Israel cuba memulihkan imej yang ‘tercemar’

imejisraelDengan serangan bertubi-tubi ‘ala-holocaust’ ke atas Gaza masuk minggu ke-4, dan dengan rakyat Palestin dibunuh dan dicederakan tanpa sedikitpun rasa peri kemanusiaan, sementara ratusan lagi tertimbus di bawah runtuhan, Zionis Israel  merancang ‘serangan hubungan awam’ sebagai usaha untuk membuatkan dunia lupa kepada ‘pandangan buruk terhadap mereka’ atas apa yang berlaku di Gaza.

Kementerian Luar Israel telah memohon bantuan sebuah firma PR (Public Relations – Perhubungan Awam) Amerika bagi mendapatkan ‘pelan PR menyeluruh’ yang boleh mengukuhkan lagi imej Israel berikutan serangan mereka ke atas Gaza.

Beberapa pakar ketenteraan cuba membandingkan kemusnahan di Gaza dengan apa yang berlaku di bandar Dresden, Jerman, apabila serangan udara Royal Air Force (RAF) British diperhebat menjelang minggu-minggu terakhir Perang Dunia ke-2.

Menurut akhbar-akhbar tempatan Israel, Jabatan Hasbara (propaganda) Kementerian Luar Israel telah mewujudkan pasukan petugas khas untuk bersedia menghadapi kesan persepsi dari serangan bertubi-tubi mereka di Gaza. Akhbar Ha’aretz menyebut pasukan petugas khas tersebut akan bertanggungjawab untuk memulih imej Israel yang tercemar. “Tanggapan umum adalah Israel kini mengalami pukulan hebat ke atas imejnya di kalangan masyarakat Barat berikutan ramainya masyarakat awam yang terkorban di Gaza.”

Aktivis-aktivis Palestin dan pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia yang beroperasi di Palestin telah menyebarkan gambar-gambar ratusan kanak-kanak yang tercedera hingga cacat dengan teruk dan mati, yang sangat menyayat hati, kesan dari serangan udara dan bom yang tidak berhenti ke atas kawasan-kawasan awam. Pegawai-pegawai Palestin menggambarkan serangan berterusan Israel ini sebagai holocaust yang sebenarnya.

“Apa yang Israel lakukan terhadap rakyat Palestin di Gaza adalah holocaust yang sebenarnya. Israel membunuh orang awam secara beramai-ramai, memusnahkan rumah, masjid dan institusi awam,” kata Perdana Menteri Palestin, Ustaz Ismail Haneyya, Selasa lalu.

Khamis lalu, sumber-sumber dari hospital di Palestin menyebut lebih 1100 orang, kebanyakannya kanak-kanak dan orang awam, terbunuh dan lebih 5000 yang lain tercedera, ramai yang kritikal, akibat serangan bom secara liar oleh jet-jet F-16 Israel.

Israel juga telah sengaja menggunakan kekuatan tentera dan peralatannya secara keterlaluan, termasuklah penggunaan ‘bunker buster bomb’ dan peluru fosfor putih terhadap orang awam yang sama sekali tidak mampu untuk berlawan mahupun menyelamatkan diri.

Akhbar-akhbar Israel juga menyebut bahawa pegawai-pegawai Israel bimbang kepada sentimen negatif terhadap Israel yang akan berkembang apabila gambaran sebenar serangan mereka ke atas Gaza dapat dilihat tidak lama lagi.

Pegawai-pegawai Hasbara telah mencadangkan beberapa langkah pemulihan imej Israel, termasuk penglibatan intensif askar-askar Israel untuk memindahkan makanan dan perubatan kepada penduduk Gaza di kawasan yang telah mereka serang.

Seorang jurucakap akhbar negara Israel dilaporkan membuat cadangan penggunaan apa yang dipanggil ‘taktik gula-gula’ sebagai penggalak pemulihan imej mereka. ‘Taktik gula-gula’ ini berbentuk pembikinan filem yang menggambarkan askar-askar Israel menghadiahkan gula-gula kepada kanak-kanak Palestin, terutamanya selepas mereka melakukan pembunuhan kejam.

Bagaimanapun, sumber-sumber Israel mengaku bahawa tidak kira betapa berkesannya usaha-usaha yang dilakukan oleh Hasbara, realiti yang menggemparkan di Gaza tetap tidak mungkin dapat dipadamkan. Inilah sebabnya Kementerian Luar Israel mencadangkan supaya negara Yahudi tersebut mengaktifkan semula proses damai dengan Palestin (Palestinian Authority.)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts