GAZA, 5 Mei 2016 (MEMO) — Pasukan keselamatan Palestin mendedahkan mereka berjaya menghapuskan satu kumpulan rahsia yang cuba mewujudkan kekacauan dengan membunuh invididu tertentu dan mengebom rumah beberapa pemimpin Fatah dalam wilayah Gaza.
Kumpulan tersebut didanai oleh bekas pemimpin Fatah, Mohamed Dahlan, yang kini tinggal di Dubai. Mereka merancang serangan dengan berselindung di bawah nama palsu Wilayat Gaza, iaitu nama yang sama digunakan oleh kumpulan pengganas di Sinai yang mengaku sebagai sayap Islamic State (IS).
Kumpulan tersebut berjaya dihapuskan berikutan tertangkapnya isteri pemimpin Fatah di Gaza, Marwa al-Masri, di pintu lintasan Beit Hanoun ketika dalam perjalanan ke Tebing Barat untuk mendapatkan dana dari bekas Komander Keselamatan di Tebing Barat, Tawfiq al-Tirawi.
Marwa bagaimanapun dibebaskan atas pertimbangan beliau adalah seorang wanita, tetapi semua ahli lain kumpulan tersebut ditahan dalam penjara.
Sebilangan pemimpin Fatah menjadi sasaran kumpulan ini termasuklah Jamal Kayid, Ahmed Naser dan Mamoun Swidan, yang kesemuanya menentang Mohamed Dahlan.
Mereka turut merancang untuk menerbitkan video-video fitnah yang kononnya memaparkan ahli Wilayat Gaza atau IS di Gaza mengancam untuk menyerang Mesir dari wilayah Gaza, begitu juga ugutan ke atas Presiden Mahmoud Abbas.