Muhammad Duweikat dibebaskan dari penjara Zionis dalam keadaan buta

NABLUS, 12 Mac 2018 — Jika dahulu beliau dapat mengenali ibu dan bakal isterinya dengan tatapan mata, kini Muhammad Duweikat terpaksa menyentuh serta mendengar suara mereka dengan penuh teliti. Itulah kezaliman penjajah Zionis yang tidak mengenal kemanusiaan.

Muhammad, 31, masuk ke penjara Zionis dengan penglihatan yang normal dan boleh melihat sepertimana orang lain. Namun hanya selepas beberapa bulan dikurung, beliau dibebaskan dalam keadaan matanya buta.

Tentera Zionis menangkap Muhammad Duweikat dari rumahnya pada 6 Disember 2016, hanya dua minggu selepas melamar calon isterinya Ala Ushaida dari perkampungan Tel di barat Nablus. Tidak lagi seperti dahulu, lelaki berbadan sasa itu tidak lagi dapat berjalan berseorangan bahkan terpaksa berharap kepada bantuan orang lain.

Sepanjang penantian yang lama itu, ibunya Ummu Muhammad serta calon isterinya Ala Ushaida hanya dapat menatap wajah beliau dari jauh melalui celah-celah jeriji besi bersilang.

Sampai akhirnya beliau bebas dan muncuk dari kurungan, Ummu Muhammad tidak tertanggung melihat anaknya yang berjalan meraba-raba untuk mencari ibunya itu, hinggakan beliau terjatuh. Ketika beliau dibantu berdiri semula, Muhammad membongkok ke tanah dan mencium kedua kaki ibunya, sebelum akhirnya berpelukan erat sambil bercucuran air mata.

Meskipun telah lama tidak berjumpa, Muhammad masih dapat mengenali suara calon isterinya Ala Ushaida, yang berbisik dekat telinganya, “Segala puji bagi Allah atas keselamatanmu wahai kekasihku.” Air mata bercucuran di wajah mereka.

Menurut Muhammad, pada 24 Oktober 2017 beliau merasa sangat panas seperti ada bara api di matanya. Beliau pergi ke klinik penjara untuk mendapatkan pemeriksaan, dan doktor wanita yang bertugas memberi ubat sakit mata. Beberapa hari kemudian, sakit di mata kirinya bertambah teruk. Namun doktor masih memberikan ubat yang sama. Hari berikutnya, sakitnya merebak ke mata kanan. Pandangan beliau menjadi kabur dan akhirnya beliau tidak dapat melihat langsung.

Selama dua minggu merayu supaya diberikan rawatan, doktor hanya menasihat beliau menghabiskan ubat yang telah diberikan. Bahkan rakan-rakan tahanan beliau turut menjadi marah dan membuat bantahan ke atas pihak penjara, mengancam untuk membakar penjara sekiranya tidak diberikan rawatan sebenar.

Akhirnya pihak penjara akur, dan menghantar Muhammad ke Hospital Afula. Doktor memberitahu beliau telah mengalami jangkitan teruk di bahagian kornea dan merebak hingga ke retina. Mereka memberikan ubat, dan mengatakan bahawa beliau akan pulih dalam tempoh dua bulan. Namun selepas empat bulan dirawat, keadaannya semakin teruk.

Lebih mengelirukan, rejim penjajah mendakwa Muhammad mengalami masalah keturunan. “Ketika nenek-nenek saya mencapai usia 80 tahun, mereka masih boleh membaca al-Quran tanpa cermin mata,” kata Muhammad.

Setelah dibebaskan, Hospital Rafidia di Nablus membentuk sebuah pasukan perubatan untuk merawat Muhammad. Hasil ujian ke atas beliau akan diketahui beberapa hari lagi.

(PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts