Keluarga di Gaza berhadapan dengan musim sejuk yang sangat menakutkan

GAZA, 22 Dis 2015 (Mondoweiss) — Keadaan sekeliling lembap dan kotor, udaranya diselubungi bau busuk seperti sebuah tempat kumbahan. Dindingnya dibuat daripada kepingan nipis atap zink, yang diikat secara tidak tersusun ke sebuah tiang yang dijadikan struktur asas dua bilik mereka, walaupun kelihatan tidak begitu kukuh.

Manakala beberapa helai kain lusuh dihampar di atas tanah berbatu sebagai alas lantai – dalam usaha penghuninya untuk menjadikan pondok itu kelihatan seperti sebuah rumah sebaiknya. Lubang yang besar di antara helaian kain masih tidak tertutup, justeru memberi laluan kepada cahaya matahari menerangkan kegelapan bilik tersebut. Ia sangat sejuk dan kelihatan sengsara, tetapi bagi Suad Najar dan keluarganya, inilah rumah bagi mereka.

“Anak-anak kecil kami sudah jatuh sakit,” rintih Suad yang kelihatan geram sambil memerhatikan sekitar ruangan pondok yang menjadi tempat tinggal beliau bersama suami dan lapan anak mereka. “Badan mereka basah, pakaian mereka basah, mereka sengsara kesejukan. Mereka semua mengidap cirit-birit.”

Rumah Suad musnah dalam serangan 50-hari tentera Zionis ke atas penduduk Gaza pada musim panas 2014. Mereka tinggal berhampiran kawasan sempadan di wilayah tengah Gaza, apabila tentera Zionis mula mengerahkan tentera darat menceroboh masuk wilayah Palestin yang disekat itu. Tentera meranapkan rumahnya dengan buldozer.

Suad tidak mempunyai wang untuk membina semula rumahnya, dan keluarganya juga tidak mampu untuk menyewa apartmen. Jadi mereka terpaksa bersiap untuk mengharungi musim sejuk buat kali kedua berturut-turut di dalam pondok ini, yang digelar rumah sementara.

Tahun lalu, sekurang-kurangnya empat penduduk Gaza telah meninggal dunia akibat radang paru-paru apabila terpaksa tinggal di dalam keadaan seperti yang dilalui oleh keluarga Suad sepanjang musim sejuk, yang tidak layak untuk didiami. Tiga daripada mereka adalah kanak-kanak. Kini, Suad begitu bimbang terhadap anak-anaknya untuk berhadapan dengan cuasa sejuk yang mula tiba.

“Keadaan ketika itu sangat dahsyat,” kata beliau mengenang semula kehidupan di dalam pondok itu pada musim sejuk lalu. “Ada satu ruang di dalam pondok ini yang agak tinggi berbanding ruangan lain. Apabila hujan, kami bersesak di ruangan itu terutama pada waktu tidur kerana ia terselamat daripada dibanjiri air hujan. Memang, saya sangat bimbang dengan musim sejuk kali ini, anak-anak selalu menderita.”

Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Suad merupakan salah seorang daripada 100,000 penduduk Gaza yang dijangka terpaksa hidup di dalam tempat yang tidak layak untuk didiami sepanjang musim sejuk ini.

Rumah mereka yang dimusnahkan oleh tentera Zionis pada taun lalu masih tidak dapat dibina semula sungguhpun sebilangan negara Arab, termasuklah Qatar dan United Arab Emirates, telah beberapa kali berjanji untuk menghulurkan dana. Walaupun sebahagian kecil daripada dana tersebut telah berjaya dibawa masuk ke Gaza, sebahagian besar daripadanya masih tidak diketahu statusnya. Penduduk Palestin, yang sehingga kini masih hilang mata pencarian, percaya bahawa “sumbangan” negara-negara Arab itu hanyalah janji-janji kosong yang dibuat demi kepentingan hubungan awam mereka pasca serangan tentera Zionis, yang telah menjadikan 80% penduduk Gaza hidup dalam kemiskinan.

Suad, yang rumahnya telah musnah sama sekali, berkata beliau memeriksa senarai nama mereka yang layak untuk mendapat dana bantuan membina semula, malangnya keluarga beliau tidak termasuk di dalam senarai tersebut. Beliau tidak faham kenapa begitu.

Sekiranya keluarga beliau tersenarai sekalipun, mereka akan tempuhi banyak lagi masalah lain bagi membina semula rumah.

Nasif kini terpaksa tinggal di dalam pondok bekas kandang biri-biri dan kambing di Bait Hanoun, apabila rumahnya munsah diserang pada tahun 2014.
Nasif kini terpaksa tinggal di dalam pondok bekas kandang biri-biri dan kambing di Bait Hanoun, apabila rumahnya munsah diserang pada tahun 2014.

“Masalahnya adalah, mereka hanya membina tingkat bawah setiap bangunan rumah,” kata Nasif al-Falujah dari dalam sebuah pondok bekas kandang haiwan yang kini menjadi tempat tinggal beliau bersama keluarganya, yang terletak di sebuah kawasan sempit terbiar di daerah Beit Hanoun. “Sedangkan keluarga saya tinggal di tingkat lima bangunan rumah itu.”

Selepas tiga kali bangunan rumah keluarga besarnya diserang oleh tentera udara Zionis, Nasif menggunakan semua wang simpanan yang ada untuk menyewa sebuah apartmen kecil. Tetapi beliau kehabisan wang selepas hanya beberapa bulan. Dengan kadar pengangguran paling tinggi di dunia, dan keadaan ekonominya yang bakal lumpuh sebagaimana dilaporkan oleh satu laporan Bank Dunia pada awal tahun ini, mendapatkan pekerjaan yang stabil adalah suatu yang hampir mustahil bagi Nasif.

Apabila tidak mampu untuk membayar sewa apartmen yang didiami oleh keluarganya, Nasif mula menyewa sebuah pondok kandang biri-biri dan kambing sejak enam bulan lalu untuk dijadikan tempat tinggal bagi keluarganya. Nasif menggunakan helaian plastik kanvas dan kain tampal untuk membentuk dinding-dinding di antara sebuah tiang besi yang dijadikan kerangka struktur kediaman mereka. Dengan sedikit baki wang yang masih ada, beliau membeli beberapa bongkah bata untuk membina penghalang yang mungkin dapat menyekat air hujan masuk ke dalam pondok mereka.

“Kami tidak mampu untuk membina konkrit batu, jadi kami terpaksa menggunakan pasir sebagai menggantikan konkrit,” jelas Nasif. “Dan ini adalah kanvas untuk dinding,” kata belau sambil memegang helaian plastik yang menjadi sebahagian besar daripada dinding pondok mereka. “Tidak ada tempat lain lagi untuk kami, inilah satu-satunya pilihan yang ada.”

Anak-anak Nasif berlari keluar-masuk pondok mereka itu, bermain dan berkejar sesama mereka. Sempadan wilayah Gaza hanya beberapa kilometer jauhnya, banyak bangunan sekitar terus berada dalam keadaan hancur musnah.

Pondok mereka sangat sejuk, dan Nasif mula bimbang tentang penyakit yang boleh dihidapi terutamanya bagi anak-anak kecil beliau.

“Sekarang ini sudahpun begitu sejuk,” kata Nasif. “Kami terpaksa memakai banyak helai pakaian di waklu malam, dan berharap cara itu dapat memanaskan badan kami secukupnya.”

Di serata wilayah Gaza, ribuan keluarga melalui musim sejuk dalam keadaan cuaca membeku, sebahagiannya tinggal di dalam pondok sementara dan pondok haiwan seperti Nasif, manakala sebahagian yang lain hanya tinggal di dalam apa yang masih tinggal daripada bangunan rumah mereka yang telah musnah.

Dinding yang diperbuat daripada kain lusuh dan plastik menjadi suatu yang biasa di tempat-tempat tinggal mereka. Sekurang-kurangnya mereka dapat menjaga aurat, sungguhpun tidak mampu menghalang cuaca sejuk dan air hujan.
Dinding yang diperbuat daripada kain lusuh dan plastik menjadi suatu yang biasa di tempat-tempat tinggal mereka. Sekurang-kurangnya mereka dapat menjaga aurat, sungguhpun tidak mampu menghalang cuaca sejuk dan air hujan.

Saad Fathi menceritakan pengalaman perit dari dalam rumanhya yang sudah musnah. Tiga buah bilik masih kekal, walapun dua daripadanya hampir musnah dengan dindingnya yang runtuh digantikan dengan helaian kain yang ditampal untuk tujuan menjaga aurat keluarga dan cuba menghalang cuaca sejuk. Bumbung bangunan itu tergantung dalam keadaan bahaya, seolah-olah ia boleh jatuh pada bila-bila masa.

“Saya tahu ianya merbahaya, tapi tidak ada lagi tempat untuk kami tinggal. Kami tidak ada wang untuk berpindah keluar,” kata Saad dari bawah bumbung yang tergantung itu. “Kami tidak mampu menghalang cuaca buruk dengan sebaiknya, saya bimbang konkrit ini akan runtuh sekiranya keadaan cuaca menjadi buruk.”

“Walaupun hujan selama hanya satu minit, seluruh tempat ini banjir. Musim sejuk lalu sangat dahsyat, hanya Allah yang tahu bagaimana teruknya keadaan kami.”

Bagi ribuan lagi keluarga yang tinggal dalam keadaan yang sama seperti Saad, minggu-minggu akan datang adalah tempoh yang sangat membimbangkan, sebagaimana bimbangnya mereka untuk berhadapan dengan ketidaktentuan tentang bilakah masalah tempat berteduh mereka akan berakhir.

“Saya tidak tahu selama manakah saya akan hidup dalam keadaan seperti ini,” kata Suad Najar dengan begitu sedih, sambil melihat keadaan pondok tempat tinggal keluarganya. “Saya masih tidak dapat membayangkan keadaan sengsara kami akan berakhir,” kata beliau sepertimana juga luahan rasa mangsa-mangsa serangan tentera Zionis yang lain di bumi Gaza yang masih dikepung dari dunia luar sejak lebih sembilan tahun lalu.

—–

Diterjemah dan ditulis semula daripada tulisan Matthew Vickery di mondoweiss.net

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts