Kisah penjaga Masjid al-Aqsa terakhir dari Kerajaan Uthmaniah

ISTANBUL, 1 Ogos 2017 — Ahli sejarah Ilhan Bardakci terserempak dengan seorang askar Uthmaniah pada 12 Mei 1972, dan memutuskan untuk menulis pengalaman yang sangat bermakna itu.

Berikut adalah kisah seorang askar dari Kerajaan Uthmaniah yang tetap setia dengan tugasnya selama 57 tahun di Masjid al-Aqsa, selepas tentera Uthmaniah berundur dari kota al-Quds pada 9 Disember 1917.

Masjid al-Aqsa. Jumaat, 21 Mei 1972. Saya bersama seorang kawan yang bertugas sebagai jurnalis, almarhum Said Terzioglu, sedang bersiar-siar di sekitar tapak suci dengan dibantu oleh pemandu kami. Setiba di puncak tangga di perkarangan kedua tapak masjid suci saya terserempak dengan seorang lelaki, yang tingginya hampir dua meter.

Beliau memakai pakaian usang, tetapi susuknya yang sudah tua itu tetap berdiri tegak dan gagah. Saya lihat mukanya, dan terasa gerun. Dia kelihatan seperti seorang yang baharu selesai memunggah tanah, dengan kesan-kesan calar di mukanya.

“Siapa lelaki ini?,” tanya saya kepada pemandu. Beliau hanya menggerakkan bahu dan menjawab, “Saya tak kenal… mungkin orang gila. Dia selalu berdiri di situ, tapi tak pernah minta apa-apa dari orang lain.”

Tidak tahu kenapa, tetapi saya memberanikan diri dan menyapa beliau dalam bahasa Turki, “Selamu Aleykum baba [pakcik].” Matanya dibuka cerah dan terus menjawab dalam bahasa Turki “Aleykum Selam oğul (anak)!”

Saya terkejut. Saya tarik dan cium tangannya… “Pakcik ni siapa?,” saya bertanya. Beliau menjawab…

“Saya Koperal Hasan dari Kor 20, Skuadron 8 pasukan mesingan berat yang dikerah ke Masjid al-Aqsa pada hari jatuhnya kota al-Quds…”

Kerajaan Uthmaniah berundur setelah memerintah kota al-Quds selama 401 tahun, tiga bulan dan enam hari. Mereka meninggalkan Palestin pada hari Ahad 9 Disember 1917. Palestin berada dijurang kejatuhan dan hanya satu skuadron bertahan di Masjid al-Aqsa bagi menghalang kecurian, sebelum tentera British mengambil alih kota tersebut.

Ya Allah. Saya renung wajahnya sekali lagi; kepalanya bak beranda sebuah menara yang berdiri di atas bahunya yang tegap, sehelai bendera yang layak dikucup. Saya pegang tangannya sekali lagi, dan beliau berbisik:

“Boleh saya minta satu pertolongan, anakku? Saya ada satu amanah yang saya simpan sejak bertahun-tahun, bolehkan kamu sampaikan amanah itu untuk saya?”

“Ya boleh, apa dia?” saya jawab.

“Bila kamu pulang ke negara kamu, kalau kamu sampai di Tokat Sanjak [sebuah bandar di barat Turki], pergi cari komander yang kerahkan saya ke sini, Kapten Musa. Ciumlah tangan dia dan beritahu… Koperal Hasan dari pasukan mesingan ke-11 Wilayah Iğdır masih setia di pos yang beliau kerahkan.”

Jantung saya bagai terhenti seketika!

Beberapa tahun kemudian:

Ketua tentera memutuskan supaya Ilhan Bardakci membantu untuk mencari askar kebanggaan itu setelah mendengar cerita ini melalui siaran televisyen. Ilhan Bardakci kemudiannya menulis: Koperal Hasan adalah salah seorang dari kita… nasibnya diabaikan. Itulah yang berlaku Kita tidak pernah pedulikan beliau, apalagi untuk mencari beliau. Beliau tidak dapat dicari lagi. Beliau seumpama sebatang pohon cypress yang meninggi ke awan. Dan kita, sekalipun kita meangkat tangan ke atas hanyalah seperti helaian rumput yang kecil di pangkalnya. Kita begitu lalai. Seperti mana orang lain, kita melupakan beliau, begitulah juga kita kehilangan permata yang tetap bertahan di pos beliau… Koperal Hasan.

(WorldBulletin)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts