Penduduk al-Quds dipaksa roboh rumah sendiri

AL-QUDS, 1 Ogos 2016 (PIC) — Tentera penjajah Zionis semalam memaksa seorang penduduk al-Quds meroboh rumahnya sendiri di kejiranan al-Thawri di daerah Silwan, di sebelah selatan Masjid al-Aqsa.

Walid Shuwaiki terpaksa meroboh rumah beliau bagi mengelak dikenakan denda kos perobohan sekiranya kerja perobohan dilakukan oleh pihak rejim penjajah. Denda tersebut melebihi 100,000 shekel (RM103,000).

Rumah seluas 40 meter persegi itu dibina dua tahun lalu dan diarah supaya dirobohkan atas alasan dibina tanpa kebenaran.

Keluarga Walid termasuk isterinya yang sedang hamil terpaksa menumpang secara berasingan di rumah saudara-mara, sementara mencari tempat tinggal yang lain.

Sejak awal tahun 2016, tentera Zionis telah memusnahkan sebanyak 85 bangunan kediaman dan komersial di al-Quds. Sebanyak 20,000 rumah lain telah menerima notis untuk dirobohkan.

Jumlah penduduk Palestin di al-Quds meningkat empat kali ganda sejak 1967, kepada seramai 300,000 orang.

Bagaimanapun, pihak perbandaran Zionis hanya memperuntukkan sebanyak 9% daripada kawasan al-Quds Timur untuk pembinaan bangunan untuk penduduk Palestin. Walaupun demikian, permohonan permit atau kebenaran pembinaan sangat jarang diluluskan, sehingga memaksa penduduk Palestin membina tanpa permit.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts