Obama Luluskan Bantuan USD2.775 Bilion Kepada Israel

Presiden Amerika, Barack H. Obama, telah meluluskan Undang-undang Bajet Bantuan Luar bagi Tahun 2010 yang melibatkan bantuan keselamatan kepada negara haram Israel berjumlah USD2.775 billion. Ini merupakan bajet yang kedua diluluskan untuk negara haram Israel, yang merupakan sebahagian daripada bantuan Amerika berjumlah USD30 bilion untuk tempoh sepuluh tahun akan datang.

Agensi berita Israel, Ynet News melaporkan bahawa bajet yang telah ditanda-tangani oleh Obama tersebut buat pertama kalinya turut melibatkan peruntukan sebanyak USD500 juta kepada pihak berkuasa Palestin. Sebanyak USD100 juta daripadanya akan digunakan oleh Jeneral Keith Dayton yang bertanggung-jawab melatih pasukan keselamatan Palestin di Tebing Barat. Kerajaan Amerika menegaskan bahawa bantuan ini akan hanya diberikan kepada kerajaan Palestin yang menerima syarat-syarat dalam Quartet Committee (Amerika, PBB, Rusia dan Kesatuan Eropah.) Syarat-syarat tersebut antara lain termasuk mengiktiraf negara haram Israel, menghentikan keganasan dan menerima semua perjanjian yang telah dipersetujui dengan Israel.

Ynet News menambah lagi bahawa, buat pertama kalinya juga Undang-undang Bantuan Luar Amerika memasukkan satu klausa yang menghalang ekspot dan impot matawang Amerika untuk kegunaan bank-bank yang memberi jaminan, insuran dan pinjaman kepada syarikat-syarikat yang berurusan dalam jualan minyak dengan negara Iran.

Amerika mula menyalurkan bantuan tahunan sebanyak USD3 bilion kepada Israel setelah negara haram itu menanda-tangani perjanjian damai dengan Mesir pada tahun 1973. Sebanyak USD2 bilion diperuntukan kepada “bantuan keselamatan” dan USD1 bilion lagi untuk “bantuan awam.” Tetapi selepas Banjamin Netanyahu mengambil-alih pemerintahan, beliau sedikit demi sedikit mengurangkan kegunaan bantuan umum dan dalam masa yang sama meningkatkan kegunaan untuk bantuan keselamatan sehingga mencecah USD2.4 bilion.

Mantan Perdana Menteri negara haram Israel, Ehud Olmert, telah menanda-tangani satu memorandum persefahaman dengan pentadbiran Bush bagi mendapatkan tambahan bantuan keselamatan dari Amerika untuk tempoh sepuluh tahun akan datang. Penambahanan ini dijustifikasi oleh Israel sebagai sebahagian daripada usaha untuk menangkis “ancaman Iran” dan “sokongan Iran kepada kumpulan pengganas.”

Walaupun berhadapan dengan krisis kewangan yang serius, Amerika tidak mungkin akan mengurangkan, apalagi menghentikan, bantuan kepada Israel pada bila-bila masa sekalipun. Israel tertakluk kepada persetujuan untuk menggunakan 75% daripada bantuan keselamatan dalam matawang Amerika — dalam kata lain, untuk mengeluarkan peralatan ketenteraan di Amerika bagi mewujudkan peluang pekerjaan di Amerika.

Tambahan lagi, Presiden Obama dan Kongres Amerika meluluskan tambahan khas kepada industri pertahanan Israel bagi mengeluarkan teknologi baru, terutama sekali dalam bidang pertahanan misil. Amerka telah membantu, dan terus membantu, Israel mengeluarkan produk dari projek pertahanan misil “Arrow 2” yang dibangunkan hasil kerjasama Boeing dan Israel Aerospace Industries. Sejak dua tahun lepas, Amerika mengeluarkan dana bagi menaja pembangunan “Arrow 3” – sistem pertahanan berperingkat bagi menghadapi misil jarak jauh oleh Iran.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts