Genap 15 tahun lalu pada 28 September 2000, pemimpin pengganas Zionis Ariel Sharon mara ke perkarangan Masjid Al-Aqsa dengan dikawal ketat oleh lebih 1,000 orang anggota polis. Dalam agenda beliau untuk secara terang-terangan memprovokasi umat Islam, khususnya penduduk Palestin, Sharon mengulang satu frasa yang telah diungkapkan dalam siaran radio ketika Perang Enam Hari 1967 bilamana tentera Zionis merampas Al-Quds Timur, bahawa “Bukit Haikal (Temple Mount – panggilan mereka kepada Masjid Al-Aqsa) kini dalam genggaman kita.”
Intifadah Pertama tercetus pada 9 Disember 1987 apabila sebuah lori tentera Zionis merempuh penduduk Palestin yang sedang beratur di kem pelarian Jabaliya di Gaza untuk pulang dari tempat kerja, mengorban empat orang. Manakala Intifadah Kedua, atau lebih dikenali sebagai Intifadah Al-Aqsa, tercetus dari polisi jahat Zionis yang bukan sahaja secara berterusan mencabuli undang-undang antarabangsa, bahkan juga menafikan serta mengkhianati hak-hak asasi penduduk Palestin. Provokasi yang dilakukan oleh Sharon di masjid mulia itu menjadi kemuncak yang tidak dapat lagi membendung kebangkitan.
Penduduk Palestin bertindak balas dengan serta merta melawan ancaman dan bahaya ke atas Masjid Al-Aqsa, masjid ketiga paling suci bagi seluruh umat Islam. Ia bermula dengan beberapa orang Palestin yang melakukan bantahan dengan membaling kasut ke arah polis pengawal Sharon sejurus selepas menunaikan solat. Hanya dalam tempoh beberapa jam sahaja, demonstrasi tercetus di seluruh wilayah Palestin.
Hari berikutnya, 29 September, tentera Zionis menembak sekumpulan penduduk Palestin yang melakukan demonstrasi di perkarangan Al-Aqsa, mengorbankan tujuh orang dan mencederakan lebih 100 yang lain. Demonstrasi menular ke seluruh Tebing Barat dan Gaza, yang menyaksikan pemuda Palestin membaling batu dan berhadapan dengan peluru hidup tentera Zionis.
Di Gaza pada 30 November, seorang kanak-kanak bernama Mohammed al-Durrah ditembak berulang kali oleh tentera Zionis ketika beliau mendakap ayahnya, cuba berlindung daripada serangan. Tidak lama kemudian seorang paramedik Bulan Sabit Merah Palestin terbunuh ketika sedang memberi bantuan kepada Mohammed al-Durrah dan ayahnya.
Tentera Zionis melancarkan operasi ketenteraan bagi menghukum penduduk Palestin secara kolektif di atas kebangkitan meluas itu. Sehinggakan PBB mengeluarkan Resolusi 1322 berkenaan tindakan rejim Zionis menggunakan tindakan ketenteraan yang melampau ke atas penduduk awam Palestin. Resolusi tersebut dikeluarkan kurang dari tiga minggu setelah tercetusnya kebangkitan, di mana ratusan penduduk Palestin telah pun terkorban dan tercedera.
Amos Malka, ketua perisik tentera Zionis ketika itu, mengakui bahawa dalam tempoh satu bulan pertama sahaja mereka telah menembak sebanyak 1,300,000 butir peluru, iaitu pada purata 40,000 butir peluru sehari.
Sehingga akhir tahun, sekurang-kurangnya 275 orang Palestin terkorban dan ribuan lagi tercedera.
Pemuda-pemuda Palestin yang membaling batu turut berhadapan dengan penembak tepat serta tembakan dari helikopter dan juga kereta kebal. Kini apa yang bermula dengan demonstrasi tunjuk perasaan berubah menjadi sebuah peperangan.
Pada bulan April 2002, tentera Zionis menyerang kawasan Tebing Barat dan menduduki semula beberapa kota dan bandar Palestin. Di kem pelarian Jenin, pejuang Palestin berhadapan dengan lebih 1,000 orang tentera Zionis dalam peperangan sengit yang berlarutan sehingga beberapa hari. Apabila tentera darat gagal untuk memasuki kem tersebut, Zionis mengebom kawasan kem dengan menggunakan tembakan dari helikopter dan jet pejuang, melepaskan tembakan meriam kereta kebal dan akhirnya meratakan sebahagian besar kem tersebut menggunakan buldozer, sehinggakan lebih 4,000 orang hilang empat tinggal. Dalam tempoh 10 hari pertempuran di Jenin, seramai 52 orang palestin dan 23 askar Zionis terkorban.
Di samping serangan menggunakan helikopter dan kereta kebal untuk memusnahkan rumah, pejabat dan kenderaan secara berleluasa, tentera Zionis juga mula membuat serangan dengan menyasarkan pemimpin-pemimpin kumpulan pejuang. Dari November 2000 sehingga September 2004, ejen dan tentera Zionis melakukan sekurang-kurangnya 273 pembunuhan sasar seperti itu.
Tahun 2004 turut menyaksikan bagaimana mereka secara kejam membunuh sasar Sheikh Ahmed Yassin and Dr Abdel Aziz Rantissi dengan melancarkan misil dari udara. Mungkin paling mengerikan, adalah tindakan mereka menjatuhkan bom seberat 2,000 paun ke atas bangunan apartmen tempat tinggal keluarga Salah Shehade dan keluarganya pada bulan Julai 2002. Beliau terkorban bersama 15 yang lain termasuk isterinya dan sembilan anak mereka.
Menurut pertubuhan Palestinian Center for Human Rights, sekurang-kurangnya 4,973 orang awam Palestin terkorban sepanjang tempoh Intifadah Al-Aqsa, di mana 1,262 adalah kanak-kanak, 274 wanita, dan 32 petugas perubatan yang cuba membantu mangsa yang tercedera. Manakala lebih 10,000 kanak-kanak tercedera sepanjang lima tahun itu. Sebahagian besar daripada kematian dan kecederaan adalah akibat serangan udara ke atas kawasan berpenduduk padat di Gaza dan serangan tentera di beberapa bandar, perkampungan dan kem pelarian di Tebing Barat.
Lebih 7,300 lagi penduduk Palestin ditangkap dan dipenjarakan.
Intifadah Al-Aqsa turut menyaksikan bagaimana tentera Zionis mengenakan sekatan ke atas seluruh wilayah Palestin. Mulanya, rejim Zionis mengenakan sekatan yang sangat ketat ke atas pergerakan penduduk Palestin, di mana mereka menyekat jalan masuk ke bandar dan perkampungan Palestin dengan menggunakan batu konkrit, timbunan tanah kotoran dan sampah, galian lubang yang dalam dan juga sekatan pemeriksaan. Mereka juga menguatkuasakan perintah berkurung yang menghalang penduduk Palestin keluar pada waktu-waktu tertentu samada siang ataupun malam, sekalipun hanya untuk berada di luar rumah.
Pada 16 Jun 2002, rejim Zionis memperkenalkan satu lagi kaedah baharu dalam melanggar undang-undang antarabangsa, iaitu dengan membina tembok pemisah. Sebahagian besar daripada tembok tersebut dibina di atas tanak milik penduduk Palestin, sehingga akhirnya mereka merampas tanah yang terletak di antara tembok dan kawasan asal wilayah Palestin 1948 yang mereka duduki. Dua tahun kemudian, Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan bahawa pembinaan tembok tersebut adalah haram dan mengarahkan supaya pembinaan dihentikan – satu keputusan yang dilanggar oleh rejim Zionis sehingga ke hari ini.
Di akhir tahun 2003, rejim Zionis mula melakukan suatu yang tidak pernah mereka buat sebelumnya, iaitu berundur keluar dari beberapa kawasan yang diduduki.
Sungguhpun tarikh sebenar berakhirnya Intifadah Al-Aqsa dipertikaikan, kebanyakan sumber menganggap awal tahun 2005 sebagai masa di mana pertempuran mula reda.
Selain daripada menyebabkan kehilangan nyawa dan kecederaan, rejim Zionis juga telah memusnahkan lebih 5,000 buah rumah penduduk Palestin dan merosakkan lebih 6,500 buah sehingga tidak dapat diperbaiki lagi.
Hari ini, tekanan dan kekejaman berterusan tentera Zionis serta pendatang Yahudi semakin memuncak. Mereka bukan sahaja menyerang dan membunuh penduduk Palestin, tetapi juga merampas, meroboh serta membakar rumah dan tempat-tempat ibadah penduduk Palestin, samada dari kalangan orang Islam, Kristian mahupun Samaritan. Seakan-akan fenomena yang tidak akan berhenti tanpa kebangkitan baharu di Palestin.
Pencerobohan, serangan dan provokasi yang saban hari berlaku di Masjid Al-Aqsa tidak lagi dapat dikawal, bagaikan mengundang berulangnya kebangkitan yang boleh menjadi suara dan mewakili aspirasi mereka.
Jika Intifadah Al-Aqsa menjadi jawapan kepada keangkuhan Zionis yang tidak menghormati hak-hak rakyat Palestin, kebangkitan baharu akan membawa rejim Zionis berhadapan dengan senario intifadah yang lebih meluas dan global.
Di bumi Palestin, mereka akan berhadapan dengan persiapan ketenteraan yang lebih kuat sepertimana yang dipamerkan dalam menentang serangan ke atas Gaza. Di luar Palestin, rejim Zionis akan berhadapan dengan persepsi yang sukar dijangka, dengan meningkatnya kempen boikot dan ketidak tentuan politik dunia Barat yang selama ini menjadi teman rapat mereka.
Yang pasti kebangkitan, atau intifadah yang terancang dan berterusan akan akhirnya dapat menghancurkan penjajahan InshaAllah.
——
Ditulis oleh Umar Ismail, relawan HALUAN Palestin.