Rejim pengganas Israel saban hari terus mengambil langkah tidak berperi-kemanusiaan apabila mereka mengusir sembilan keluarga Palestin yang tinggal di dalam dua buah rumah milik keluarga Al Gawi dan Hannon di Jerusalem Timur. Kejadian berlaku di daerah Sheikh Jarrah sebelum masuknya waktu Subuh, Ahad 2 Ogos. Operasi tersebut telah dijalankan oleh sepasukan polis lengkap berpakaian gelap anti-rusuhan.
Sejurus selepas semua 53 ahli keluarga Palestin tersebut diusir, 4 keluarga pendatang haram Yahudi terus memasuki kedua-dua rumah tersebut untuk mereka diami. “Pendatang dari luar negara terus menyimpan barangan mereka dan tinggal di dalam rumah-rumah tersebut, dan 19 orang kanak-kanak yang menjadi mangsa kini tidak ada tempat tinggal,” kata Saeb Erakat, seorang perunding kanan Palestin.
Tindakan kejam polis Israel itu adalah susulan kepada satu keputusan Mahkamah Tinggi Israel bahawa tanah tersebut dimiliki oleh keluarga Yahudi. Israel merancang untuk membina satu blok kediaman yang mengadungi 20 pangsapuri di kawasan berkenaan.
Israel menganggap “Kesatuan Jerusalem” adalah ibukota kepada negara haram Israel. “Kedaulatan Israel tidak boleh dipersoalkan,” kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu ucapannya pada bulan lepas. “Kami tidak sama-sekali boleh terima dakwaan bahawa Yahudi tidak mempunyai hak untuk tinggal dan membeli (rumah) di mana-mana saja di Jerusalem.”
Dalam kejadian berasingan di daerah Sheikh Jarrah, sekumpulan pendatang haram Yahudi telah memasuki sebuah rumah milik rakyat Palestin dengan bantuan polis dan askar. Beberapa orang rakyat Palestin dan aktivis antarabangsa ditangkap kerana cuba menghalang pengganas Yahudi tersebut dari memasuki rumah berkenaan.
Rumah tersebut menjadi satu subjek pertikaian sejak 10 tahun lalu. Kedua-dua “pemilik” rumah tersebut, Darwish Hijazi dan seorang pendatang Yahudi memiliki dokumen sebagai bukti bahawa rumah tersebut merupakan milik masing-masing. Hijazi mendakwa pendatang Yahudi tersebut memiliki dokumen palsu. Pertikaian ini berlarutan, sehinggalah pendatang Yahudi bertindak mengabaikan prosedur undang-undang dan merampas rumah tersebut dengan kekerasan.
Rumah milik seorang lagi rakyat Palestin, Fatima Salem, turut menjadi sasaran dalam kejadian tersebut. Keluarganya terkejut apabila mendapati rumah mereka dikepung oleh askar, polis dan pendatang haram Yahudi. Beberapa orang ahli keluarganya diserang apabila cuba menyoal tindakan mereka. “Sudah banyak kali mereka cuba rampas tanah saya,” kata Fatima, pemilik rumah yang diwarisi oleh keluarganya sejak sebelum tahun 1948, dan memiliki dokumen pemilikan yang sah. Rumahnya kini menjadi tempat perlindungan kepada 12 orang kanak-kanak dan ahli keluarga yang lain. Fatima merayu supaya rumahnya dilindungi dari pencerobohan pendatang Yahudi.
Penduduk Palestin di Sheikh Jarrah mendakwa pendatang haram Yahudi sengaja menceroboh dan merampas rumah-rumah untuk mewujudkan suasana tegang dan seterusnya memaksa mereka untuk meninggalkan daerah berkenaan.
(mn/ Sumber berita dari BBC dan PNN)