RAMALLAH, 27 Okt 2015 (Palinfo) — Kementerian Kesihatan Palestin mengumumkan jumlah penduduk Palestin yang terkorban sejak bermulanya Intifadah Al-Quds pada awal bulan Oktober kini mencecah 61 orang, setelah tentera Zionis menembak mati tiga pemuda Palestin di Al-Khalil semalam.
Dalam kenyataan mereka semalam, kementerian memaklumkan bahawa rejim Zionis telah menembak mati Raed Jaradat, 22 tahun, di persimpangan Beit Ainun di timur laut Al-Khalil. Sementara itu pemuda Muhammad Yusuf, 20 tahun, ditembak mati di perkampungan Sahlah dekat masjid Ibrahimi di kota Al-Khalil, dan pada malam harinya pasukan Zionis menembak mati Iyad Ruhi Jaradat, 19 tahun, dalam satu pertempuran berdekatan lokasi penembakan Raed Jaradat.
Menurut Kementerian Kesihatan, 23.3% daripada mereka yang terkorban adalah kanak-kanak. Sementara itu jumlah mereka yang terkorban di Tebing Barat, termasuk di al Quds, kini mencecah seramai 43 orang dan di Gaza seramai 17 orang, termasuk seorang ibu hamil dan bayinya yang berusia kurang dari 2 tahun. Manakala seorang pemuda turut terkorban di daerah Haurah di dalam wilayah Jajahan Palestin 1948.
Sementara itu, bilangan mereka yang tercedera sejak tercetusnya Intifadah Al-Quds adalah seramai 2,120 orang. Kecedaraan melibatkan tembakan dengan peluru hidup, peluru getah dan gas pemedih mata, dipukul dan juga kebakaran.