Israel tingkatkan serangan ke atas penduduk Palestin

Sejak tiga bulan yang lalu, tentera pengganas Israel telah meningkatkan serangan ke atas bandar-bandar Palestin, memecah masuk ke dalam rumah dan menangkap penghuninya walaupun mereka tidak terlibat dalam sebarang aktiviti ketenteraan.

Sebagai menyokong tindakan mereka, rejim Zionis mendakwa mereka yang ditangkap adalah merupakan individu-individu yang tersenarai dalam mereka yang dikehendaki. Dalam masa yang sama Israel dengan sikap hipokritnya mengulangi gesaan supaya rakyat Palestin menghentikan sebarang perhimpunan protes secara aman terhadap Israel.

Dalam siri serangan terbaru, tentera pengganas Zionis telah memasuki perkampungan Bil’in pada pukul 2:30 pagi 8 September lalu. Mereka didakwa mencari seorang remaja berumur 16 tahun, Hamaza Bornat, iaitu saudara kepada ketua Popular Committee Against the Illegal Separation Wall, Eyad Bonat. Walau bagaimanapun, tidak diketahui samada Israel berjaya atau tidak dalam usaha mereka untuk menangkap Hamaza.

Bil’in, sebuah bandar perladangan kepada 1,700 orang penduduk, terletak di Ramallah di bawah pemerintahan al-Bireh yang ditakluk sejak tahun 1967. Bil’in menjadi pusat penentangan dan perhimpunan secara aman, di mana penduduknya mengadakan protes secara aman setiap hari Jumaat sejak empat tahun yang lalu. Mereka sering disertai oleh aktivis keamanan Israel dan antarabangsa yang merentasi Tembok Aparthied “secara haram” setiap hari Jumaat untuk memberi sokongan kepada rakyat Palestin.

Sebagai langkah menangani protes, tentera pengganas rejim Zionis menyerang aktivis keamanan ini dengan peluru anti-rusuhan yang sangat merbahaya dan juga senjata-senjata ujian yang lain. Bagaimanapun, perhimpunan protes secara aman ini tetap berterusan tanpa gagal.

Walaupun perkampungan Bil’in telah berjaya memenangi kes di Mahkamah Tinggi Israel pada tahun 2006 yang mengarahkan tentera Israel untuk memindahkan laluan Tembok Aparthied yang memisahkan penduduk kampung tersebut, ketetapan arahan mahkamah itu tetap tidak dihormati sehingga ke hari ini. Penduduk tidak ada pilihan lain kecuali mengadakan protes secara aman walaupun sering mendapat provokasi oleh pihak Zionis.

Mac lalu, tentera Israel telah menembak peluru gas pemedih mata berkelajuan tingi ke arah seorang ketua aktivis keamanan Amerika, Tristan Anderson. Beliau cedera parah akibat terkena peluru tembakan tersebut, sehingga kini masih lagi terlantar di hospital dan dijangka tidak akan dapat pulih seperti sedia-kala.

Bulan berikutnya, tentera Israel sekali lagi menyasarkan peluru gas pemedih mata berkelajuan tinggi secara tepat kepada aktivis aman Bassem Abu Rahme. Kali ini, Bassem terbunuh akibat tembakan tersebut.

Sejak bulah Ogos, tentera Zionis menyerang perkampungan Bil’in di waktu malam untuk beberapa kali dalam seminggu, memusnahkan harta benda dan menggangu penduduk Palestin dengan cara menembak secara rambang dan memecah masuk ke dalam rumah-rumah. (mn/PressTV)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts