AL-KHALIL, 1 Mac 2017 (Maan) — Pemuda Palestin Saadi Mahmoud Ali Qaisiya, 24, meninggal dunia apabila ditembak oleh seorang pendatang Yahudi di al-Khalil, selepas beliau dikatakan menceroboh masuk sebuah rumah pendatang Yahudi dengan membawa dua bilah pisau di kawasan pos penempatan haram Havat More di kawasan Masafer Yatta petang tadi.
Bagaimanapun kenyataan keluarga mangsa menyebut bahawa Saadi, yang bekerja untuk pendatang yang membunuh beliau itu, tidak dibayar gaji. Apabila beliau mendesak supaya dibayar gaji, majikannya itu mengacu sepucuk pistol ke arahnya dan kemudian melepaskan tembakan.
Saadi berasal dari perkampungan Dzahiriyah di barat Masafer Yatta, selatan al-Khalil. Beliau merupakan penduduk Palestin yang ke-10 dibunuh oleh tentera Zionis atau pendatang Yahudi sejak awal tahun 2017.
Masafer Yatta merupakan salah satu kawasan di Tebing Barat yang diisytiharkan sebagai “zon menembak” sejak tahun 1970-an. Penduduk Palestin dilarang memasuki kawasan tersebut tanpa kebenaran pihak berkuasa Zionis, sehingga memberi kesan buruk ke atas kehidupan seharian mereka.