Mesir Tutup Semula Pintu Lintasan Rafah

GAZA, 4 Dis 2015 (Maan) — Pihak berkuasa Mesir menutup semula pintu lintasan Rafah setelah membukanya di kedua-dua arah untuk selama dua hari.

Dalam keadaan penuh harapan dan keperitan, ribuan penduduk Gaza cuba memecah masuk ke pintu lintasan Rafah bagi membantah sekatan ketat dan kerenah yang dikenakan oleh pihak berkuasa Mesir.

Pintu Rafah sebelum ditutup selama lebih tiga bulan berturut-turut, iaitu tempoh penutupan paling lama dalam sejarah.

Selama dua hari dibuka, hanya 628 orang daripada 25,000 penduduk Gaza yang mendaftar untuk keluar dibenarkan melintasi pintu sempadan. Sementara 259 orang dibenarkan memasuki Gaza dari kawasan Mesir.

Pihak berkuasa Mesir juga membebaskan 34 orang tahanan Palestin yang dikurung di penjara Mesir atas tuduhan memasuki sempadan Mesir secara haram.

Sejak awal pagi pesakit, pelajar dan rakyat asing berpusu-pusu di pintu lintasan untuk menunggu giliran dibenarkan keluar. Namun hanya dua buah bas dibenarkan keluar melintasi terminal sempadan yang “dibuka” itu.

Bagaimanapun seramai 350 orang lagi penduduk Gaza yang diluluskan untuk keluar tidak tercapai hasrat mereka melintasi sempadan apabila pihak berkuasa Mesir menghalang mereka atas alasan perintah berkurung di Rafah dan Sheikh Zweid, yang berkuat-kuasa pada jam 7:00 malam.

Sikap pihak Mesir yang menguruskan proses lintasan secara terlalu perlahan dan memilih dikritik oleh banyak pihak, termasuk Kementerian Dalam Negeri Palestin. Sebahagian pesakit terpaksa menunggu lebih 24 jam bagi mendapat kebenaran melintas terminal.

Pintu lintasan Rafah ditutup selama 318 hari sepanjang tahun 2015, termasuklah penutupan selama 105 hari berturut-turut. Ia hanya dibuka selama 19 hari sepanjang 11 bulan lalu. Penutupan yang lama dan berterusan mengeruhkan lagi krisis kemanusiaan ke atas penduduk Gaza yang dikepung sejak lapan tahun lalu.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts