Kanak-kanak Tebing Barat terus ditangkap atas tuduhan membaling batu

Penaklukan Zionis ke atas kawasan yang diduduki bangsa Palestin semakin meningkat di perkampungan Kifl Hares di kawasan Salfit di utara Tebing Barat, menurut laporan International Women’s Peace Service (IWPS) semalam, Ahad 15 Mac 2009.

Kejahatan tentera Zionis Israel ke atas bangsa Palestin saban hari berterusan, di mana rumah kediaman diceroboh dan dirosakkan, anak-anak ditangkap, masyarakat awam diugut dengan kekuatan senjata. Menurut IWPS yang kini berada 24 jam di kawasan bandar Salfit, pencerobohan tentera Zionis dan serangan secara tiba-tiba kini semakin kerap dan membimbangkan.

Malam Jumaat 13 Mac lalu, tentera Zionis telah memasuki kawasan berdekatan sebuah masjid lama di perkampungan Kifl Hares. Penduduk kampung mendakwa kejadian tersebut berlaku antara pukul 1:30 pagi dan 3:00 pagi.

Tentera Zionis telah memecah masuk ke dalam sebuah rumah di mana penghuninya sedang nyenyak tidur, menyerang keluarga tersebut dan menangkap seorang anak berumur 17 tahun yang sedang sakit akibat kerosakan buah pinggang. IWPS melaporkan, “tentera Zionis datang ke rumah mereka kira-kira pukul 2:10 pagi, meledakkan bom untuk membuat bising di belakang dapurnya, kemudian terus memecah masuk ke dalam rumah.”

Seorang anak lelaki keluarga tersebut, iaitu abang kepada pesakit buah pinggang yang ditangkap, telah diserang dan dihumban ke lantai. Ibu mereka juga dipukul oleh tentera tersebut.

Keluarga tersebut yang mempunyai 14 ahli keluarga, termasuk seorang bayi berumur 3 bulan dan seorang wanita yang sedang hamil, kemudiannya dipaksa keluar ke jalan dengan asakan muncung senjata. Mereka dipaksa duduk di jalanan dalam kesejukan dan kegelapan malam, sementara tentera tersebut terus membaling dan meletupkan bom-bom tangan. Malahan mereka juga membaling sebutir bom ke arah seorang wanita hamil. Doktor bagaimanapun mengesahkan wanita tersebut hanya mengalami kecederaan ringan.

Tentera Zionis jelas mencari sesuatu dari keluarga tersebut. Mereka merampas semua dokumen pengenalan dan┬ájuga sebuah dokumen yang didakwa oleh keluarga tersebut sebagai “sangat penting.” Tentera Zionis mendakwa remaja sakit buah pinggang yang berumur 17 tahun tersebut memiliki senjata, tetapi selepas menggeledah rumah dan kawasan sekelilingnya, tidak ada sebarang bentuk senjata ditemui kecuali sepucuk pistol mainan kanak-kanak.

Tentera tersebut kemudiannya mengubah taktik dan mendakwa remaja tersebut telah “membaling batu.” Malangnya, tarikh-tarikh di mana tentera Zionis mendakwa remaja tesebut membaling batu dibuktikan tidak betul. Remaja tersebut pergi bekerja di Ramallah dan Biddya pada hari tarikh-tarikh yang didakwa.

Ini merupakan kejadian ketiga pada tahun ini di mana tentera Israel menyerang rumah keluarga tersebut, kali pertama pada bulan Januari, kemudian lagi pada bulan Februari.

Relawan IWPS yang membuat lawatan ke rumah tersebut menceritakan semua yang ada di dalam rumah telah dirosakkan.

Sementara itu, penduduk melaporkan kanak-kanak juga ditangkap dari keluarga lain pada malam yang sama. “Seorang kanak-kanak 13 tahun ditangkap tapi dilepaskan 2 jam kemudian,” kata seorang relawan antarabangsa. Kanak-kanak tersebut telah dikeluarkan dari jip tentera Israel beberapa batu dari rumahnya, tetapi berjaya pulang ke pangkuan keluarga dengan menumpang orang. Dia tiba pukul 10:00 pagi itu, beberapa jam selepas pengalaman ditangkap tentera Zionis yang mengerikan.

Seorang lagi kanak-kanak berumur 15 tahun juga ditangkap dan dibawa ke penjara tentera Huwara yang dibina atas kawasan Nablus di utara Tebing Barat. Manakala seorang kanak-kanak lain berumur 14 tahun ditangkap pada malam yang sama, untuk kali kedua sepanjang hidupnya yang masih sangat muda. Relawan-relawan antarabangsa melaporkan kepada IWPS, “Dia merupakan orang yang pertama dari 4 kanak-kanak yang ditangkap, kemudian dibawa dengan jip tentera mengelilingi kampung sambil tentera Zionis menangkap kanak-kanak lainnya. Dia dibawa ke penjara Ofar [juga di Ramallah].”

Kanak-kanak tersebut telah dilepaskan dari penjara Ofar yang sangat terkenal dengan penyeksaan. Bulan lepas keluarganya membayar 2000NIS (400 Euro) untuk melepaskan beliau setelah dua bulan ditahan dan disoal-siasat oleh Zionist.

Kanak-kanak adalah antara 11, 000 orang Palestin yang dipenjara oleh Israel, termasuk tahanan politik.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts