Palestin: Kayu Ukur Keutuhan Iman Kita

Hari demi hari berlalu, tanah suci ketiga ummat Islam ini terus-terusan berdarah. Entah apa dosanya, ditinggalkan keseorangan walaupun ia salah sebuah tempat penting di dalam Islam.

Kehangatan boikot, kepanasan demonstrasi, semuanya sudah surut. Itu semua bermusim. Tetapi Israel menyerang tanah bernama Palestin tanpa musim-musim tertentu. Tinggal mendapat perhatian atau tidak sahaja. Pejuang-pejuang mujahidin mempertahankan tanah suci itu juga tanpa musim, hari-harian ada sahaja yang tumbang.

victory-for-palestineMuslimin di negara lain senang hati dengan kehidupan mereka. Cukup makan, dapat buat ibadah solah, zakat, puasa, haji, mereka sudah rasa kehidupan mereka lengkap. Mereka rasa merekalah yang bertaqwa, mereka lah yang soleh, mereka lah yang terbaik. Mereka rasa, dunia hari ini sudah bagus, Islam hari ini sudah kuat.

Namun, Palestina itu hakikatnya antara meter keimanan ummah.

Tanda kelemahan

Palestina, dari segi geografinya dikelilingi negara-negara Islam, bukannya negara-negara barat atau pemerintah-pemerint ah kafir. Mesir, Jordan, Syria, Lubnan, itu adalah negara-negara yang mempunyai sejarah peperangan yang agak hebat. Semua negara itu majorriti penduduknya adalah muslim.

Bersebelahan pula negara-negara itu terdapat negara-negara Islam lain, antara negara
Islam terkuat dan terkaya yang ada berdekatan Palestina adalah Arab Saudi. Ada pula negara yang mempunyai ketenteraan yang hebat seperti Yaman. Jauh dari Palestina, terdapat banyak lagi negara Islam yang mempunyai kekuatan gagah seperti Iran, Indonesia dan Malaysia. Negara-negara di dalam OIC mempunyai lebih dari 200 buah negara semuanya.

Namun, Palestina yang kecil jika hendak dibandingkan negara-negara arab yang lain itu, dijajah pula oleh Israel yang bilangannya jauh lebih sedikit, yang negaranya jauh lebih kecil, tidak mampu dibebaskan oleh muslimin yang ramai di sekelilingnya.

Adakah ini tanda kekuatan?

Ini tanda kelemahan.

Rasulullah SAW bersabda: “Satu hari nanti, kamu akan dihurungi musuh seperti mana makanan dihurungi semut”

Sahabat-sahabat bertanya, “Apakah kami sedikit ketika itu ya Rasulullah?”

Rasulullah SAW menjawab: “Bahkan kamu ramai, tetapi ibarat buih di lautan”

Meter keimanan

Jika kita ini beriman pada Allah SWT dengan keimanan yang sebenar, pastinya kita akan menjaga hak-hak Allah, menjalankan segala perintah-Nya, meninggalkan segala larangan-Nya, dan bergerak mencari redha-Nya.

Namun, Palestina, Al-Quds yang diberkati oleh Allah SWT sekelilingnya, kini dibasahi darah saudara-saudara kita, diinjak-injak pula oleh musuh-musuh Allah yang durjana, dan kita berdiam diri sahaja. Maka di manakah keimanan kita?

Palestina, sebenarnya meter keimanan kita. Tanda keimanan ummah hari ini belum sempurna, belum di tahap selamat. Tanah suci yang hebat sebegitu, dibiarkan ternoda? Maka apakah ummahnya bagus? Membiarkan Masjidil Aqsa dinodai, sama sahaja dengan membiarkan Masjidil Haram dicerobohi. Apakah kita menyangka, kita menjaga Masjidil Haram dan Masjidin Nabawi sebaik mungkin, Masjidil Aqsa boleh kita biarkan hancur?

“Kita dah ada dua masjid dah, biar lah satu lagi tu”

Begitu kah?

Palestina adalah kayu ukur keimanan kita, Palestina kayu ukur sensitiviti kita, Palestina kayu ukur kepekaan kita. Berapa hari sekali kita memikirkan Palestina dan
saudara-saudara kita di dalamnya? Berapa banyak kali kita berusaha menyumbang dan menyokong perjuangan sahabat-sahabat kita di sana? Pernahkah dalam hidup kita, kita merancang cara untuk membebaskannya?

Atau kita hanya duduk goyang kaki, dan meninggalkan urusan itu kepada mereka?

“buat apa nak sibuk-sibuk…”

Begitu kah?

Maka jelas lah bahawa keimanan kita ada gangguan, apabila kita rasa hari ini adalah satu kesempurnaan.

“Barangsiapa yang berpagi-pagi bukan memikirkan permasalahan ummat Islam, maka dia bukan dari kalangan kami” – Al-Hadith.

Kebenaran yang diselimuti

Hari ini, media mati-matian berusaha menunjukkan kepada manusia betapa kehidupan mereka hari ini sempurna, bagus, sudah baik dan tidak memerlukan perubahan. Isu di Palestin, hanya masuk di dalam akhbar dalam keratan yang sangat kecil.
Kematian-kematian di sana, dianggap sajian harian yang sudah menjadi rutin.

Kita dididik bahawa, yang luar dari sempadan negara kita, adalah orang lain. Pasport, Boarder, Sempadan, semua itu adalah dididikan halus, memutuskan hubungan ummat Islam sesama kita. Negara aku negara aku, negara kau bukan negara aku. Maka hal negara kau aku malas ambil tahu.

Kebenaran bahawa Ummat Islam ini satu negara, satu tali saudara, ditutup oleh dunia.
Menjadikan saudara kita terbunuh, merupakan satu perkara biasa kepada kita.

Media pula memainkan peranan, memburuk-burukkan pejuang-pejuang di sana. BBC, CNN dan segala macam media massa global mati-matian mencari peluang memburukkan mujahidin dalam rancangan mereka. Rancangan 11/9 disusun dengan baik agar segala bentuk pembelaan Islam dianggap satu keganasan, terorrisma.

Akhirnya, perjuangan di Palestina dianggap sesuatu yang busuk hatta oleh orang Islam sendiri.

“Apalah mereka tu, perjanjian damai sudah lah”

“Ish, apa la bom-bom diri. Nanti terbunuh anak kecil, perempuan macam mana?”

“Tak baik bunuh-bunuh ni. Serah diri sudah la”

Begitu akhirnya. Dididik oleh dunia, bahawa membela diri itu salah. Sedangkan siapa yang penceroboh? Siapa pemegang hak tanah? Adakah orang melihat apa yang dilakukan oleh askar-askar Israel? Anak kecil, perempuan Israel kita kira, bagaimana anak kecil, perempuan Islam di Palestina yang hari-hari mati?

Perjanjian damai? Sudah berapa kali Israel merosakkan perjanjian damai?

Kita ditipu dunia, akhirnya kita mengatakan mujahidin itu terorris? Sedangkan apa bezanya mereka dengan pejuang-pejuang pembebasan kita seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Haji Abdurrahman Limbong yang kita masukkan dalam buku sejarah memuji-muji kepahlawanan mereka menentang Inggeris?

Kita ini ditipu sebenarnya. Kita diberikan suasana selesa, agar kita lupa perjuangan kita.
Kita ini, raksasa yang sudah disuntik pelali agar tidur tidak bangkit lagi.

Melihat pembuka-pembukanya

Manusia akhirnya termanggu-manggu mencari penyelesaian kepada Palestina. Boikot sahaja tidak akan ke mana. Demonstrasi sahaja tidak akan ke mana.

Mari kita lihat sebentar kepada pembuka-pembuka Palestina.

Pembuka pertama adalah Saidina Umar Al-Khattab. Kita lihat dia, tenteranya, ummah di zamannya bagaimana? Itu lah ciri-ciri yang kita perlu ada untuk membebaskan Palestina hari ini. Kekuatan yang ada pada ummah, tentera, pemimpin di zamannya adalah keimanan.

Iman itu, akar kepada kekuatan mereka.

Kita lihat selepas itu, keadaan ummat Islam melemah. Lama kelamaan, kelemahan itu seperti kita hari ini, tidak hiraukan orang lain, tidak mengamalkan Islam dengan benar, perpecahan ummat Islam dan sebagainya, akhirnya Allah jatuhkan Palestina kepada tentera salib.

Lihat. Lihat bila Palestina jatuh. Bila ummah rosak.

Kemudian muncul Salahuddin Al-Ayubi. Dia ibarat Umar yang kedua. Diceritakan pemerintahannya sangat adil sehingga tiada yang memberontak. Akhlaknya sangat bersih.
Hatta di dalam manuskrip sejarah Eropah, tiada yang menghinanya. Dia mentarbiyah tenteranya dengan baik. Yang berqiamullail adalah jeneral walau tidak sasa. Sasa keimanan itulah yang dipilihnya.

Diceritakan oleh King Richard sendiri bahawa, ketika dia ditangkap di dalam kem orang Islam, sewaktu malam dia mendengar bunyi seperti lebah berdengung-dengung di setiap khemah orang Islam. Bunyi apakah itu? Bunyi tentera-tentera Salahuddin membaca Al-Quran.

Suasana ummah ketika zaman Salahuddin pula adalah bersatu. Tiada pula tentera Islam lain yang berusaha merosakkan tentera Salahuddin. Selepas jatuhnya Kerajaan Fatimid, walaupun ada banyak kerajaan Islam, mereka seakan-akan bersatu menyokong perjuangan Salahuddin. Ummah ketika itu, bersatu. Macam zaman Umar Al-Khattab.

Itulah dia kualiti, kualiti pembuka Palestina. Akhirnya Salahuddin berjaya menawannya.
Dan kerosakan ummah selepas itulah yang menjatuhkannya semula.

Maka, adakah anda sudah nampak apa solusi untuk membuka semula Palestina?

Saya rasa anda sudah nampak.

Maka apakah tindakan anda?

Solusinya adalah…

Palestina, solusinya bukan semata-mata mengangkat senjata. Memang, akhir sekali untuk menundukkan yahudi yang keras kepala itu kita perlu kepada peperangan. Namun, siapakah yang layak untuk berperang?

Sementara saudara kita di Palestina berusaha bertahan, kita di luar Palestina sepatutnya mengambil peluang membina semula keimanan. Kunci pembebasan Palestina adalah keimanan kita kepada Allah SWT, kefahaman kita terhadap deen Allah SWT.

Hanya yang beriman dan yang faham sahaja, yang sanggup menyumbang dan membantu. Hanya yang beriman dan yang faham sahaja akan berfikir dan bersusah payah terhadap urusan saudaranya. Hanya yang beriman dan yang faham sahaja akan bermati-matian menjaga saudaranya.

Kerana dia beriman. Kerana hubungan kita, dengan saudara kita di Palestina, adalah hubungan keimanan. Titik penyatuan antara kita dengan orang lain adalah keimanan. Allah kita adalah Yang Esa, andai kita balik kepada Allah SWT, maka kita akan bertemu dengan titik penyatuan yang ampuh. Semua hendak mengejar apa yang Allah redha, semua hendak menjaga hak-hak Allah SWT.

Hanya yang bersatu dalam keimanan ini boleh melancarkan boikot yang maha hebat, hanya yang bersatu dalam keimanan ini boleh menyediakan ketenteraan yang maha kuat, hanya yang bersatu dalam keimanan ini boleh merancang satu solusi untuk menyelesaikan masalah.

Sebab itu, musuh-musuh Islam mati-matian cuba memadamkan obor keimanan ini.

Mereka tidak kisah kita tidak murtad menjadi kafir. Sudah cukup pada mereka, kita Islam tetapi Islam pada nama sahaja seperti kebanyakan kita hari ini.

Sudah tiba masanya kita serius dengan keimanan kita, sudah tiba masanya kita bergerak mengajak lebih ramai lagi untuk kembali kepada keimanan ini. Kita satukan fikrah-fikrah kita atas dasar keimanan dan keredhaan Allah SWT. Apabila kita sudah kembali kepada apa yang Allah mahu, Allah akan berikan kita apa yang kita mahu.

Kita mahu Palestina bebas, dan hak-hak Allah terjaga.

Penutup: Jangan tunggu lagi

Palestina saban hari berdarah. Hari ini, ada lagi darah tumpah.

Sehari kita lewat, rekahan di Majidil Aqsa bertambah. Masa, yang lepas tidak akan kembali. Lebih lewat kita lambat, lebih buruk keadaan. Sepatutnya kita bangkit dan menyedari keadaan genting hari ini.

Palestina itu negara kita. Rakyat di dalamnya adalah saudara mara kita. Kematian mereka, kematian keluarga kita.

Jangan tunggu lagi. Bergeraklah, asahkan keimanan kita, kembali kepada Allah SWT sambil mengajak manusia di keliling kita untuk turut bersama. Hanya apabila kita beriman dengan sebenarnya, barulah Allah akan membuka pintu kemenangan pada kita.

Jangan tunggu lagi.

Bukanlah mustahil, untuk Allah merobohkan masjid-Nya, sebagai pengajaran kepada ummat-Nya. Jangan sampai Allah bertindak sedemikian kepada kita.

Jangan.

Nukilan: Hilal Asyraf

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts