GAZA, 28 Okt 2014 (Al-Monitor) — Sebuah lorong sempit menuju ke pintu masuk rumah Umm Mohammed yang runtuh di kejiranan Shaaf di timur Bandar Gaza kini menjadi satu-satunya tempat yang boleh dijadikan tempat berteduh. Jet tentera Zionis memusnahkan rumah dua tingkat beliau dalam serangan Asful Ma’kul, sehingga tidak lagi boleh dihuni. Keluarganya kini tidak ada tempat berteduh.
Sebahagian besar waktu seharian Umm Mohammed dihabiskan di lorong tersebut untuk menunaikan tugasan rumahtangga seperti membasuh baju, membasuh pinggan mangkuk serta melayan tetamu. Walau bagaimanapun, beliau tidak boleh tidur di situ kerana lokasinya yang sangat dekat dengan jalan utama. Jadi beliau terpaksa tidur di dalam perpustakaan di sebuah masjid bersetentangan dengan rumahnya, yang juga rosak terkena serangan bom.
“Sebagai seorang wanita, saya tidak boleh tidur di jalanan seperti orang lelaki. Apabila selesai solat Isyak, saya akan bergerak ke perpustakaan di masjid untuk tidur, dan saya bangun sebelum solat Subuh untuk memulakan hari yang baharu,” cerita Umm Mohammed kepada Rasha Abou Jalal, seorang penulis Al-Monitor.
Setiap hari, Umm Muhammed akan menyediakan sarapan untuk suaminya yang kini tidak lagi mempunyai pekerjaan, bersama empat anak mereka, sebelum mula membasuh pakaian keluarga dengan hanya menggunakan tangan. Sebelum tengahari, dia mula mengutip kayu bakar dari runtuhan pokok yang musnah oleh serangan kereta kebal tentera Zionis, untuk kegunaan memasak makanan tengahari keluarganya.
“Tentera Zionis memindahkan kami ke 100 tahun lampau. Kami sekarang tinggal di dalam kemah dan bergantung hidup kepada kayu bakar seperti nenek moyang kita dahulu. Kami juga terpaksa mendapatkan air dari tempat yang jauh,” kata beliau dengan suara kesedihan.
Sambil duduk di atas lantai dan mencuci pinggan mangkuk, Umm Muhammed berkata keluarganya mampu bertahan hidup hasil sumbangan pihak yang budiman, yang menyediakan bantuan makanan dalam tin untuk mereka. “Kami makan nasi, kacang, daging dan sardin setiap hari. Inilah yang diberi kepada kami.”
Sebelum matahari terbenam, Umm Muhammed duduk di atas sebuah sofa usang yang diletak di lorong itu, untuk merehatkan badan dari kepenatan menguruskan keluarganya. Dia memerhatikan sekumpulan relawan yang membina sebuah bilik kecil untuk keluarganya, guna untuk berlindung daripada kesejukan dan hujan menjelang musim sejuk.
“Sebahagian daripada batu yang mereka gunakan adalah dari runtuhan rumah kami. Mereka bina sebuah bilik kecil untuk keluarga kami, tetapi kerana kekurangan wang, kami tidak dapat menyiapkan siling konkrit. Lantai dibuat dari pasir, dan atapnya menggunakan kepingan zink. Bilik ini sungguh tidak akan mampu menyelamatkan kami dari kesejukan dan air hujan, tapi saya masih berharap kami akan dapat mengatasinya,” jelas Umm Muhammed.
Umm Muhammed menyempurnakan semua tugasan harian beliau sungguhpun terpaksa menanggung kesakitan akibat sakit rapuh tulang (osteoporosis). “Kami sudah kehabisan wang untuk membeli ubat untuk rawatan saya. Apa yang kami miliki semuanya sudah tertanam di bawah runtuhan,” kata beliau.
Umm Muhammed diam buat seketika dan kemudian menyambung cerita, “Rumah kami besar dan cantik. Kami telah hilang semua wang dan barang kemas. Kami kehilangan masa depan dan semua kerja keras selama ini. Impian terbesar saya sekarang adalah untuk tinggal di dalam rumah saya semula, mengahwinkan anak lelaki sulung saya dan melihat cucu-cucu saya bermain. Itulah yang saya harapkan sebelum saya tiba ajal.”
Adnan al-Najjar, seorang pelajar dalam bidang pengurusan kesihatan di Universiti Terbuka Al- Quds, baharu sahaja tamat kelas kuliahnya apabila dia menerima mesej daripada bapanya, menyuruh beliau pergi mendapatkan bantuan makanan dari sebuah pertubuhan kebajikan di Khan ounis. “Semuanya telah bertukar selepas serangan. Diri saya bertukar; seolah-olah saya telah menghabiskan kehidupan selama 20 tahun,” kata beliau kepada Rasha.
Adnan terpaksa melalui jarak sejauh dua kali ganda dari kebiasaan di antara rumahnya dan universiti tempat dia belajar, untuk pergi ke pertubuhan tersebut untuk mendapatkan bantuan. Kadang-kadang beliau mula beredar ketika kuliah masih berjalan, yang biasanya tamat pada jam 2:00 petang. Dia merasa bertanggungjawab ke atas keluarganya, sungguhnya hanya untuk mendapatkan beberapa kilogram gula dan tepung.
Adnan kehilangan rumahnya di bandar Khuza’a di timur Khan Younis dalam serangan baru lalu. Beliau terperangkap di bawah runtuhan rumahnya bersama beberapa ahli keluarga yang lain apabila dibedil oleh jet Zionis pada 24 Julai. Menyedihkan lagi, setelah berjaya keluar dari runtuhan, beliau telah ditangkap oleh askar Zionis sungguhpun masih di dalam keadaan tercedera. “Seluruh badan saya tertimbus dalam kotoran semasa serangan itu, kecuali bahagian kepala saya. Tidak sangka saya dan keluarga terselamat. Tidak ada apa-apa di sekeliling kami ketika itu, kecuali askar-askar Zionis dan anjing mereka, yang datang menghidu kepala saya,” cerita pemuda berbadan kurus itu.
Beliau ditahan selama lima hari sebelum dibebaskan dan pulang ke Gaza melalui lintasan Erez di Beit Hanoun pada 28 Julai. Abangnya Khaled bagaimanapun masih berada dalam tahanan.
“Saya cuba memberi tumpuan kepada pengajian, tetapi sukar. Kenangan [atas peristiwa yang telah berlaku] berulang-ulang dalam fikiran saya setiap masa. Saya tutup buku dan mengenang semula peristiwa rumah kami dibom ketika kami berada di dalamnya. Saya teringatkan abang saya yang akan tamat pengajian dari Fakulti Undang-Undang tahun ini,” kata Adnan.
Setiap pagi Adnan akan bangun dan berdiri di gerbang masuk bandar Khuza’a, menunggu teksi untuk pergi ke universiti. Namun, perjalanan seperti itu sudah menjadi mustahil selepas serangan dan Khuza’a diisytiharkan sebagai kawasan bencana.
“Teksi tidak lagi datang ke kawasan kami. Saya kehilangan rumah, abang saya ditahan dan keluarga kami terpisah. Ibu saya kini tinggal di rumah pakcik, ayah saya dengan saudara yang lain dan adik-adik saya tinggal bersama abang saya yang sudah berkahwin di Khan Younis,” katanya.
Adnan mengambil masa selama satu jam untuk sampai ke universiti, di mana beliau terpaksa menaiki tiga kenderaan berbeza. Satu-satunya bentuk hiburan yang ada hanyalah duduk di atas runtuhan dan bersembang dengan kawan-kawan. Apabila tiba masa untuk belajar, Adnan akan mengambil buku dan duduk di atas tanah bersebelahan runtuhan rumahnya. Abangnya Omar duduk bersebelahan dan memegang buku tentang kaedah mengajar. Kedua-dua mereka dikelilingi oleh runtuhan; seolah-olah satu pemandangan di dalam mimpi.
Omar tetap berkeyakinan tinggi. “Saya pasti tidak ada lagi yang lebih penting daripada pendidikan. Jadi saya tidak akan beri ruang kepada kesedihan,” katanya. Adnan tersenyum dan berkata, “saya bukan berputus asa, tetapi pemandangan [kejadian] runtuhan tidak hilang dari pemikiran saya. Abang saya Omar tidak ada di sini ketika rumah kami dibom bersama-sama kami di dalamnya.”
Adnan tidak mendapat bantuan pengajian dari Universiti Terbuka Al-Quds, yang dikhususnya untuk pelajar yang mana rumah mereka telah musnah. Dia tidak akan dapat mendaftar untuk tahun kedua pengajian yang akan bermula pertengahan September.
“Kadang-kadang saya rasa seperti saya perlukan kepada hiburan dan sokongan psikologi selama bertahun-tahun untuk pulihkan kekuatan saya, tumpu perhatian dan hidup seperti biasa,” katanya.
Adnan berjalan di lorong-lorong Khuza’a, sebuah perkampungan kecil di mana sebayak 360 buah rumah telah musnah, seakan-akan melalui sebuah medan permainan alur. Walau bagaimanapun beliau masih dapat ingat jalan-jalan singkat untuk pulang ke rumah. “Lapan adik-beradik kami belajar di universiti. Kami sedar nilai pendidikan dan itulah satu-satunya jalan untuk memperbaiki keadaan,” kata beliau.
Pintu masuk ke rumah Adnan tidak sekali-kali memberi gambaran sebenar apa yang ada di dalamnya. Sungguhpun pintunya masih utuh, keadaan di dalam rumah itu musnah semuanya. Bom yang jatuh ke atas rumah dua tingkat itu memusnahkan tangga dan semua dindingnya, sehingga mustahil untuk bergerak di dalam rumah itu tanpa terjatuh.
“Kadang-kadang sebahagian daripada rumah ini runtuh lagi. Rumah ini musnah teruk, tetapi kerana kadar sewa rumah sangat mahal, kami lebih suka belajar di sini. Sehinggalah musim sejuk tiba, baru kami akan berpindah ke rumah saudara-mara,” tambah beliau.
Adnan, sepertimana Gaza selepas diserang, kelihatan teguh dari luar. Dia kini menuju ke era baharu – seorang pelajar universiti yang memburu masa hadapan. Di dalam diri beliau, bagaimanapun, dia telah dimusnahkan oleh kehilangan, kepedihan dan kenangan.