Jemaah Dilarang Masuk Masjid Ibrahimi

AL-KHALIL, 28 Sep 2015 (IMEMC) — Rejim Zionis mengumumkan bahawa Masjid Ibrahimi akan ditutup kepada semua orang Islam pada hari Selasa dan Rabu bersempena hari perayaan Yahudi.

Masjid bersejarah itu akan hanya dibenarkan masuk kepada kaum Yahudi yang akan menyambut perayaan Sukkut, dan orang Islam tidak akan dibenarkan masuk menunaikan solat seperti kebiasaannya.

Kementerian Wakaf dalam kenyataannya mendesak supaya rejim menghentikan sikap melanggar undang-undang dan tindakan menutup masjid tersebut berulang-ulang kali. Tindakan mereka dilihat sebagai satu perancangan untuk mengetatkan lagi kawalan rejim ke atas masjid suci umat Islam itu, dan kemudian menukarkannya menjadi tapak ekslusif untuk Yahudi.

Kementerian juga menyeru supaya para jemaah sentiasa tetap berada di dalam masjid sebagai langkah menghalang perancangan jahat Zionis itu.

Dalam keadaan biasa, orang Islam dan kaum Yahudi kedua-duanya menggunakan ruangan yang berbeza di dalam Masjid Ibrahimi. Tetapi rejim Zionis sering menutupnya kepada orang Islam sepanjang musim perayaan Yahudi, sekalipunpun di ruangan yang telah dikhususkan untuk orang Islam.

Masjid Ibrahimi terletak di kota lama Al-Khalil, hanya beberapa ratus meter daripada kawasan kota yang diduduki oleh 400 pendatang Yahudi pelampau. Mereka dikawal dan dilindungi oleh 1,500 tentera Zionis.

Sejak tahun 1967 lagi Masjid Ibrahimi, sepertimana tapak-tapak suci Islam yang lain di Palestin, menjadi sasaran tentera Zionis dan juga pendatang Yahudi.

Rejim Zionis membahagikan masjid tersebut di antara orang Islam dan Yahudi pada tahun 1994, selepas tragedi pendatang Yahudi, Baruch Goldstein, menembak 500 ahli jemaah yang sedang bersolat subuh sehingga mengorbankan 30 orang dan mencederakan sekitar 150 yang lain.

Sejurus selepas insiden tersebut, Masjid Ibrahimi dijadikan pos tentera dan kemudiaanya dibahagikan menjadi dua bahagian, satu untuk orang Islam dan satu lagi untuk Yahudi.

Hari ini, rejim Zionis mengawal sepenuhnya semua kemasukan ke dalam masjid. Ramai orang Islam dihalang masuk untuk mengerjakan solat secara kerap. Mereka bukan sahaja menghalang kemasukan para jemaah, tetapi juga tidak membenarkan laungan azan. Pada bulan Januari 2015, mereka telah menghalang 51 kali panggilan azan.

Jabatan Wakaf di Al-Khalil mendakwa tindakan tidak membenarkan laungan azan adalah untuk menghalang orang Islam daripada berkunjung ke masjid, sehingga kemudiannya terusir keluar dari kota tersebut.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts