Murabitat – Sukarelawan Wanita Yang Menjadi Benteng Al-Aqsa

AL-QUDS, 13 Jan 2014 (MEE) — Di pagi Isnin yang basah kehujanan, kira-kira dua puluh orang wanita berkumpul di bawah gerbang batu Masjid al-Aqsa, duduk secara berkelompok di atas kerusi plastik dan permaidani, cuba berlindung dari hujan lebat yang melimpahi halaman masjid mulia itu. Mereka berbual-bual dan membaca dengan kuat, sambil membelek buku-buku agama. Tidak lama kemudian, lebih ramai lagi wanita datang menyertai mereka, semuanya membawa sejadah dan datang bersesak untuk berlindung daripada ribut.

Wanita-wanita ini, yang berusia dari awal dua puluhan hingga ke lebih tujuh puluh tahun, datang setiap hari ke perkarangan wakaf umat Islam yang paling penting di Al-Quds itu, masjid yang ketiga paling suci. Di bawah gerbang masjid dan di halaman teduh Kubah as-Sakhra, mereka bersolat, bertemu dan belajar bersama-sama. Pelajar yang lebih tua yang kebanyakannya tidak boleh membaca atau menulis, diajar membaca al-Quran, manakala wanita muda mempelajari persoalan agama yang lebih kompleks, dan mempelajari sejarah masjid al-Aqsa dan kota suci al-Quds.

Tetapi ini bukanlah satu-satunya alasan mereka mengunjungi Masjid al-Aqsa. Wanita ini dikenali sebagai ‘Murabitat’, orang yang teguh bertahan dengan penuh kesabaran, yang datang untuk mempertahankan tempat suci itu dari pencerobohan dan kawalan yang semakin mencengkam oleh rejim Zionis. Mereka juga berjaga-jaga terhadap kumpulan pelampau Yahudi yang sering menceroboh masuk kompleks al-Aqsa dan cuba melakukan ritual agama mereka di situ, yang mereka kenali sebagai Haikal Sulaiman (Temple Mount) dan dakwa sebagai sebagai tempat suci untuk orang Yahudi.

Apabila kumpulan pelampau Yahudi menceroboh masuk melalui kawasan masjid dengan dikawal oleh polis Zionis, para Murabitat akan melaungkan takbir “Allahu Akbar”, sebagai memberi amaran kepada penceroboh bahawa kawasan tersebut masih lagi di bawah penguasaan umat Islam, sungguhpun ianya dicemari dan dinodai oleh Yahudi secara berterusan.

“Kami melaungkan takbir Allahu Akbar setiap kali sesuatu perkara yang buruk berlaku, apabila kami diancam oleh Yahudi atau dicederakan oleh tentera,” kata Latifa Abdullatif, 24 tahun.

“Saya tinggal di Kota Lama al-Quds, dan saya biasanya datang ke sini hanya untuk solat di waktu malam. Tetapi apabila saya melihat pendatang Yahudi menceroboh masuk setiap hari, dan melihat betapa mereka sangat bercita-cita untuk menguasai tempat ini, bahawa mereka mahu supaya Kubah as-Sakhra roboh musnah, saya sedar bahawa saya mempunyai hak untuk datang ke sini dan menjadi kewajiban bagi saya untuk berada di sini. [Saya datang] Untuk menegaskan satu perkara: kami tidak akan meninggalkan tempat ini, tempat ini adalah milik kami, dan kami tidak akan ke mana-mana (selain berada di sini)”.

Wanita Palestin berhujah dengan pegawai polis Zionis di perkarangan Masjid al-Aqsa.
Wanita Palestin berhujah dengan pegawai polis Zionis di perkarangan Masjid al-Aqsa.

Pengakuan Latifa ini dipersetujui dan dikongsi oleh ramai rakyat Palestin, yang percaya bahawa status quo al-Aqsa kini diancam dengan serius. Yahudi kini secara rasminya dibenarkan memasuki kawasan yang ditadbir oleh jabatan Wakaf itu. Tetapi mereka tidak dibenarkan melakukan upacara keagamaan di dalamnya. Kebelakangan ini, bagaimanapun, puak pelampau Yahudi mula mencabar ketetapan tersebut dengan lebih biadap dan agresif. Dengan melakukan pencerobohan masuk secara lebih kerap para pendatang Yahudi, termasuk tokoh-tokoh ternama dari kalangan ahli Parlimen Knesset, mereka kini menegaskan bahawa ianya adalah suatu hak keagamaan untuk mereka beribadah di tempat suci agama Yahudi itu.

Rakyat Palestin bagaimanapun percaya bahawa kumpulan-kumpulan Yahudi ini sebenarnya ingin untuk mengambil alih keseluruhan kawasan tersebut – satu kebimbangan yang dikuatkan lagi dengan tindakan organisasi seperti Temple Mount Movement, yang dengan jelas menyatakan bahawa “kuil-kuil pagan” al-Aqsa dan Kubah as-Sakhra mesti dimusnahkan dan digantikan dengan sebuah kuil Yahudi yang ketiga. Kenyataan inilah yang membakar suasana tegang di sekitar al-Aqsa kebelakangan ini, sehingga berlaku banyak pertempuran di antara para Murabitat dan pasukan polis Zionis.

“Bayangkan jika anda tidak dibenarkan untuk pergi masuk dan berdoa di dalam gereja, ia akan menjadi suatu yang sangat menyakitkan sehingga anda menjadi marah,” kata Ayda Sidawil, 53, sambil melihat ke arah taman-taman di perkarangan masjid itu, tidak jauh dari dinding biru Kubah as-Sakhra. Tidak jauh dari tempat beliau duduk, sekumpulan tentera Zionis berlindung di bawah teduhan pokok.

“Saya tidak peduli jika rumah saya dimusnahkan, atau jika mereka merompak wang saya. Masjid Aqsa adalah garis merah bagi saya. Jika mereka mengambil al-Aqsa, seluruh wilayah al-Quds juga tidak akan selamat,” tambah Ayda.

Salah satu gambaran yang paling menonjol dalam kemelut penguasaan Zionis ke atas Haram al-Sharif adalah tindakan mereka menghalang kaum lelaki daripada memasuki masjid, sehingga mereka terpaksa menunaikan solat di atas jalan. Tetapi ini hanyalah sebahagian kecil daripada masalah yang sebenar. Para Muslimat yang datang ke masjid setiap hari kini juga ditangkap, dipukul dan diharamkan daripada mendekati kawasan masjid. Namun, mereka terus kembali dan menegaskan bahawa mereka bersedia untuk terus menanggung akibatnya, hanya untuk berada di sisi al-Aqsa.

Laporan tentang wanita yang ditangkap di perkarangan masjid, atau dicederakan oleh tentera Zionis, kini muncul setiap minggu. Latifa berkata, dia ditahan selama dua jam pada awal bulan ini, kemudian disoal siasat dan diancam untuk diusir dari kawasan masjid. Muslimat lain juga mengatakan bahawa mereka telah berkali-kali dikejar oleh pegawai polis dan dihalang daripada memasuki kawasan masjid.

Jurucakap polis Zionis, Micky Rosenfeld, menafikan laporan tentang penangkapan dan pengharaman (masuk ke al-Aqsa) ke atas wanita Palestin.

“Sejak beberapa minggu lepas berlaku beberapa kejadian gangguan di Temple Mount,” kata beliau. “Wanita Palestin berjalan-jalan di atas Temple Mount, menghalang pelancong dan orang-orang bukan Islam berjalan-jalan di situ. Wanita ini kadang-kadang menjerit “Allahu Akbar” ke arah pelancong, dan polis telah melakukan yang sewajarnya.”

Suasana menjadi semakin tegang. Bulan lalu, Ahli Knesset rejim Zionis, Moalem Rafaeli, memberitahu Jerusalem Post bahawa dia ditolak oleh seorang wanita Palestin apabila cuba untuk memasuki kawasan al-Aqsa. Bagaimanapun, Murabitat mendakwa pencabulan (terhadap kesucian al-Aqsa) dan keganasan (oleh pelampau Yahudi) dilakukan secara berterusan dan pihak berkuasa Zionis bertanggungjawab menimbulkan ketegangan.

Ayda juga menjelaskan bahawa beliau baru-baru ini dipukul oleh pasukan keselamatan Zionis. Beliau menunjukkan foto jilbabnya – pakaian longgar yang dipakai oleh wanita Islam – yang dikoyakkan oleh tentera Zionis dalam insiden tersebut.

Zoya Badawni, 67 tahun, merupakan seorang lagi wanita Palestin yang mendakwa dikasari, kali ini oleh para pendatang Yahudi. Beliau kini terpaksa memakai pembalut di pergelangan tangan yang patah dalam insiden konfrontasi tersebut – satu bekas (kesakitan) yang masih beliau rasai hingga kini.

Palampau dan pendatang Yahudi menceroboh masuk al-Aqsa dengan kawalan pihak keselamatan rejim Zionis.
Palampau dan pendatang Yahudi menceroboh masuk al-Aqsa dengan kawalan pihak keselamatan rejim Zionis.

Ayda mengimbas kembali, “Rabu lalu adalah hari yang agak malang. Empat wanita ditahan dan dipukul. Mengapa mereka (pihak Zionis) berbuat demikian? Adakah hanya kerana kami datang untuk menunaikan solat? Adakah kerana kami melaungkan Allahu Akbar? Atau kerana kami adalah wanita? Kami hanyalah wanita, kami tidak mempunyai apa-apa, dan mereka adalah askar yang lengkap bersenjata. ”

Sungguhpun terpaksa berhadapan dengan cabaran-cabaran ini, para Murabitat kini semakin yakin bahawa mereka perlu tetap berada di situ demi mempertahankan masjid suci itu. Walaupun terpaksa menanggung kecederaan, Zoya tetap menjadi salah seorang daripada ramai wanita Palestin yang cekal menziarahi al-Aqsa hampir setiap hari, dari wilayah-wilayah Palestin yang terjajah, dari kawasan seperti Jaffa, Acre ataupun Galilee.

Sebagai golongan wanita, para Murabitat percaya bahawa mereka mempunyai peranan yang sangat penting. Menurut mereka, lelaki Palestin di al-Quds berhadapan dengan risiko yang lebih tinggi untuk ditangkap di kawasan terbuka al-Aqsa yang dipenuhi dengan kawalan polis Zionis. Mereka berpendapat bahawa kemungkinan bagi seseorang wanita adalah lebih rendah, dan mereka biasanya dapat mengawal diri daripada melakukan pertempuran (dengan polis Zionis).

Kesatuan di kalangan para Mubaritat merupakan intipati dalam perjuangan mereka. Ramai yang berpendapat perjuangan mereka kini sudah mencabar dan menukar peranan tradisi mereka. Perjuangan mereka telah berubah sejak empat atau lima tahun kebelakangan ini, sekaligus mencabar pendapat atau pegangan konservatif berkaitan jantina.

“Sebelum ini wanita tidak kerap berkunjung ke masjid,” kata Latifa, salah seorang Murabitat yang paling muda dalam kumpulan tersebut.

“Tetapi oleh kerana konflik menjadi lebih sukar, lebih luar biasa, wanita Palestin kini terbebas dari pemikiran bahawa mereka hanya harus tinggal di rumah, atau mereka tidak perlu menyuarakan pendapat tentang apa yang sedang berlaku, atau mereka tidak boleh meninggikan suara.”

“Ini hanyalah satu budaya yang diwarisi secara tradisi, bukanlah suatu yang diasaskan kepada agama,” sambung Latifa. “Sejak mereka datang ke masjid untuk melakukan perkara-perkara ini, wanita Palestin kini lebih berfikiran terbuka. Mereka telah memahami ianya adalah suatu kewajipan untuk mereka datang, dan mereka boleh bermusafir serta menzahirkan pendapat.”

Bagi kebanyakan wanita di sini, kompleks al-Aqsa bukan hanya menjadi pusat kepada al-Quds tetapi juga pusat kepada kehidupan mereka. Ia merupakan pusat masyarakat di kota ini, yang selama ini hanya dilawati oleh kebanyakannya kanak-kanak. Bahkan ia juga lebih dari itu. Para Mubaritat mengatakan bahawa selagi al-Aqsa kekal, Palestin juga tetap akan kekal. Kesungguhan dan keyakinan untuk mempertahankannya telah memaksa mereka untuk mencabar segala ancaman keganasan, tangkapan dan sekatan.

“Saya ditahan dua minggu lalu selama enam jam dan mereka menyoal-siasat saya. Kata mereka, jika saya kembali ke Al Aqsa, saya akan diharamkan daripada memasuki kawasan ini, dan mereka akan menahan saya di dalam penjara,” kata Latifa. “Keesokan harinya, saya datang kembali.”

“Jauh di dalam hati, kami amat faham bahawa kami meletakkan diri pada risiko, tetapi kami tidak mempunyai cara lain. Apa lagi yang kami ada untuk menunaikan tanggunjawab (terhadap al-Aqsa)? Tidak seorang pun daripada kami rela untuk ditangkap, tidak juga kami bersedia untuk dicederakan. Tetapi inilah satu-satunya cara yang ada pada kami,” tambah beliau.

———-

[Artikel asal telah disiarkan oleh Middle East Eye pada 25 November 2014, dengan kemaskini pada 13 Januari 2015]

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts