HALUANPalestin Sertai Konsert Mahabbah Gaza Sempena Karnival Sambutan Ulang Tahun Kesembilan IKIM.fm

SHAH ALAM, 11 Julai, 2010 – Hampir 5,000 orang telah hadir membanjiri Stadium Malawati di sni bagi mengikuti Konsert Mahabbah Gaza anjuran Rabbani Production Sdn. Bhd. dengan kerjasama radio IKIM.fm dan pelbagai penaja bersama. HALUAN melalui projek LifeLine4Gaza (LL4G) turut serta menjayakan Konsert Mahabbah Gaza ini. Konsert ini merupakan acara kemuncak bagi Karnival Sambutan Ulang Tahun Kesembilan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM.fm) yang telah berlangsung dari 9 hingga 11 Julai 2010.

Konsert tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B. Datuk Haji Ahmad Haji Maslan. Bersempena dengan majlis konsert tersebut juga, Y.B. Datuk Haji Ahmad bersama-sama Pengerusi Biro HALUAN Palestin, Tn. Hj. Noorazman Mohd Samsuddin telah melancarkan Kelab Penyokong LL4G.

Menyentuh tentang arus sokongan masyarakat terhadap usaha membantu rakyat Palestin melalui kelab LL4G, Tuan Hj, Noorazman menyebut, “Sokongan terhadap isu Palestin ini amat menggalakkan. Para penyokong Kelab LL4G ini boleh berperanan besar dalam membantu membela perjuangan rakyat Palestin”. Menyahut seruan tersebut, para pengunjung berpusu-pusu menuju ke gerai HALUAN untuk mendaftarkan diri sebagai ahli kelab penyokong LL4G, sehinggakan gerai terpaksa ditutup lewat jam 12 tengah malam.

Melalui kempen kutipan dana bantuan untuk rakyat Palestin, sejumlah lebih RM 30,000 telah disumbangkan oleh mereka yang hadir. Sukarelawan-sukarelawan daripada Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) dan Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) telah membantu menjalankan kutipan di dalam dan di luar stadium sepanjang tempoh konsert tersebut berlangsung.

Selain daripada Konsert Mahabbah Gaza ini, terdapat beberapa aktiviti lain diadakan, antara lainnya ialah rakaman secara langsung Forum Mahabbah Gaza, forum “Keluarga Sakinah”, Nasyid on Stage dan juga program untuk kanak-kanak iaitu Alam Ria Si Kecil. Tidak ketinggalan juga program untuk ibu-ibu melalui rancangan D’Dapur. Aktiviti sukaneka dan sesi beramah mesra bersama penyampai-penyampai IKIM.fm turut diadakan.

HALUAN telah mengambil kesempatan daripada program karnival seperti ini untuk terus berbakti kepada masyarakat. Sepanjang tempoh karnival tersebut, Alhamdulillah, HALUAN telah menawarkan khidmat rundingan dan nasihat kesihatan secara percuma oleh doktor pakar Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) di samping tayangan video LifeLine4Gaza dan jualan barangan untuk tabung kemanusiaan Palestin.

HALUAN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur dan semua pihak yang terlibat menjayakan karnival ini. Benarlah apa yang diungkapkan oleh Pengarah Radio IKIM.fm, Ustaz Nik Roskiman Abdul Samad, “Karnival yang sebesar dan semeriah ini tidak akan berjaya dijalankan tanpa sokongan pelbagai pihak”. Semoga kerjasama ini dapat diteruskan di masa hadapan, insyaAllah.

HALUAN juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua orang ramai yang memberi sokongan menjayakan Karnival Sambutan Ulang Tahun Ke-9 IKIM.fm ini, terutama sekali kepada mereka yang memberi sokongan kepada usaha membantu rakyat Palestin melalui Kelab Penyokong LL4G.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts