah pihak’. Kedua-dua pihak mesti memahami penderitaan, kemarahan dan kesakitan yang dialami pihak yang lain, dan memahami ‘bahasa’ yang digunakan rakan dialog.
Ini bermaksud kedua-dua belah pihak ditonjolkan sebagai rakan yang setara, dan menafikan kedudukan penajajah-dijajah yang ingin diketengahkan. Dialog tidak memajukan perubahan, sebaliknya mengukuhkan apa yang disebutkan tadi. Ini menjadikan Israel berasa mereka telah melakukan sesuatu, sedangkan hakikatnya tidak. Logik yang diamalkan BRS adalah logik tekanan. Dan tekanan itu semakin memuncak.
Tekanan institusi
Boikot akademik dan budaya yang dipelopori Palestin ini adalah sebuah boikot institusi. Ia tidak mensasarkan golongan seniman atau ahli akademik secara individu. Harus dinyatakan di sini bahawa, ia bermakna kesemua universiti dan keseluruhan spektrum institusi budaya merangkumi polisi negara juga menjadi sasaran boikot ini. Kriteria dan panduan boikot juga telah dikembangkan sejak penubuhan gerakan ini selari dengan berkembangnya pengalaman kami dan sebagai respons terhadap permintaan ahli-ahli akademik dan pekerja kebudayaan yang mahu turut serta. PACBI misalnya, memainkan peranan penting dalam memberi khidmat nasihat dan penerangan kepada aktivis keamanan antarabangsa. Gerakan ini meneruskan momentumnya dengan mematuhi panduan yang disediakan PACBI dengan kerjasama gerakan BRS.
Sejumlah intelek, ahli akademik, penulis, seniman, ahli muzik dan pekerja kebudayaan yang popular kini telah menyahut seruan boikot ini, dan nama-nama meraka terlalu ramai untuk disebutkan di sini. Nama-nama mereka boleh ditemui di laman sesawang PACBI. Tambahan lagi, beberapa kempen yang serupa telah dijalankan di seluruh dunia; di UK, Amerika, Perancis, Pakistan, Lubnan, Jerman, Norway, India, Afrika Selatan, Australia dan banyak lagi. Penubuhan European Platform for the Academic and Cultural Boycott of Israel (EPACBI) berperanan penting sebagai badan yang mengkoordinasi gerakan ini di Eropah.
Serangan ke atas Gaza pada musim sejuk 2008-2009 dan pembunuhan aktivis Turki dalam pelayaran Mavi Marmara pada Mei 2010 menjadi pemangkin utama tersebarnya gerakan BRS di seluruh dunia. Ini termasuk pembatalan persembahan artistik di Israel, protes terhadap persembahan institusi Israel di peringkat antarabangsa (seperti persembahan Orkestra Filharmonik Israel), dan pelbagai lagi protes dan boikot kreatif ke atas projek berjenama Israel.
Tindakbalas protes Israel
ML : Baru-baru ini, Israel telah meluluskan undang-undang anti Boikot yang membolehkan mana-mana rakyat Israel yang menyokong apa-apa bentuk boikot untuk dikenakan hukuman sivil dan didakwa di mahkamah. Bolehkah anda berikan komentar tentang perkara ini, lebih-lebih lagi apabila Israel mengatakan tindakan ini bersifat demokratik?
LT : Gerakan BRS Palestin adalah digerakkan oleh logik yang kami pegang, iaitu tekanan dan bukan pujukan sebagai langkah terbaik untuk menyedarkan rakyat Israel bahawa dasar penjajahan, apartheid dan kolonisasi yang diamalkan kerajaan mereka mesti dihentikan. Perlu dinyatakan di sini, terdapat sekurang-kurangnya 2 aspek yang agak mengganggu perjalanan gerakan ini.
Yang pertama, boikot ini yang dipertahankan oleh gerakan haluan kiri dan liberal Israel hanya mensasarkan institusi dan produk koloni Israel di kawasan tebing Barat sahaja. Boikot ini juga tidak merangkumi keseluruhan institusi Israel dan banyak industrinya, terutamanya industri senjata.
Yang kedua, boikot ini lazimnya disebut dengan slogan “menyelamatkan demokrasi Israel”. Dengan demikian, ia kelihatan seperti projek berpusatkan kepentingan Israel, dan menenggelamkan isu hak Palestin sepertimana termaktub dalam undang-undang antarabangsa. Walaubagaimanapun, sebuah gerakan boikot dari Israel, “Boycott from Within“, berbeza dalam hal ini dengan mengenengahkan seruan BRS Palestin secara terang-terangan. Mereka menggesa seniman dan artis agar tidak melakukan persembahan di Israel, menyokong embargo ke atas Israel, dan banyak lagi aktiviti yang mensasarkan institusi-institusi Israel. Gerakan Israel lain seperti Kesatuan Wanita untuk Keamanan, ICAHD dan lain-lain juga menyokong BRS Palestin secara terbuka.
ML : Apa pandangan anda terhadap apa yang berlaku kepada flotilla Gaza yang terkini? Beberapa pihak mengatakan ‘kejayaan’ Israel menyekat ketibaan flotilla tersebut tanpa tindakan ganas menunjukkan kegagalan gerakan memprotes Israel dan membuktikan bahawa Israel mampu menguruskan hal ini sendiri tanpa campur tangan pihak lain.
LT : Saya langsung tidak bersetuju dengan penilaian itu. Pada saya, tujuan asas flotilla itu iaitu melaungkan, menentang dan memprotes pendudukan Israel ke atas Tebing Gaza telah direalisasikan walaupun Israel tampak bersungguh-sungguh menyekat kapal-kapal itu belayar. Tindakbalas Israel terhadap kempen “Selamat Datang ke Palestin” itu hakikatnya telah memakan diri apabila sekadar mempopularkan kempen tersebut dengan lebih meluas lagi.
Anda benar jika mengatakan gerakan flotilla itu adalah sebahagian daripada gerakan antarabangsa untuk mendedahkan dan memberi tekanan ke atas Israel untuk menghormati undang-undang antarabangsa dan menamatkan system penjajahan, kolonisasi dan apartheid yang diamalkannya. Gerakan ini sejak awal lagi telah menerima pengiktirafan dan sokongan dunia dan menimbulkan kebimbangan kepada Israel dan zionis. Beberapa persidangan dan kertas strategi telah dilancarkan oleh Israel dan di luar negara sebagai tindak balas kepada gerakan flotilla ini. Kalaulah BRS, acara tahunan Minggu Israel Apartheid, dan beberapa gerakan lain lagi dianggap remeh, pastilah ia tidak akan menimbulkan kebimbangan yang sebegini rupa di pihak Israel. Kekuatan gerakan BDS dan kesatuan dengan gerakan lain yang dibina dari insiatif manusia yang berkesedaran tidak akan mudah ditekan sungguhpun diugut dengan tindakan undang-undang dan taktik-taktik lainnya.
Perspektif yang lebih luas
ML : Dalam kamus BDS, terdapat kritikan d
Bolehkah anda jelaskan bagaimana BRS boleh menjadi lebih efektif tanpa melibatkan diri dengan gerakan lain dengan kempen yang sama?
LT : Gerakan BRS beroperasi dengan konsep dan kerangkanya yang tersendiri. Ini termasuk menganalisis hubungan kuasa serantau dan global. BRS berpegang kepada fakta bahawa permainan negara kuasa besar di bawah pengaruh hegemoni Israel adalah satu-satunya penyebab paling utama Israel boleh sesuka hati mengabaikan undang-undang antarabangsa. Kuasa hegemoni bukan sahaja melindungi Israel daripada dikenakan apa-apa tindakan, mereka juga menutup sebelah mata terhadap apa-apa kesalahan yang dilakukan negara zionis itu, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kepentingan mereka. Polisi EU dan Amerika yang sentiasa tidak konsisten bukanlah sesuatu yang saya perlu ulangi lagi.
Umum mengetahui ada lagi rejim yang zalim dan telah menindas rakyatnya sendiri tanpa dikenakan tindakan antarabangsa. Walaubagaimanapun, satu perkara yang harus diambil kira adalah, apabila mereka yang tertindas melaungkan rayuan mereka untuk dibantu, adalah menjadi tanggungjawab bagi kita yang masih berperikemanusiaan untuk bangun secara spontan dan menghulurkan bantuan. Ini termasuklah dengan cara boikot atau menyuarakan tekanan. Situasi inilah yang terlihat di Afrika Selatan semasa seluruh dunia bangun mengutuk dan menjatuhkan dasar apartheid yang diamalkan di negara itu.